Tanyalah pengalaman kebanyakan orang yang pernah menjaga orang sakit, pasti disulami suka dan duka, garam dan gula. Ada pahit dan manisnya yang hanya orang yang dekat dengan si pesakit sahaja arif tentangnya. Kalau dapat pesakit yang mahu mendegar kata dan tidak banyak kerenah, mudahlah untuk ditangani. Namun, kebanyakan mereka berdepan dengan pesakit yang berubah-ubah sikap sehingga ada kala mencabar keimanan.


Namun, tidak boleh pula disalahkan mereka yang sedang terlantar sakit itu. Kelakuan aneh mereka terdorong dek sakit yang hanya mereka tahu bagaimana rasanya. Justeru, bertabahlah buat insan-insan terpilih untuk menjaga kebajikan mereka ini. Besar pahala kepada mereka yang dapat lalui dengan baik dan melakukannya seikhlas hati. Walaupun mungkin budi kita tidak dihargai di sini, percaylah Tuhan akan bayar dengan ganjaran yang tidak disangka-sangka.


Hajah Halimatun Zabidin atau mesra dipanggil Kak Tun ini berkongsi pengalaman bertahun-tahun menjaga orang sakit. Daripada suami sehinggalah ibunya, dijaga dengan dua tapak tangannya hingga hujung hayat mereka. Saat ditanya, tidakkah rasa terbeban menjaga orang sakit? Jawab wanita penyabar ini, “Kak Tun memang suka jaga orang sakit. Kepuasannya tak terungkap dengan kata-kata.”









Boleh Kak Tun ceritakan bagaimana keadaan arwah suami ketika mula-mula sakit dulu dan bagaimana komitmen Kak Tun menjaga dan merawat arwah suami waktu itu?

Arwah suami mula sakit pada tahun 2007 dan semakin serius dua tahun kemudiannya. Pada detik itulah, bermulanya rutin baru kehidupan Kak Tun yang berulang-alik dan keluar masuk hospital untuk mendapatkan rawatan buat arwah. Hospital sudah menjadi rumah ke dua buat kami. Malah, pada hari kerja, saya bersiap ke pejabat pun dari hospital kerana bermalam bersama arwah di wad. Suami mengidap penyakit spinal cord disorder yang melibatkan kerosakan teruk pada tulang tengkuk ke lima dan ia perlu diganti dengan alat bantuan penyokong. Major operation pertama yang dilakukan mengambil masa lima jam itu gagal kerana alat penyokong daripada titanum tidak mampu berfungsi dengan baik. Ia disusuli dengan pembedahan ke dua dengan menggantikan alat dari titanum juga berbentuk sangkar. Masa itu hanya Allah yang tahu betapa gemuruhnya Kak Tun mengharapkan keajaiban kerana menurut doktor, arwah suami hanya berpeluang 50-50 sahaja untuk hidup. Banyak antibiotik digunakan ke atas arwah untuk melawan kuman. Alhamdulillah, berkat doa semua, suami sedar juga.



Bagaimana rutin Kak Tun apabila menjaga suami di rumah pula?

Setelah keluar hospital, suami perlu memakai alat sokongan tengkuk. Dalam keadaan yang sudah berusia dan tak biasa, keadaan itu tentulah tidak selesa untuknya. Seperti sudah dijangka, suami semakin hari semakin lemah kerana pembedahan ke dua juga tidak banyak membawa perubahan. Pada waktu inilah, kesabaran Kak Tun semakin diuji, bukan kepada dia yang sakit tetapi kita yang menjaga untuk terus redha dan ikhlas. Arwah suami perlu dipapah kebilik air untuk mandi dan ke tandas. Suami tak mampu untuk bangun tanpa bantuan orang lain. Kak Tun dan anak-anak perlu bantu bangunkan dia untuk bergerak kerana tulangnya sudah mula mengeras. Makan minumnya juga perlu disuap kerana tangannya sudah lemah. Umpama menjaga bayi kecil, semua keperluannya perlu diuruskan.







Tidakkah Kak Tun berasa tertekan dan terbeban waktu itu?

Tidaklah tertekan sangat kerana Kak Tun anggap itu satu dugaan untuk Kak Tun sebagai seorang isteri dan mungkin ketika inilah kesetiaan seorang isteri itu mahu diuji. Selalukan kita dengar orang kata, setiap kesabaran itu akan dibalas dengan kemanisan kelak. Nak dijadikan cerita, tanpa diduga, pada bulan yang arwah mulai sakit itu, Kak Tun pula diberi khabar gembira apabila dianugerahkan sebagai Pekerja Terbaik Bulanan, Anugerah Khidmat Cemerlang yang melayakkan Kak Tun menerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dari Sultan Perak pada tahun 2009. Allahu, hanya sedikit pengorbanan Kak Tun itu tetapi dibalas kenikmatan yang besar oleh-Nya. Walaupun, suami tidak dapat menemani Kak Tun untuk menerima pingat itu, cukuplah anak lelaki sebagai pengganti. Maha kuasa Allah atas limpah kurnianya.



Bila suami menghembuskan nafas terakhir dan bagaimana situasinya selepas melihat katilnya sudah pun kosong?
Arwah meninggal dunia pada 11 April 2011, setelah dua tahun bertarung dengan penyakitnya. Tipulah kalau tidak sedih. Isteri mana yang mampu tersenyum dengan pemergian suaminya, apatah lagi selepas 31 tahun hidup bersama susah dan senang. Tak mampu dicoretkan dengan kata-kata, hanya sesekali air mata jadi peneman. Sesekali terjaga dari tidur, melihat tiada sesiapa di sisi, kenangan itu datang menjentik. Anak-anak memang selalu mengajak tinggal bersama mereka, tapi tidak sanggup pula nak tinggalkan rumah. Waktu itu, empat anak sudah berumahtangga.









Dan, tidak lama selepas itu, ibu Kak Tun pula mula sakit-sakit dan uzur. Dan, sekali lagi Kak Tun menawarkan diri untuk menjaga ibu, tidak penatkah menjaga orang sakit?

Ya, selepas beberapa lama suami pergi, Mak yang kebetulan tinggal seorang pula hadir menggantikan tempat arwah, mengisi kekosongan yang ditinggalkan. Percaturan Allah, Mak pun tak berapa sihat waktu itu. Penat? Kasih-sayang seorang anak kepada ibunya mengatasi segalanya. Pengorbanan Mak membesarkan kami 12 beradik tak mungkin Kak Tun lupakan. Mak kami berjiwa besar dan sangat kuat bekerja. Kak Tun sebagai anak sulung sangat arif dengan pengorbanan Mak ketika membesarkan kami. Mak berkahwin ketika umurnya 14 tahun. Pendapatan Abah sebagai buruh kasar waktu itu pasti tidak cukup untuk membesarkan kami adik beradik. Macam-macam kerja yang Mak buat untuk membantu Abah mencari rezeki termasuk membuat putu perak. Setiap bulan seguni beras, seguni tepung, setong biskut pasti singgah di rumah. Mak sangat kuat mencari rezeki. Pengorbanannya inilah yang buat Kak Tun tidak rela membiarkan Mak terlantar sakit dijaga orang lain.




Antara 12 beradik ini, Kak Tun rasa kenapa agaknya Kak Tun yang terpilih untuk berbakti kepada Mak?

Kak Tun anggap inilah ‘rezeki’ untuk Kak Tun terus menyemai pahala, mudah-mudahan. Kebetulan, ketika Mak mulai sakit, Kak Tun telah pun bersara. Awalnya, Mak dijaga adik lelaki di Serendah, Selangor. Setiap minggu Kak Tun berulang-alik, Ipoh ke Serendah untuk melawat Mak. Kami adik-beradik pernah juga mengamalkan sistem giliran, namun kesian pula kepada Mak yang asyik berpindah-randah. Paling teruk apabila Mak dimasukkan ke Hospital Selayang. Alhamdulillah adik-adik lelaki yang menjaga. Namun, Kak Tun pula rasa tak larat hendak berulang-alik. Mak pun waktu itu sudah terlalu uzur sehinggakan doktor memberitahu Mak mungkin cuma ada tiga ke empat bulan sahaja lagi. Dan, waktu itu juga penjagaan Mak menjadi semakin rumit. Sebagai kakak dan anak sulung, Kak Tun mengambil tanggungjawab itu. Kak Tun pun dah pencen waktu itu.








Sepanjang menjaga Mak itu, ada tak Kak Tun mempersoalkan keadilan antara adik-beradik? Maklumlah, tidak mudah menjaga seorang ibu berbanding suami, kerana ibu kita kongsi bersama adik-beradik yang lain.

Betul kata orang, makin kita dekat kepada kebaikan, makin banyak kita diuji. Biasalah, syaitan itu akan sentiasa membisikkan hasutannya agar hati kita berbolak-balik. Perasaan dan hati Kak Tun, Kak Tun boleh pujuk cuma apabila Mak mengatakan rindu kepada anak-anak yang lain itu buat Kak Tun tersentuh. Satu-satu nama anak disebutnya. Kadang-kadang apabila kita penat menjaga Mak, memang akan timbul perasaan; “kalaulah ada adik itu yang sudi ambil-alih jaga Mak, alangkah bagusnya, dapat aku rehat sekejap.” Begitu, begini bermain di minda. Namun, cepat-cepat Kak Tun istigfar dan cuba lawan perasaan itu.




Apa bezanya menjaga arwah suami sebelum itu dan Mak pula?

Rutinnya lebih kurang sama, bersihkan Mak, suap makan, bagi ubat dan selepas itu Mak akan tidur, di samping berbual dengan Mak, walaupun Mak sudah tidak boleh bercakap banyak. Waktu jaga suami dulu, Kak Tun tidak banyak bermain dengan najis. Kadang-kadang anak-anak bantu. Berbeza apabila menjaga Mak, Allah duga kena cuci najisnya. Mula-mula dulu, tak dinafikan memang rasa nak muntah, namun lama-kelamaan dah jadi imun. Akhirnya Allah bagi kekuatan dan mampu melakukannya dengan ikhlas. Terasa sangat nikmatnya kerana Allah memilih kita daripada 12 anak-anak yang lain. Kak Tun masih ingat masa mula-mula membersihkan najis Mak, Mak malu-malu dan tertera pada wajahnya sedih merenung Kak Tun. Inilah hikmahnya, dulu Mak bersihkan najis anak Mak ni dan hari ni, Kak Tun pula lakukan untuk Mak. Mak pergi dalam keadaan yang tenang saat Kak Tun berada di sisinya.










Apa pengajaran terpenting yang Kak Tun dapat daripada menjaga orang sakit?

Kepuasan yang tak terhingga apabila dapat berbakti kepada orang yang kita sayang. Sebenarnya, kalau kita hayati balik, ujian yang paling besar bukanlah kepada orang yang sedang sakit itu tetapi kepada kita yang menjaga dan orang di sekelilingnya. Dengan menjaga orang sakitlah, kita belajar menghargai kesihatan diri. Syukuri dan pelihara sebaik mungkin. Kita juga belajar untuk lebih bersabar dan kuat. Ia meningkatkan takwa kita kepada Allah. Dan, pada waktu itu jugalah kita kenal siapa yang bersama kita saat susah dan siapa yang lari meninggalkan tanggungjawab. Alhamdulillah, kini Kak Tun nikmati kehidupan yang tenang bersama keluarga dan suami baru. Inilah takdir hidup Kak Tun yang telah disusun cantik oleh-Nya. Kak Tun diuji, kemudian diberi nikmat kasih-sayang dan rezeki yang tidak terperi. Kak Tun rasa puas dapat menjaga kedua-dua syurga Kak Tun itu sehingga akhir hayat mereka. Setiap kenangan bersama mereka akan sentiasa terpahat di hati Kak Tun. Al-Fatihah buat keduanya juga arwah Abah.