Tiga lagi paparan menghiasi episod kali ini. Saat menerima perkharan mereka yang memerlukan atau ditimpa kesusahan, hati Ustaz Ebit Lew terus terdorong untuk tampil membantu. Serasanya tidak lengkap hari yang dilaluinya tanpa membantu sesiapa jua yang kesusahan. Dan semua ini disifatkannya sebagai ujian untuknya terus istiqamah mendorong lebih ramai tampil ke hadapan menghulurkan sumbangan dan bantuan.



Misi Ziarah Ibu Tunggal, Puchong Selangor

Dalam segmen pertama minggu ini, Jejak Ebit Lew (JEL) ke Puchong Selangor menziarahi ibu tunggal bersama lima anaknya yang dilaporkan pada awalnya sudah dua tahun tidak membayar sewa rumah. Teresa Santa Anak Angil berasal dari Sibu Sarawak daripada suku kaum Iban. Setibanya rombongan JEL ke rumah ini, menitis air matanya kerana tidak menyangka menerima kunjungan Ustaz Ebit Lew. Rupanya memang sebelum ini telah lama dia memasang angan-angan untuk bertemu Ustaz Ebit.

Meninjau keadaan di dalam rumah, serba-serbi kekurangan. Ada yang tidur beralaskan tilam nipis dan tikar selain pelbagai kelengkapan lain yang ala kadar sahaja. “Susah saya nak cerita. Kalau nak cerita orang kata minta simpati, bohong. Tapi berani kerana benar, takut kerana salah,” luah Teresa sambil menangis.



Mendengar rintihan ibu tunggal ini, Ustaz Ebit Lew nekad untuk membantu. Bayaran sewa rumah yang tertunggak selama dua tahun itu diselesaikan. Dalam masa sama, Ustaz Ebit turut membantu membayar wang yang diperlukan untuk pengangkutan ulang alik anak-anaknya yang bersekolah serta melunaskan bil air dan elektrik untuk keselesaan keluarga ini. Turut disumbangkan adalah barang keperluan makanan juga kelengkapan dapur serta mesin basuh, peti sejuk dan laptop untuk kemudahan pembelajaran anak-anak Teresa. Terharu menerima sejumlah besar sumbangan itu, bagi Ustaz Ebit Lew Teresa disifatkan sebagai ibu tunggal yang kuat semangat dan kental membesarkan lima orang anaknya. Kerana bukan mudah untuk melalui apa yang ditempuhi wanita cekal ini biarpun dihimpit kepayahan dan kesusahan hidup.

Pesan Ustaz Ebit Lew
Ilmu yang paling besar dalam hidup ini adalah kesusahan. Ujian dalam hidup ini kita takkan dapat di sekolah, universiti tapi dalam kehidupan. Mungkin sekarang anak-anak ini susah, tetapi nanti apabila mereka besar, mereka pula akan bantu orang lain yang kesusahan. Apapun kisah yang dilaluinya adalah ujian untuk dia dan ujian untuk kita juga apabila melihat orang lain yang kesusahan. Ada keperluan untuk kita membantunya.



Menyantuni Komuniti Gelandangan, Kuala Lumpur
Menyelami dan mendekati golongan gelandangan pula menghiasi segmen kedua dalam episod ke-26 malam ini. Pada awalnya, team Pertubuhan Kasih Umat Malaysia memborong juadah berbuka puasa yang dibeli dari bazar Ramadan. Pelbagai jenis lauk pauk dibawa untuk dijamu kepada gelandangan sekitar Kuala Lumpur. Usai tiba disitu, ramai yang mula beratur. Ujar Ustaz Ebit Lew, “Kita jumpa bermacam ragam orang. Ada Melayu, Cina, India. Kita jamu mereka makan. Saya pun duduk bersama mereka,” katanya teruja dan syukur dapat mengukir senyuman pada wajah gelandangan ini.



Sambil makan, waktu itu dimanfaatkan Ustaz Ebit untuk berbual bersama beberapa orang gelandangan. Mendengar kisah kepayahan mereka. Malah menurutnya, tidak pernah terbayang dek sesiapa untuk meminta nasi daripada orang. “Setiap orang ujiannya berbeza-beza. Daripada situ kita belajar. Walau kita sedekah satu tamar, Nabi sebut ia akan menyelamatkan kita daripada api neraka. Walau kita sedekah sedikitpun, ia akan jadi payung di padang mahsyar. Lebih banyak kita bersedekah, lagi banyak payung kita. Dan akhirnya sedekah ini bukan kepada siapa kita beri tapi sebenarnya sedekah ini untuk menyelamatkan kita, disayangi Allah, supaya kita selamat daripada api neraka.” Terang Ustaz Ebit Lew bersungguh.



Misi Memberi Tempat Perlindungan Danial
Setelah menerima kiriman mesej daripada orang ramai untuk membantu seorang pelajar di Klang, Ustaz Ebit Lew dan team JEL terus ke Bukit Raja. Dilaporkan anak ini kehilangan kedua ibu bapanya yang meninggal dunia akibat Covid-19. Dan menurut sumber juga, kedua ibu bapa anak ini bersasal dari negara jiran. Tinggal di kaki lima, menurut Ustaz Ebit ramai yang mahu membantu tetapi entah mengapa Danial keberatan menerima apa-apa bantuan.



Tutur kata yang sopan menjaga adab dan menghormati orang yang lebih tua, bagi Ustaz Ebit Danial punya pekerti yang baik. Dan apabila diusulkan untuk dihantar ke sekolah, Danial teruja. Sebelum dihantar ke Madrasah Tahfiz Al Quran Ibnu Talib di Melaka, persiapan awal dilakukan terlebih dahulu disini. Segala kelengkapan seperti pakaian dan keperluan asas lain semuanya dibeli Ustaz Ebit. Tiba di Melaka, pelajar-pelajar tahfiz dan barisan tenaga pengajar sedia menyambut kedatangan team JEL. Seramai empat orang anak angkat Ustaz Ebit Lew telah dihantar ke sini bahkan madarasah ini pernah dibantunya sebelum ini.



Pesan Ustaz Ebit Lew
“Belajar agama ini, berjuang di jalan Allah ia akan menjadi kenangan paling indah dalam hidup kita. Setiap masa disini, emak ayah akan dapat kebaikan yang banyak. Pahala tak berhenti untuk mereka. Niatkan kerana Allah. Kita usahakan sedaya mana yang kita mampu, selebihnya serahkan kepada Allah.” Ujar Ustaz Ebit kepada anak-anak ini.



Misi Bantuan Golongan Asnaf, Pasir Putih Kelantan
Tular di Facebook mengenai seorang anak kecil yang kerjanya mengutip besi lalu dijual. Seusia kecil itu sudah mencari duit dan tong sampah adalah lubuknya mencari apa yang boleh dijual. Tidak menunggu lama, team JEL kemudiannya bergerak ke Kelantan atas makluman sukarelawan disana.



Saat tiba dilokasi, adik ini pada awalnya dilihat malu-malu lantas terus melarikan kerana tidak mahu didekati. Namun selepas cuba berbual, akhirnya team JEL berjaya menjejakkan kaki ke rumah anak kecil ini. Tinggal bersama ibu dan empat adik-beradik yang lain, menurut ibunya Ropiah, anak bongsunya sendiri yang mengambil inisiatif mencari besi di tong sampah tanpa disuruhnya. Bekerja sebagai pembantu jualan goreng pisang pada awalnya tetapi ekoran musim PKP dia tidak lagi bekerja. Hanya membantu memandikan orang yang sakit itulah yang dilakukan untuk mencari sedikit wang menyara hidup. Jumlah yang diterimanya pula tidak menentu dan lebih menghimpit keadaan dia turut punya dua orang anak OKU. Ibarat hidup yang dilalui keluarga ini kais pagi makan pagi. Apa jua yang dicarai dan diperoleh itulah yang dimanfaatkan dan digunakan saban hari.



Ustaz Ebit mencadangkan agar Ropiah cuba berniaga sendiri untuk menampung pebelanjaan seharian. Lantaran dia punya kemahiran memasak, Ustaz Ebit dan team Pertubuhan Kasih Umat Malaysia tidak menunggu lama. Lantas dibeli barang keperluan untuk Ropiah mula berniaga. Segala kelengkapan disediakan. Pelan awal, siangnya Ropiah berniaga menjual ketupat, goreng pisang dan makanan ringan lain. Manakala sebelah malamnya pula anak yang lain berniaga burger.

Pesan Ustaz Ebit Lew
“Rezeki dapat anak-anak yang baik. Apa orang cakap jangan melemahkan kita. Ada hikmah semua ini. Nabi Muhammad SAW ada menyebut sesiapa yang memulakan satu kebaikan, orang ikut dan akan dapat pahala sampai kiamat. Yang penting orang yang susah itu mendapat pertolongan. Mudah-mudahan apabila kita Bersatu hati sebagai sebuah keluarga, banyak rahmat akan turun. Insya-Allah,”