gaya hidup
“Apa-Apa Benda, Yang Boleh Kekal Lama Selalunya Datang Daripada Hati Dan Amalan Yang Ikhlas.” – Ustaz Ebit Lew
Episod kelima Jejak Ebit Lew kali ini membawa penonton menelusuri kisah masyarakat sekitar ibu kota, Selangor dan di Pahang pula. Lebih bervariasi, tetapi misinya tetap sama iaitu menyantuni dan membantu mereka yang memerlukan. Bukan sahaja dalam bentuk material semata-mata tetapi perkongsian nurani disebalik setiap ujian yang Allah beri.
Bantu Peniaga OKU Di Wangsa Maju
Dalam segmen pertama, team Jejak Ebit Lew mencari peniaga-peniaga yang hidup dalam kesusahan, golongan OKU tetapi masih gigih berdikari dan mencari wang hasil usaha sendiri. Dan di Wangsa Maju, kru produksi Jejak Ebit Lew berkesempatan merakam satu lagi kisah masyarakat untuk diteladani bersama. Zarina Abu Safian, seorang peniaga OKU disifatkan sebagai seorang wanita yang cukup berdikari. Walaupun kekurangan daripada aspek fizikal, tetapi semangat juangnya kuat bahkan harus dicontohi kita yang serba serbi sempurna anggotanya. Hanya berkerusi roda, dia tetap gigih meneruskan hidup dengan berniaga makanan dan kuih-muih.
Kredit Foto: Astro Prima
Baginya, “Kalau saya lemah, tak kuat… Jatuhlah tentera (keluarga saya). Kalau saya ketua yang tak kuat, apa nilai hasil kejayaan saya? Sebab apa yang saya buat ni untuk anak-anak dan juga diri saya. Itu yang mendorong saya untuk bangkit. Tidak menyangka menerima kunjungan Ustaz Ebit Lew dan seluruh kru produksi ke rumahnya, Zarina nyata terkejut namun bersyukur kerana pihak Ustaz Ebit Lew dan team sudi membantu merealisasikan impiannya yang mahu membuka sebuah gerai makanan.Kredit Foto: Astro Prima
Kagum dengan semangat dan kecekalan wanita ini, bagi Ustaz Ebit Lew Zarina cukup kuat. Dia tidak mahu menaiki kenderaan yang disediakan sebaliknya lebih selesa dengan kerusi roda miliknya, bebas bergerak. Usai Ustaz Ebit Lew menawarkan bantuan untuk mendahulukan dana baginya untuk membuka gerai, Zarina terus membawa seluruh kru ke sebuah kedai yang menjadi tempatnya mencari rezeki selama ini. Dijamu semua yang datang dengan hidangan istimewa dan Ustaz Ebit Lew berkesempatan menghulurkan bantuan dengan menyampaikan sumbangan buat semua golongan OKU disitu.
Pesan Ustaz Ebit Lew
Kita tengok kakak ini yang OKU boleh bekerja kuat, mencari rezeki untuk dua orang anaknya seorang diri. Inikan pula kita yang diberi kekuatan, kesihatan. Kita kena lebih berani, berusaha, rajin bekerja.
Kredit Foto: Astro Prima
Ziarah Sazali P Ramlee di Semenyih
Masih ingatkah anda salah satu babak dari telefilem Anakku Sazali saat Allahyarham Tan Sri P Ramlee mendodoikan anaknya dengan bait lagu ‘Anakku Sazali dengarkan…’ itulah antara lagu yang menterjemahkan rasa kasih dan sayang Allahyarham Tan Sri P Ramlee dalam menitipkan pesanan buat anak kandungnya Sazali sebagai peringatan dan bekalan dalam kehidupan. Aksi Sazali juga pernah menghiasi salah satu adegan dari telefilem Ahmad Albab. Dan itu semua tinggal kenangan dalam lipatan memori dan sejarah hidupnya bersama ayah tercinta.
Kini Sazali P Ramlee hanya mampu menggunakan tongkat untuk bergerak. Pernah bekerja sebagai salah seorang kakitangan Alam Flora, namun dek kerana terlibat dalam kemalangan dia tidak lagi mampu bekerja dan bergerak seperti sebelumnya. Dan apabila terkenang kenangan silam saat melewati waktu kecil bersama Allahyarham ayahnya, hatinya dijeruk rasa. “Kadang-kadang sedih, sayu dan rindu juga apabila tengok semula cerita-cerita P Ramlee” ujarnya berkongsi cerita bersama Ustaz Ebit Lew.
Kredit Foto: Astro Prima
Dan misi bantuan untuknya, Ustaz Ebit Lew bermurah hati menyediakan perkhidmatan ambulans yang akan membawanya berulang alik ke hospital bagi menerima rawatan susulan. Selain menitipkan doa agar keluarga ini terus diberi kecekalan dan ketabahan melalui pelbagai ujian hidup, sumbangan berbentuk dana juga barang keperluan harian seperti beras dan makanan dari kumpulan Faiza turut dihulurkan.
Pesan Ustaz Ebit Lew
Kita hidup dan membesar dengan menonton cerita-cerita P Ramlee. Kisahnya dahulu bagaikan bayangan kehidupan yang kita lalui hari ini. Sebab itulah apa-apa benda, yang boleh kekal lama selalunya datang dari hati dan daripada amalan-amalan yang ikhlas. Bahkan ustaz pun selalu ambil bahan daripada ceritanya dalam ceramah. Semoga Allah tempatkan rohnya di syurga Firdaus kerana titipan kisahnya banyak mendidik hidup kita dalam bermasyarakat dan apa jua yang berlaku. Juga moga asbab usahanya Allah ganjarkan pahala buatnya. Al Fatihah.
Kredit Foto: Astro Prima
Ziarah Keluarga Mangsa Kemalangan Barisan Hadapan Di Pahang
Jururawat dan pemandu kenderaan KKM yang maut dalam satu nahas jalanraya di Pekan, Pahang ketika dalam perjalanan menuju ke perkampungan orang asli turut mendapat perhatian Ustaz Ebit Lew. Walau hanya menziarahi kedua-dua keluarga dan menyampaikan sedikit sumbangan, baginya tanda ingatan dan saling memberi kata-kata semangat amat penting bagi mereka menempuh saat getir ini. Tiba di rumah keluarga Allahyarhamah Julayha Kudus, jururawat yang terkorban itu; hati Ustaz Ebit dirundung sayu. Jururawat itu meninggalkan suami dan empat anak kecil yang masih bersekolah. Selepas itu, Ustaz Ebit Lew turut meluangkan masa menziarahi keluarga Mohd Zuhairi Abdullah, iaitu pemandu kenderaan KKM yang turut terkorban dalam kemalangan menyayat hati itu. Kredit Foto: Astro Prima
Pesan Ustaz Ebit Lew
Menyifatkan mangsa yang terkorban sebagai pejuang, Ustaz Ebit Lew turut berkongsi buah fikirnya. “Zaman Nabi dahulu ada pejuang yang berada di barisan hadapan. Ada juga wanita-wanita yang pergi berjuang, mengubat orang sakit. Dan dalam soal ini hanya dua sahaja. Sama ada dia pergi dulu atau kita yang pergi dulu. Kita selalu sedih kalau kita sayang seseorang. Misalnya kita berkata, ‘Biarlah saya pergi dulu’. Tapi tahu tak apa dia? Kadang-kadang dia pergi sebab Allah sayang dia. Dah sampai ajal dia, kita dapat tengok emak, anak kita berehat. Dia dah penat kerja, urus rumah, cari rezeki untuk anak-anak dan keluarga. Bantu suami, emak ayah. Jangan tinggal solat, belajar rajin-rajin. Kalau teringatkan emak, nak menangis pun tak apa. Ambil wudhu, buat solat sunat dua rakaat. Mengadu pada Allah, ‘Ya Allah, aku rindu pada emak’. Bercakaplah, luahlah dan berdoa walaupun dalam Bahasa Melayu. Allah Maha Mengetahui. Orang yang sedang berjuang macam para doktor, jururawat dan sebagainya; jika kematian menjemput mereka, mereka umpama dapat pahala macam mati syahid. Sebab orang yang bekerja seperti ini mereka berjihad. Semoga Allah lindungi dan mencucuri rahmat ke atas mereka.Kredit Foto: Astro Prima
Must-Watch Video