Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Highlights

Apabila Wanita Cantik Jadi Polis – Mula Dulu Nangis Juga Tapi Hati Kena Kental! Kini, Bergelar Pegawai Penyiasat Trafik.

Afiza Kamarulzaman 06/11/2019 | 09:09 MYT
Manis dan manja orangnya. Saya kenal beliau ketika sama-sama menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam tahun 2002. Kami sama-sama mengambil jurusan Diploma Penulisan Seni Layar, di fakulti Seni Persembahan, malah sebilik lagi.
Apabila mengetahui, selepas itu beliau meneruskan kerjaya sebagai anggota polis, saya bagaikan tidak percaya. Mengenali karekternya sangatlah berbeza dengan apa yang diperlukan dalam kerjaya seorang anggota keselamatan.
Nur Shafina Ahmad orangnya sangat manja dan kadang-kadang saya panggil ‘gedik’. Kelihatan sangat ‘fragile’ dan lembut orangnya. Tidak pernah saya tengok dia marah cuma sesekali suka merajuk dan merengek. Berumur 35 tahun dan berasal dari Kedah, beliau kini menjawat jawatan seabgai Pegawai Penyiasat Trafik (IO). Sudah dimiliki oleh lelaki yang sembilan tahun muda daripada beliau bernama Mohd Amzar Bin Mat Salim. Dan, kini mempunyai seorang anak hasil perkahwinan pertama, Putra Qaiser Firaas berusia enam tahun.
Kredit Foto: Nur Shafina Ahmad
Kalau boleh anda ceritakan bagaimana boleh terjebak dengan dunia kepolisian ini, sedangkan dulu belajar bidang lain?
Saya menyertai pasukan polis pada usia yang agak lewat, ketika menginjak usia 27 tahun. Sebenarnya, permohonan dibuat pada tahun 2010 ketika berusia 26 tahun. Untuk melayakkan diri menyertai pasukan polis, kami perlu menjalani ujian kecergasan. Hanya selepas lulus ujian kecergasan itu, barulah kami layak ditemuduga.
Temuduga ini agak mencabar bagi saya kerana tiada asas kawad kaki. Maklumlah, ketika di UiTM dulu, saya menyertai brass band sahaja. Tiada langsung pengetahuan pasal Polis Di Raja Malaysia (PDRM). Namun, jangan tak tahu sebelum menyertai temuduga, saya sudah menelaah tentang orang-orang penting dalam pasukan juga menyelidik serba sedikit isu-isu semasa dalam dan luar negara dan.
Hey, homework itu penting ya, adik-adik Apabila lulus temuduga, barulah dapat surat tawaran menyertai program latihan asas kepolisan - Inspektor Percubaan (pada masa itu, sekarang dipanggil Kadet Inspektor). Walaupun dalam keluarga memang tidak ada darah polis tetapi masih terngiang-ngiang pesanan arwah ayah yang tak sudah-sudah menyuarakan hasratnya untuk melihat anak perempuan bongsunya ini menyertai pasukan polis. Segak agaknya dia fikir kalau anak dia beruniform. Alhamdulillah. Inilah yang dikatakan peluang dan rezeki yang tidak terjangka.
Kredit Foto: Nur Shafina Ahmad
Bagaimana permulaan latihan? Tidakkah ia mencabar fizikal dan mental? Seksa bukan?
Saya memulakan latihan pada 1 Mac 2011 . Memang dunia saya berubah 360 darjah waktu itu! Handphone tidak dibenarkan ya. Tidak ada juga makanan yang kau suka, Shafina. Setiap pergerakan berunsurkan kawad dan berlari. Pagi, tengah hari, petang – TIADA HARI TANPA LATIHAN – tag line pusat latihan/pelatih. Pada awalnya, agak culture shock juga, memang rasa nak nangis.
Apa nak buat, sebelah kaki dah masuk, perjuangan harus diteruskan. Walaupun kena marah kena maki, redha sajalah. Masa rehat yang ada cuma fikir nak tidur saja, tiada masa nak fikir ke lain. Semua latihan dilakukan dalam platun, jadi diri akan rasa lebih bertanggungjawab dan fikir banyak kali kalau mahu buat benda tidak baik kerana seorang buat salah, seluruh platun akan kena. Menu makan mengikut diet ideal ya.
Waktu Subuh dan Maghrib kami akan ke masjid. Akan ada sesi panggil nama untuk periksa keanggotaan cukup atau tidak setiap platun tu. Walaupun sudah tamat latihan dah bekerja pun amalan ini mmg kami teruskan, panggil nama atau roll call sebelum dan selepas selesai tugas. Dalam latihan mengajar erti tanggungjawab, setia kawan, team work, tiada apa yang mustahil dalam hidup, sesukar mana sesuatu latihan atau keadaan itu pasti akan berakhir dgn baik. Kesabaran yang tinggi itu penting. Mental dan fizikal kena kuat.
Sekarang anda berkhidmat di bahagian mana? Apa tugasan harian sebagai Pegawai Penyiasat Trafik?
Saya melapor diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya pada 16.01.2012 sebaik selesai PLAK Inspektor Percubaan. Saya bertugas di bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (dahulunya dikenali sebagai bahagian Ketenteraman Awam/Trafik Daerah) sebagai Pegawai Penyiasat Trafik (IO). Tugasan saya melibatkan siasatan kes-kes kemalangan maut, kes menarik perhatian, kes viral, VIP/Diplomat, dan melibatkan kenderaan pasukan/kerajaan.
Saya menjdi IO bermula 2012-2017 dan dari mei 2017 sehingga sekarang sebagai Inspektor Kepolisan AM yang mana tugasan saya lebih kepada pentadbiran bahagian. Walaupun tugas tidak tertumpu pada jawatan hakiki, saya turut terlibat dengan tugas lain seperti Pegawai Ronda Malam, Pegawai Bilik Gerakan Daerah, Program Oscar (program kemasyarakatan apabila pegawai polis akan bertemu masyarakat khususnya pemimpin tertinggi dan membuat pemantauan yang kerap di kawasan 'panas' yang sering berlaku jenayah).
Saya sendiri memegang jawatan Ketua AMANITA Daerah Ampang Jaya. AMANITA atau Peace Lady ini berperanan mendidik wanita terutamanya suri rumah sebagai rakan AMANITA yang menjaga keselamatan diri, keluarga, tempat kediaman dan kawasan kejiranan. Banyak sebenarnya tugas seorang pegawai polis di daerah yang selama ini kita sangka tugasnya hanya pada jawatan di tempat atau bahagiannya sahaja.
Kredit Foto: Nur Shafina Ahmad
Bagaimana rasanya pertama kali menyarungkan uniform itu?
Pastinya rasa bangga dan bersyukur. Dalam beribu-ribu orang di luar sana yang memohon, saya antara yang diizinkan Allah untuk berada di dalam pasukan PDRM ini. Besar tanggungjawabnya. Awal-awal lagi saya sudah set dalam kepala otak; “Datanglah apa tugasan sekalipun, akan kuhadap! Tak nak mengeluh tak nak merungut. Aku suka kerja aku, ini amanah dan sekaligus hadiah buat orang tuaku yang 'bukan siapa-siapa.”
Apa kata keluarga dan kawan-kawan pertama kali mereka dapat tahu anda menjadi polis?
Keluarga memang tiada halangan dan sangat menggalakkan. Tak tahulah apa yang mereka nampak dalam diri anak/adik bongsu mereka yang luarnya manja dan gedik ini. Mungkin 'kedegilan' barangkali menjadikan hati ini kental untuk berada di sini. Kawan-kawan pula, especially kawan-kawan sekolah memang agak terkejut dan tak sangka terutamanya kawan saya hubungi mereka untuk meminta pertolongan mereka hadir bagi ditemuduga oleh Cawangan Khas. Sebab syarat ketika temuduga, calon diminta membawa dua orang kawan yang mengenali calon untuk ditemuduga berkenaan latar belakang dan personal life calon.
Pasti lain cabarannya bergelar polis wanita, pernah diganggu ketika bertugas?
Diganggu? Ahamdulillah, semua terkawal hahaha. Mungkin skop tugas saya sebagai Pegawai Penyiasat Trafik yang menyiasat kes-kes kemalangan. Jadi, tidak terdedah sangat dengan orang awam yang terlibat dengan salah laku jenayah. Namun, kalau diganggu oleh makhluk lain selepas sesuatu kes diambil, ya pernah. Balik dari tempat kemalangan maut dan terkena badi mayat, ada mahkluk lain tumpang balik sama.. itu biasa.
Kredit Foto: Nur Shafina Ahmad
Berperwatakan manja luaran tetapi bagaimana boleh ‘twist’ menjadi tegas apabila bekerja?
Manja? Hahaha... Memang rata-rata kenalan rapat mahupun yang hanya kenal biasa, pasti akan cakap benda yang sama. Saya ini manja orangnya. Nak buat macam mana, anak bongsu kan? Tapi, sepanjang dalam latihan memang dah dilatih, hati dan jiwa memang kena kental. Cara bercakap mesti tegas. Saya pernah kena tegur dengan komandan ketika itu, kerana menjawab dengan lenggok suara 'biasa' saya.
Katanya, “Tegas! Jangan jawab dengan suara manja.” Bagaimana saya boleh ‘twist’? Pengalaman dipilih secara rawak di atas padang kawad, masa tu berkumpul sebelum ke kelas undang-undang. Pelatih lebih kurang 1000 orang dan kamu kena ke depan baca ikrar dan bagi arahan. Menjerit sekuat-kuat hati. Hilang kamu punya darah gemuruh, hilang segala takut dan malu.
Dari situ tanam dalam hati yang paling dalam, kamu kena harung apa saja yang di depan mata, apa yang terhidang. Ini dunia kamu. Kamu salah, kena marah, tiada apa perlu dimalukan. Itulah pelajaran yang akan kamu bawa selama hidup kamu dengan uniform biru ni. Apabila sudah berada di lapangan kerja, anggota saya kebanyakannya lelaki dan lebih berusia daripada saya.
Di sini, saya harus bijak memainkan peranan dan tahu bawa diri. Ketegasan dan kelembutan perlu ada, tetapi harus berada di landasan yang betul agar perjalanan tugas dan rasa hormat antara pegawai dan anggota itu ada. Tidak dinafikan, selaku pegawai, kita perlu tegas untuk memastikan arahan diberikan dan kemudiannya dilaksanakan oleh anggota bawahan tanpa gagal.
Kredit Foto: Nur Shafina Ahmad
Ada pengalaman menarik sepanjang menjadi anggota polis wanita yang tidak mungkin dapat dilupakan?
Bagi saya, pengalaman berharga menjadi seorang pegawai polis wanita adalah apabila saya ditugaskam mengetuai sekatan jalan raya bersama anggota penguatkuasa yang semuanya lelaki. Saya akan dijaga oleh mereka daripada segi keselamatan. Dari situ, dapat dilihat sikap caring mereka. Dan kita pula apabila sudah mula bertugas, memang tak fikir lain dah.
Masa ini akan dapatlah kita lihat dengan jelas sikap sebenar rakyat Malaysia. Masih ramai yang tidak menitik beratkan aspek keselamatan jalan raya, undang-undang dibuat seolah-olah tiada apa. Antara kesalahan yang kerap dilakukan ialah memandu tanpa lesen, LKM tamat tempoh kalau seminggu dua kita boleh terima akal, tapi kalau dah bertahun?
Dan ada satu peristiwa ini, di mana anggota saya yang dilanggar ketika bertugas. Hal-hal seperti ini cukup memberi kesan dan membuatkan saya rasa lebih bertanggungjawab terhadap anggota dan tugas saya. Lagi satu, pengalaman ketika menyaksikan bedah siasat. Bunyinya biasa tetapi yang luar biasa bagi saya tentang satu kes ini; mangsa seorang perempuan warga negara Myanmar bersama anak perempuan maut ketika melintas jalan, dan dilanggar oleh sebuah bas.
Ketika bedah siasat dilakukan rupanya si ibu sedang mengandung. Doktor mengeluarkan janin berusia sekitar empat ke lima bulan dari dalam perutnya. Luluhnya hati melihat tragedi itu.
Kredit Foto: Nur Shafina Ahmad
Apakah cabaran paling besar sepanjang bergelar anggota polis?
Semasa mengandung pada tahun 2013, saya sebagai IO yang bertugas 24jam. Bayangkan ada kes maut dan prosedurnya selagi IO tidak tiba di lokasi, badan mangsa tidak boleh dialihkan. Dalam hujan pun saya redah juga. Saya tetap menjalankan tugas sebagai IO sehingga kandungan masuk sembilan bulan dan selepas itu saya minta surat doktor untuk kerja ringan (light duty).
Namun, apa pun cabarannya sebagai polis wanita, ia tetap menjadi pengalaman berharga untuk dikenang dan menjadikan diri ini lebih matang dan positif. Kepada adik-adik yang berminat dengan kerjaya ini, silakan mencuba. Apa yang penting, persiapkan diri fizikal dan mental. Hati harus cekal, minda mesti tajam.
#Polis #PDRM #Kerjaya
;