Sedang Raden sibuk beratur di gerai Popiah Power, tiba-tiba disapa dari belakang “Amboi que sampai tak perasan orang belakang,” sergah Maryam, kenalan Raden di pejabat lama dahulu. “Ya Allah, Yam!” jawab Raden dengan suara separa menjerit. “Maaflah akuI tak perasan kau que belakang aku. Ralit tengok makcik tu balut popiah,” jelas Raden sambil bersalaman dengan Maryam. Selesai membeli juadah, Maryam mempelawa Raden untuk makan malam dirumahnya yang hanya sekangkang kera dari gerai popiah. Bimbang terperangkap dalam kesesakan lalu lintas yang teruk, Raden terima pelawaan Maryam. “Selesa sikit makan di rumah. Lagipun ada story panas aku nak share dengan kau pasal jiran aku tu. Suami kerja gaji besar, tapi isteri mampu jinjit beg gred triple A aje,” tuturnya memberi hint topik gosip kami.


Setibanya di rumah, kami disapa jiran Maryam, Najwa yang sedang menyiram pokok bunga di laman. “Amboi banyak membeli makanan sampai penuh tangan,” tegur Najiha selamba. Raden sebagai orang asing hanya mampu melemparkan senyuman seraya menggangguk perlahan. “Eh, Najwa. Taklah banyak sangat, untuk empat orang makan,” jawab Maryam ringkas sambil menguis tangan Raden. Usai memohon untuk masuk ke dalam rumah, tangan Maryam menepis siku Raden seakan memberi isyarat. Dalam hati Raden berkata-kata “Mulalah si Yam ni, nak anyam ketupat senja-senja sebelum berbuka”. Di dapur, kami mula mengeluarkan makanan yang dibeli di bazar tadi untuk di masukkan ke dalam pinggan mangkuk. “Itulah jiran aku, Najwa namanya. Full time housewife, anak empat orang. Semuanya kecil lagi masih bersekolah,” Maryam membuka cerita perihal jirannya walaupun sebentar tadi kami tidak sempat bersuai kenal. Daripada pandangan mata Raden, air muka Najwa tampak tenang, hanya matanya sahaja nampak penat persis panda eyes. “Aku tahu kau tak sabar nak kongsi cerita pasal Najwa kan? Apa kata beri masa aku makan, solat dan rehat. Lepas tu barulah kau boleh luahkan nafsu bergosip yang membuak-buak tu,” pinta Raden pada Maryam sambil riak wajahnya tidak berpuas hati dan mengangguk lemah.


Kredit Foto: Google


Setelah selesai semuanya, kami lepak di ruang tamu. Popiah yang dibeli tadi dijamah satu persatu. “Pasal Najwa jiran aku. Aku ni bukannya apa, kesian tengok Jiha uruskan anak-anak seorang diri. Dahlah tiada bibik. Anak-anak pula kecil lagi,” jelas Maryam membuka cerita. “Maksudnya suami dia tak balik rumah ke dah kerja di pelantar tu?” soal Raden ingin mendapatkan gambaran sebenar. “Balik juga tapi jarang-jarang. Yang aku geram tu, suami dia gaji berkepuk. Tapi kalau bab nak raikan isteri, cantikkan bini punyalah kedekut. Tudung ekspres Najwa aku tengok, yang itu-itu aje. Tak bertukar ganti yang baru pun. Pernah dia datang rumah aku, pulangkan katalog Corelle dan Vintage. Alasan lapuk dia, Borhan tak izinkan beli sebab dah banyak set pinggan mangkuk. Kalau ikut pada gaji suami dia, set pinggan mangkuk Royal Albert Memory Lane pun dia mampu. Tapi suami berkira, nak kata apa lagi,” berjela penjelasan Maryam. Seakan melepas geram amarah yang terpendam.
“Kau ni pandai-pandai aje tuduh melulu. Entah-entah memang betul suami dia tak izinkan, kau aje yang suka assume,” giliran Raden memberi komen seperti memihak kepada Najwa yang tidak Raden kenali itu. “Kalau suami dia tak berkira untuk beri nafkah zahir pada isteri, boleh pulak Borhan berkereta Audi. Walhal jarang balik Semenanjung, kereta tu hanyak artifak nak tunjukkan pada jiran tetangga dan saudara-mara yang dia mampu berkereta mewah. Ish, aku tak boleh sebut nama Borhan tu. Sakit hati, menanah telinga menahan geram. Bila suami dia balik sini, ada aje adik beradik suami dia datang bertunggu tangga. Sampai lunyai si Najwa tu melayan. Mana nak masak lagi, kemas rumah bagai melayan kerenah ipar duai yang berlagak diva. Menyampah aku dibuatnya. Dan yang buat aku lagi marah, dia selalu mengadu pada aku. Sakit kakilah, sakit pingganglah, sakit badanlah, mengantuk, penat dan macam-macam lagi. Macam mana tak penat, semua kerja dalam rumah tu dia uruskan sendiri. Hantar dan ambil anak sekolah, hantar pergi sekolah agama lagi, tusyen lah, kokurikulumlah. Sampai lesu Najwa tu ‘dikerjakan’ Borhan. Alasan tak ambil bibik, dah serik dengan fiil bibik lari dari rumah. Sedangkan si isteri itu dah macam kuli batak aje aku tengok. Terkejar sana sini, uruskan anak-anak dan rumahtangga,” luah Maryam lagi dengan lagak tidak berpuas hati.


Kredit Foto: Google

Ingin meredakan ketegangan suasana dan amarah Maryam, Raden menghulurkan gelas berisi jus oren kepadanya. “Kita orang luar Yam. Bukan sebarangan boleh campur tangan dalam hal rumahtangga orang. Tambahan pula jiran sebelah-menyebelah. Kalau ada kecemasan ke bukankah jiran yang kita minta tolong,” giliran Raden membentangkan hujah. “Ha, lagi satu bab minta tolong ini. Ada satu malam tu, dia datang ketuk pintu rumah aku. Minta tolong aku bawakan anaknya ke klinik kerana demam panas dan sawan. Bila aku tanya ke mana Borhan, katanya ada reunion, tak sempat balik. Kalau balik pun jalan jammed. Rasa geram pada Borhan aku ketepikan dahulu dan bawa anaknya ke klinik. Lepas dua jam baru muncul kelibat Borhan di klinik dan aku terus balik. Tak boleh nak bertentang mata dengan suami dia. Rasa geram dan marah yang teramat sangat. Tak pernah lagi aku jumpa suami yang pentingkan diri, kedekut dan berkira macam Borhan. Lepas insiden itu, aku tak lagi bertegur sapa dengan Borhan. Kalau kebetulan bertentang matapun, jelingan tajam yang aku lemparkan. Geram Raden. Kalau kau duduk serumah dengan aku, lihat sendiri setiap perbuatannya barulah kau boleh faham apa yang aku rasa,” panjang lebar penjelasan Maryam. Raden sebagai rakan hanya mampu menadah telinga mendengar rintihannya yang kini semakin meluat dengan fiil suami jirannya itu. Tidak adil bagi Raden berpihak kepada sesiapa tetapi sekadar menumpang rasa simpati pada Najwa yang bersuamikan seperti Borhan.


Sambil jari jemari menekan key pad membalas kiriman whatsapp, Maryam meneruskan kembali cerita Najwa. “Suatu hari lepas aku pulang dari makan dan beli barang dapur dengan anak-anak aku dan suami aku, tiba-tiba muncul kelibat Najwa. Ayat dia lebih kurang macam tadilah. Tegur banyak barang beli sampai tak cukup tangan. Selamba aje aku cakap “Memang banyak beli pun sebab Muiz tak berkira soal beli barang dapur, belanja anak-anak semua. Syukur sangat walaupun Muiz tak bergaji besar macam Borhan tapi masih mampu sara kami sekeluarga”. Najwa sentap dan terdiam lantas terus masuk ke rumah. Mungkin dia terasa lebih-lebih lagi aku pakai skaf LV waktu itu, gigit jarilah dia. Sedangkan dia hanya mampu jinjit beg tangan label mewah tapi gred triple A aje,” jelas Maryam dengan lagak puas. Segera Raden perbetulkan tindakan Maryam yang seakan menunjuk-nunjuk itu. “Tak baik Yam kau buat macam tu. Sepatutnya kau tolong dia. Tolong daripada segi berani suarakan hak Najwa sebagai isteri supaya suami dia berubah dan bertindak. Itu lebih baik daripada kau menunjuk-nunjuk,” jelas Raden dan Maryam seakan mengangguk perlahan.


Kredit Foto: Google


Daripada pandangan Raden, Najwa perlu bangkit dan ‘merdekakan’ diri daripada tingkah laku Borhan yang berkira, kedekut, mementingkan diri sendiri dan lupa tanggungjawab mutlak sebagai suami. Biar bertegang urat agar masing-masing tahu peranan dan tugas untuk melayari bahtera rumahtangga. Usah berdiam diri, duduk terperuk dan ikut semua telunjuk suami tanpa membela diri. Luahkan kesukaran yang dialami, kongsikan keperitan isteri yang saban hari mengambil tugas suami tatkala suami bekerja di luar. Asam garam rumahtangga, sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Benar suami adalah kepala rumahtangga tetapi itu tidak bermakna dia bermaharajalela mengarah isteri tanpa rasa belas dan kasihan. Raikan isteri dan hargai setiap pengorbanannya. Nescaya hidup rukun damai lagi bahagia.