Selalunya apabila skrol akaun media sosial kita dan baca setiap status mahupun posting yang dimuat naik; apa reaksi pertama yang terlintas di minda? Misalnya, ketika buka saja Instagram dan lihat posting rakan yang bercuti, ada atau tidak terbit rasa cemburu? “Untunglah dia boleh pergi bercuti kat Maldives. Buka tingkap terus terjun laut." "Dia bolehlah shopping sakan, suami dia kaya. Aku apa ada?” Haaa, baik mengaku kalau itu antara persepsi pertama yang anda fikir.


Kredit Foto: Google


Benar, ia adalah sesuatu yang normal. Tetapi apa yang membuatkan seseorang itu ‘abnormal’ adalah jika setiap posting rakan-rakan, kenalan mahupun saudara-mara waima positif sekalipun, yang terlintas dalam fikirannya adalah negatif belaka. “Eleh, nak menunjuklah tu. Ingat dia aje ada anak yang sibuk nak update”. “Kalau setakat masak macam ni, aku pun boleh buat. Tak payah sibuk nak rakam bagai”. Ia jelas memperlihatkan bagaimana mudahnya pemikiran seseorang itu didoktrinkan dengan satu hala saja. Semuanya negatif, salah dan tidak betul. Sedangkan yang perlu diperbetulkan itu adalah dirinya.

Apabila perihal ini berlaku dan mulai sebati dalam diri juga minda seseorang, telah tertanam satu stigma yang bersifat keakuan, keegoan dan yang seangkatan dengannya. Hinggakan tatkala dinasihati oleh orang lain, ia bagaikan mencurah air ke daun keladi. Sungguh, ia membuktikan hati anda tidak bersih, penuh dengan toksin dan anasir negatif selain minda yang tidak sihat dan akhirnya hanya akan memakan diri.

Malah lebih buruk lagi adalah jika anda turut sama menghasut orang lain supaya berfikiran dan berpendirian yang sama. Rentetan itu, ia membawa kepada komen berbaur kecaman yang tidak mencerminkan interpretasi yang sewajarnya. Dan itulah yang berlaku dalam kalangan masyarakat kita kini.

Ini sebahagian tanda-tanda hati anda dipenuhi dengan toksin:


Kredit Foto: Google
  1. Hanya Nampak Salah Orang Lain
Biarpun kesalahan itu datang daripada dirinya, tetapi dia tetap tidak sedar dan hanya lihat keburukan dan kesalahan orang lain. Lebih buruk lagi apabila dia tidak mengakui kesilapannya.
  1. Mudah Jatuhkan Hukum
Tatkala membaca suatu berita misalnya, terlalu mudah sekali dia membuat kesimpulan tanpa membaca intipati cerita secara keseluruhannya atau mengkaji terlebih dahulu. Lantaran itu, mulalah dia membuat teori dan andaian yang hanya berdasarkan firasatnya sahaja.


Kredit Foto: Google
  1. Susah Terima Nasihat
Betapa egonya dia apabila ditegur secara baik, tidak diendahkan segala nasihat itu. Baginya pandangan orang lain tidak penting. Dia selesa mendominasi sesuatu perbincangan tanpa memikirkan kemungkinan dan membuat pertimbangan sewajarnya.
  1. Bersangka Buruk
Apabila seseorang itu cuba melakukan kebaikan, dia hanya memperlekehkan kesungguhan dan usaha yang ditunjukkan. Baginya ia dilakukan semata-mata mahu menunjuk kerana sudah tertanam dalam mindanya cepat bersangka buruk dengan orang lain.


Kredit Foto: Google
  1. Bangga Diri
Biarpun sesuatu urusan kerja itu sebenarnya terhasil daripada kerja berpasukan, tetapi dia tetap berasakan kejayaan itu diperoleh hanya kerana penglibatan dirinya.
  1. Mengharapkan Pujian
Hanya mahu dengar dan baca komen-komen indah saja tatkala memuat naik status di media sosial. Segala komen negatif, kritikan membina tidak dipedulikannya kerana dia selesa dibuai pujian melangit daripada insan sekeliling.
Kredit Foto: Google
  1. Menjaja Cerita dan Buka Aib Orang Lain
Memandangkan dia hanya nampak salah orang lain, maka segala keburukan dan kesilapan seseorang itulah yang menjadi bahan juga kekuatannya untuk menjaja cerita sana-sini. Apa yang didengarinya lantas disebar luas kepada pengetahuan orang lain.

Justeru Bagaimana Mahu Merawatnya?
  1. Muhasabah Diri
Sentiasa ingatkan diri bahawa tiada yang sempurna dalam diri kita. Masing-masing ada kelemahan, kekurangan, kelebihan dan kemampuan tersendiri. Didik hati agar selalu beringat kepada Allah. Ingat waktu ketika susah siapa yang ada bersama, ingat dari mana asal usul kita dan sebagainya. Insya-Allah jika selalu renung ke dalam diri anda pasti temui ruang untuk memperbaiki kekurangan diri.


Kredit Foto: Google
  1. Dekatkan Diri Dengan-Nya
Merayulah, merintihlah, mengadulah kepada Yang Maha Pencipta. Kerana dengan mengingati Allah itu akan membawa kita sentiasa dekat dengan-Nya seraya menginsafi betapa kesempurnaan itu hanya milik Allah yang memiliki segalanya.
  1. Berdamping dengan Mereka Yang Positif
Kita punya pilihan untuk memilih dengan siapa kita berkawan kan? Jadi, ubah persekitaran dan mereka yang berada disekeliling kita. Siapa yang mendorong kita melakukan kebaikan, keyakinan dan semangat serta semua nilai-nilai murni lagi positif; maka sewajarnya itulah yang menjadi ikutan dan dijadikan idola. Kerana secara tidak langsung, positive vibes itu akan membuatkan kita turut sama terikut.


Kredit Foto: Google
  1. Tingkatkan Ilmu Pengetahuan
Cari dan gali lagi ilmu berkaitan peningkatan kendiri, bagaimana mahu bersihkan hati yang kotor lagi berdebu dan sebagainya. Mudah saja, manfaatkan platform media sosial yang ada. Follow tokoh-tokoh ilmuan, alim ulama, page motivasi dan lain-lain yang sentiasa mendorong, mengingatkan kita dan menyuntik aura positif ke arah kebaikan. Beli buku-buku yang mampu merangsang daya pemikiran ke arah yang lebih baik. Atau paling mudah, buka saja Youtube dan dengar ceramah daripada ustaz ustazah bertauliah. Lebih berfaedah.
  1. Banyakkan Bersyukur
Ketahuilah, segala yang ada digenggaman kita hari ini adalah pemberian daripada-Nya. Ia hanya pinjaman semata-mata dan usah berlagak sombong lantas berasakan kita yang punya. Akui kelemahan diri dan bersyukurlah dengan apa yang ada. Jauhi sifat tamak, riak, ujub dan pelbagai lagi sifat mazmumah yang akhirnya hanya memakan diri. Perbanyakkan sedekah dana mal jariah sebagai tanda kita mensyukuri nikmat yang Allah beri.
Kredit Foto: Google
  1. Jaga Mulut, Kawal Nafsu
Ya, nafsu untuk membuka aib orang lain, mengumpat, menceritakan keburukan dan mencerca sebaiknya dikawal. Mungkin pada mulanya sukar untuk menahan diri tetapi apa kata sibukkan diri dengan pelbagai perkara berfaedah yang lain. Contohnya daripada menyebarkan gosip, lebih baik membaca Al-Quran, membaca buku dan banyak lagi. Slowly but surely, cubalah!