gaya hidup
Awasi Karakter PEMBULI Pada Diri Anak-Anak Sejak Kecil – Jangan Pula Bangga Atau Rasa CUTE!
Kisah tragis Allyarham Zulfarhan yang menjadi mangsa buli kawan-kawan seasramanya sehingga membawa maut menggetarkan hati semua orang terutama mereka yang bergelar ibu bapa. Walaupun semua pesalah sudah dijatuhi hukuman oleh mahkamah, namun perkara ini tidak boleh dilupakan terus.
Kita yakin ia bukan kes terakhir kerana pasti akan ada lagi kes seumpama ini yang akan atau sedang berlaku kepada anak-anak kita. Sampai bila isu buli ini harus berada dalam masyarakat kita, tidak kisahlah sama ada pembulian ringan atau berat.
Anak-anak yang dihantar untuk menuntut ilmu tidak seharusnya didedahkan dengan situasi tidak sihat seperti ini atas apa jua alasannya. Membina jati diri dan kekuatan dalam diri anak-anak bukanlah dengan cara membuli atau raging sehingga menakutkan mereka dan mengancam keselamatan dan mental anak-anak.
Selain pihak pengurusan institusi atau guru atau pegawai bertugas di situ, ibu bapa juga haruslah memainkan peranan penting dalam mendidik anak-anak tentang buruknya sikap membuli ini. Saya yakin untuk menjadi pembuli, ia bukan datangs ecara tiba-tiba, ia adalah sikap yang sudah tertanam lama dalam diri seseorang itu.
Makanya, sangat penting didikan yang baik dipupuk sejak anak masih kecil. Prihatin dengan perkembangan anak-anak untuk meihat karakter anak-anak yang ada ciri-ciri atau kecenderungan untuk menjadi pembuli. Cegah sebelum melarat.
Ciri-Ciri Awal Sikap Pembuli Pada Anak Yang Perlu Diberi Perhatian
- Ada anak-anak mempunyai sikap pemarah atau panas baran. Cuba lihat tahap panas baran si anak. Jika sampai tahap suka memberontak dan hilang kawalan, ibu bapa harus lakukan sesuatu untuk mengawal sikap baran itu seperti merujuk ke pakar psikologi kanak-kanak dan sebagainya
- Anak-anak yang suka bermain secara kasar juga harus ditegur tentang bagaimana untuk bersikap lebih toleransi dan berhemah apabila bersama kawan-kawan.
- Sikap anak-anak yang suka merampas barang orang, suka bergaduh dengan kawan sepermainan, tidak mahu mengalah juga harus diperhalusi
- Walaupun orang kata anak-anak kecil tidak pandai menipu namun ada sesetengah kes melibatkan kanak-kanak yang sudah pandai menyembunyikan kebenaran demi menutup kesilapan kerana takut dimarahi. Ingat pepatah Melayu, ‘siakap senohong, gelama ikan duri, bercakap bohong, lama-lama jadi pencuri’. Perbuatan berbohong akan membawa kepada sikap lain yang lebih buruk
- Anak-anak yang kuat memberontak dan hanya mahu didengar cakap mereka saja harus diberi didikan sewajarnya. Sayangkan anak bukan bermakna harus turut semua kemahuan mereka. Apabila besar nanti, takut mereka jadi seorang yang sentiasa menganggap diri betul
- Ada ibu bapa yang okey apabila anak-anak jenis yang sangat berani sehingga tiada seorang pun yang ditakutinya. Malah, jika ditegur oleh orang dewasa pun dia ‘tidak makan saman’. Ini bukanlah perkara yang bagus apabila anak-anak langsung tiada rasa hormat kepada orang lebih tua dan menganggap teguran sebagai satu gurauan
- Sangat menjengkelkan apabila anak kecil boleh membentak ibu dan bapanya sesuka hati dan ibu bapa hanya menurut kehendak dan arahan si anak. Come on! Jangan ‘merajakan’ anak walau pada usia mereka masih kecil
- Ibu bapa juga perlu awasi kelompok kawan-kawan anak-anak anda. Tak dinafikan ada anak-anak yang sudah dididik dengan baik tetapi kerana salah pergaulan akhirnya membawa mereka kepada kerosakan