Hiburan

Azrel Ismail – Tak Mahu Terus Sandarkan Pada Rupa, Optimis Bakat Dan Disiplin Perlu Seiring.

gempak
Huda Hussain
29/06/2020
15:10 MYT
Sponsor Banner
Azrel Ismail – Tak Mahu Terus Sandarkan Pada Rupa, Optimis Bakat Dan Disiplin Perlu Seiring.
Menyorot kembali kenangan kala InTrend muncul dengan naskhah cetak, edisi Februari 2018 yang lalu cukup mudah dilunaskan aktor ini. Menghargai waktu dan menghormati ketepatan masa, antara kriteria dan nilai tambah yang terus memacu nama Azrel Ismail untuk kekal dan berada dalam industri seni.
Imbas semula detik penceburan Azrel dalam dunia seni lakon, bagaimana segalanya bermula? Awalnya saya bekerja sebagai pegawai perhubungan awam di salah sebuah hotel di Kuala Lumpur, sekitar lima tahun. Dan dalam masa sama saya menceburi bidang peragaan. Kemudian apabila terlibat dalam beberapa iklan yang memerlukan saya berlakon, disitulah detik mulanya saya berjinak-jinak dengan dunia lakonan. Indahnya, kali pertama saya menerima tawaran berlakon iklan dan sesi penggambarannya dilakukan di Uzbekistan. Selepas pulang dari Uzbekistan saya nekad untuk berhenti kerja daripada industri perhotelan kepada lakonan. Syukur kerana tidak lama selepas itu saya menerima tawaran berlakon sebuah drama dan berpeluang memegang watak utama. Sejak itulah saya mula serius dan berlakon sepenuh masa pada tahun 2015.
Kredit Foto: IG Azrel Ismail
Antara peragaan dan lakonan, mana yang memberi kepuasan kepada anda? Pada saya lakonan kerana bidang peragaan cara kerjanya sama, jika ada sesi fotografi atau pertunjukan fesyen, hanya perlu posing atau mungkin catwalk. Berbeza dengan lakonan, saya berpeluang menimba pengalaman dan boleh menjadi pelbagai karakter. Saya berpeluang ‘menjadi orang lain’ sama ada orang baik, jahat, psiko, alim dan lain-lain untuk menjayakan sesuatu watak. Disitulah kepuasannya. Ditambah pula dengan reaksi penonton, misalnya jika sesebuah drama itu digemari, trending dan mendapat sambutan seolah-olah lega rasanya apabila hasil kerja keras dan usaha kita diterima dengan baik. Fuh, puas sangat!
Apa yang memotivasikan Azrel untuk tidak sekadar bergelar pelakon yang memeriahkan industri seni? Pada saya apabila menerima maklum balas baik, komen positif atau komen membina daripada pihak stesen televisyen, peminat dan orang-orang dalam industri; ia sekali gus memberi tanggapan bahawa saya mempunyai tempat dalam industri untuk bertapak dan meneruskan perjalanan karier sebagai pelakon. Saya akui kontroversi juga membantu menaikkan nama seseorang untuk lebih ‘dilihat’ dalam kalangan orang-orang industri. Tetapi perlu dilihat juga, sejauh mana kontroversi itu, sama ada ia sesuatu yang sihat, berbentuk persaingan atau semata-mata mahu menjatuhkan seseorang. Dan bukan itu sahaja, aspek disiplin harus diberi perhatian. Dan saya sendiri sentiasa cuba memastikan untuk kekal lama dalam industri, aspek call time, pengurusan masa dan jadual menjadi keutamaan agar saya bukan dilihat sekadar pelakon yang memeriahkan industri.
Kredit Foto: IG Azrel Ismail
Berdasarkan pemerhatian saya sepanjang tiga tahun dalam industri, aspek sambutan dan daya tarikan penonton sebenarnya bergantung kepada di mana slot drama itu diletakkan. Ada ketikanya naskhah yang saya terima itu cukup baik. Skrip yang bermutu, penceritaan yang baik tetapi kekurangannya daripada aspek slot. Tidak kurang juga ada tawaran yang saya terima skrip dan jalan ceritanya ringan namun mendapat sambutan baik, trending di media sosial dan kebetulan waktu tontonannya ‘kena’ dengan selera penonton.
Sifat gentleman yang kian terhakis dalam kalangan masyarakat hari ini pada pandangan Azrel? Tidak keterlaluan jika saya katakan, ada beberapa sifat gentleman yang membuatkan kita terlepas pandang dan ada sesetengahnya tidak lagi dipraktikkan dalam kalangan masyarakat. Contohnya kalau naik kereta dengan seorang wanita, jika diikutkan template gentleman itu, lelaki yang akan tolong bukakan pintu, ataupun beri laluan kepada wanita untuk keluar lif terlebih dahulu. Mungkin ia hanya akan dilakukan apabila kita berada dalam kelompok orang yang tidak dikenali. Dan berbeza dengan orang yang sudah kita kenal, umpamanya teman wanita. Mungkin awal perkenalan sahaja segala macam sifat gentleman itu dipraktikkan. Tetapi lama kelamaan kita sudah terbiasa dan tidak lagi melakukannya. Begitu juga dengan mereka yang berkahwin. Mungkin tidak semua tetapi kebanyakannya tidak lagi mempraktikkan berpegangan tangan sesama suami isteri kerana mungkin faktor perlu memantau pergerakan anak. Pada saya aspek gentleman ini perlu diterjemahkan dan bukan sekadar menjadi bahan bualan sahaja. Atau mungkin juga kerana, sesetengah perkara yang bersifat gentleman ini membuatkan kita berasa malu untuk melakukannya. Mungkin sebab kita terlalu memikirkan pandangan dan cakap-cakap orang. Misalnya, “Ah, tak payahlah. Malu kalau orang tengok,” atau mungkin “Eh poyolah nak buat benda ni semua” Kerana berbeza dengan masyarakat Barat. Lihat sahaja pasangan suami isteri terutamanya warga emas, biarpun sudah tua mereka masih lagi romantis. Mungkin ada sesuatu yang boleh kita jadikan ikutan.
Lelaki terkenal dengan sifat ego. Namun pada pandangan Azrel, mengapa ego perlu ada dalam jiwa seorang lelaki? Saya suka beri contoh dalam bentuk situasi. Misalnya lelaki ini mula menyukai seorang perempuan tetapi tidak mahu meluahkannya kerana dia lebih selesa mahu melihat rentak dan gelagat si perempuan ini. Stalk di media sosial untuk mengetahui apa yang dilakukannya, itu dan ini. Tetapi anggapan si perempuan ini pula, “Eh, egonya mamat ni. Cakap ajelah suka kat aku” Tetapi sebenarya lelaki ini mahu menyimpan sedikit perasaan ego untuk melihat apa tindakan dan langkah si perempuan ini, apakah dia memenuhi kriteria yang diingini dan sebagainya. Dan ego itu sekadar stopper sebelum si lelaki ini memutuskan apa-apa. Malah ego itu juga membantu kerana si lelaki ini memikirkan pelbagai sudut dan sebagai sebahagian daripada proses penilaian. Namun pada saya, biarpun ego tetapi lelaki masih punya courtesy. Antaranya menunjukkan keprihatinannya terhadap perkara-perkara yang mungkin nampak remeh tetapi bermakna contohnya mengucapkan selamat pagi, memberi salam dan sebagainya.
Kredit Foto: IG Azrel Ismail
Namun daripada perspektif keburukan ego pula itu disifatkan sebagai sesuatu yang negatif. Misalnya jika pasangan yang berkahwin, tidak salah jika si suami yang mengaku salah dan memohon maaf. Pada saya, pelik dan seolah-olah tidak kena jika si isteri yang memujuk suami. Sebaliknya biarlah suami yang memujuk isteri. Dan ia sewajarnya perlu dipraktikkan oleh lelaki tidak kiralah sama ada mereka yang sudah berkahwin atau belum berkahwin. Takkan ke mana ego anda jika anda yang mengakui kesalahan dan memohon. Pada saya itu lebih gentleman dan membuatkan wanita lebih menghormati lelaki.
Dunia media sosial hari ini sedikit sebanyak telah ‘membuka’ ruang untuk orang ramai mengikuti ke mana anda pergi, apa yang anda lakukan dan sebagainya. Pernah terbit rasa rimas atau bosan? Tidak dinafikan, media sosial hari ini amat penting bagi golongan selebriti. Misalnya untuk kami mendapatkan sesuatu tawaran daripada pihak klien yang berpotensi umpamanya, ia bersandarkan kepada pengikut di laman sosial. Tetapi seperkara yang saya perasan mengenai media sosial, jumlah likes dan pengikut anda akan menurun jika anda tidak memuat naik sesuatu gambar. Misalnya dahulu saya pernah membuat eksperimen dan merasakan malas mahu muat naik gambar untuk tempoh seminggu. Dan hasilnya jumlah likes dan pengikut baru merosot. Contohnya mereka sudah lama tidak lihat saya muncul di televisyen sedangkan saya sibuk shooting ke sana sini. Namun cabarannya timbul apabila kadang-kala saya tidak punya masa yang mencukupi untuk membalas dan menjawab pertanyaan mahupun komen yang dihantar secara direct message. Jika saya membalas, kemudian ada yang seolah-olah memberikan hint untuk saya meneruskan perbualan atau memberitahu saya mereka berada di sekian-sekian lokasi. Tetapi saya cuba berinteraksi secara aktif dengan semua peminat dan pengikut sedaya yang mampu. Dan itulah kuasa media sosial kepada semua, mampu mengeratkan hubungan sesama kita sama ada yang jauh mahupun dekat. Ia medium terbaik untuk kami barisan selebriti berkongsi perkembangan kepada peminat dengan cara yang lebih pantas dan meluas.
Kredit Foto: IG Azrel Ismail
Being too transparent and being too show off juga tidak rasional bukan? Justeru mana yang Azrel pegang? Saya cuba transparent dalam soal yang boleh saya kongsikan. Misalnya rutin harian pergi ke gimnasium, makan, menghadiri sesi penggambaran, acara atau majlis dan seumpama dengannya. Namun saya juga sukakan privasi dalam soal tertentu. Misalnya dengan siapa saya keluar, dengan siapa saya berjumpa dan lain-lain. Pada saya, lebih baik hadkan sesuatu post atau status. Dan lebih penting anda fikirkan dahulu baik buruk sebelum berkongsi atau membuatkan gambar mahupun status. Tidak terlalu menunjuk dan tidak terlalu reserved. Manfaatkan medium ini sebaiknya dan sewajarnya. Biarlah ia relevan dalam apa jua segi.
Ucapan istimewa Azrel kepada peminat dan penyokong setia Azrel? Mereka mempunyai struktur organisasi yang lengkap, misalnya presiden dan lain-lain. Ada 'whatsapp group' dan saya akan maklumkan apa jua aktiviti atau yang relevan dengannya untuk pengetahuan mereka. Jika saya terlibat dengan apa jua event, mereka pasti ada dan turut sama turun padang. Ada sahaja terdengar jeritan mereka dengan banner itu dan ini. Walaupun saya tidak menggajikan mereka tetapi saya terharu dengan sokongan yang mereka beri. Terima kasih kerana tidak pernah putus-putus dan tidak pernah jemu menyokong perjalanan karier saya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live