Mungkin ada yang pernah merasai pengalaman seperti ini. Tentang bagaimana kedua ibu bapa kita cuba memenuhi permintaan dan keinginan kita semasa kecil dahulu. Cuba sedaya upaya untuk adakannya kerana tak mahu kita ketinggalan atau tak mahu kita berkecil hati. Sama ada ‘naik tocang’ atau tidak bergantung kepada cara didikan ibu bapa.


Ada juga yang membesar dengan didikan yang tegas bagaikan militari. Tetapi kesudahannya kita tetap menjadi insan yang boleh diharap, boleh memikul tanggungjawab dan berdikari seadanya seperti hari ini. Dan semua itu adalah refleksi bagaimana cara didikan dan kita dibesarkan. Andai betul dan elok acuannya, maka terbentuklah sifat dan keperibadian yang mulia dan dipandang tinggi masyarakat.

Kredit Foto: Google

Adab dan Akhlak
Adakah sesama ibu bapa sering kali meninggi suara apabila berbual di rumah? Atau bertutur dengan penuh hemah dan lembut? Terpulang kepada cara dan pendekatan masing-masing. Tetapi seperkara yang peru diingat, anak-anak akan memerhatikan segala gerak-geri kita dan ia akan tersimpan kemas dalam kotak memori mereka. Apabila usia meningkat remaja dan dewasa, andai mereka suka meninggikan suara apabila berbual dengan kita, maka faham-faham sajalah bagaimana ia ‘diwarisi’. Biarpun di sekolah, anak-anak dibekalkan dengan ilmu dan pengetahuan tentang adab, akhlak dan nilai-nilai murni lain namun begitu tanggungjawab dan peranan untuk membentuk semula personaliti mereka tergalas dibahu dan tangan ibu bapa. Kerana kita sering mendengar bahawa anak-anak ibarat kain putih. Ibu bapalah yang bertanggungjawab mencorakkannya.

Kredit Foto: Google

Adakah Kita Juga Menghormati Golongan Yang Lebih Tua?
Lihat pula bagaimana cara kita melayani orang yang lebih tua daripada kita. Tidak perlu sibuk memikirkan orang lain. Bagaimana cara dan layanan kita terhadap ibu bapa sekiranya masih berpeluang menabur bakti dan budi kepada mereka. Adakah sememangnya kita melayan mereka biasa-biasa sahaja? Atau layanan bertaraf lima bintang kita bentangkan untuk mereka? Bagaimana pula pertuturan kita terhadap mereka? Dan apabila menyentuh soal ini mungkin ada yang beranggapan menjadi budaya dalam keluarga bergurau kasar, cakap dengan nada suara yang tinggi dan sebagainya kerana ia sudah menjadi kebiasaan. Atau mungkin juga menjadi identiti segelintir masyarakat misalnya orang Melaka yang bergurau kasar atau berbual bagaikan mahu bergaduh. Itu terpulang kepada cara masing-masing. Selagi garis sempadan hormat itu dipegang dan tidak mengguriskan hati sesiapa, maka teruskan sahaja.

Kredit Foto: Google

Didikan Hari Ini Menentukan Layanan Anak Terhadap Kita
Yakin dan percayalah, tanggungjawab kita sebagai ibu bapa amat berat. Ada perkara yang perlu kita tanggung dan perlu kita jawab. Sekiranya masa kecil mereka kita isi dan sibukkan dengan sentiasa meluangkan masa dengan mereka, pasti perihal yang sama akan mereka contohi daripada kita. Dan jika sebaliknya kita sibuk dengan kerja dan urusan duniawi, terkejar-kejar ke sana sini, kesannya tunggulah ketika meniti usia tua nanti. Jangan mengeluh kalau anak beri pelbagai alasan untuk berjumpa orang tuanya. Apa yang kita terapkan semasa mereka masih kecil, asuhan dan didikan yang sama akan menjadi pegangan juga bekalan sehingga mereka dewasa kelak. Sabarlah dalam mendidik mereka seperti yang dilakukan ibu bapa kita dahulu. Insya-Allah, moga usaha dan pengorbanan kita mendidik mereka akan berbalas dengan layanan lima bintang daripada mereka apabila kita tua nanti.