Read

“Bagi Homework Salah, Tak Bagi Dikatakan Makan GAJI BUTA. Kami Juga Ada ‘Anak Lain’ di Rumah,” – Cikgu Hanie.

gempak
Afiza Kamarulzaman
18/04/2020
15:25 MYT
Sponsor Banner
“Bagi Homework Salah, Tak Bagi Dikatakan Makan GAJI BUTA. Kami Juga Ada ‘Anak Lain’ di Rumah,” – Cikgu Hanie.
Apakah yang disakitkan hati sangat ibu bapa terhadap para guru? Apakah bakti mereka selama mendidik anak-anak bangsa tidak sikit pun dihargai? Malah, dicaci dan dijaki pula dengan sedikit kelebihan yang ada.
Itu pun belum tentu mereka bergembira dengan kelebihan itu. Sekadar kelebihan tidak perlu hadir ke sekolah ketika PKP ini? Banyak lagi pekerjaan lain juga tidak perlu ke pejabat, mengapa guru juga yang didengkikan?
Adakah kerana ibu bapa sendiri tidak sanggup untuk mengadap anak-anak sendiri sepanjang masa, maka kemarahan itu berbalik kepada para guru pula? Inilah masanya untuk ibu bapa kenali betul-betul anak-anak sendiri?
Mencuri peluang yang ada untuk mendidik dan membentuk anak-anak menerusi ‘air tangan’ sendiri. Jika selama ini, guru sudah cukup mengajar dari pagi ke petang (itu pun banyak rungutan ibu bapa), nah lalui pengalaman yang tidak berapa lama ini.
InTrend sempat menemubual salah seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan Johor Jaya 1, Puan Noor Hanie mengenai pendapat beliau tentang beberapa isu yang timbul berkaitan pendidik dan ibu bapa pelajar.
Puan Hanie mengajar subjek Pendidikan Seni Visual dan Sejarah sudah berpengalaman lebih sembilan tahun dalam bidang pendidikan. Ini antara kata-kata beliau.

Kredit foto: ​Puan Hanie

Setuju UPSR dan PT3 Ditangguh
Keputusan kerajaan membatalkan peperiksaan UPSR dan PT3 tahun ini diterima baik kebanyakan ibu bapa dan para guru. Puan Hanie antara yang menyokong tindakan tersebut kerana menurutnya agak mustahil untuk menjaga penjarakan sosial satu meter itu di kalangan para pelajar ketika di sekolah.
“Seperti yang kita maklum, penjarakan sosial ini harus diteruskan untuk beberapa bulan akan datang dan ia pastinya sulit untuk dilakukan d sekolah kerana kekangan masa dan ruang di sekolah.”
Puan Hanie mengulas mengenai ruang kelas yang diduduki sekitar 30 orang pelajar dan bagaimana mahu disusun kedudukan mereka dalam jarak yang jauh. Begitu juga jika di kantin dan ketika mereka menaiki bas atau van sekolah?
Jika mahu disusun mereka mengikut jadual dan trip agak mustahil kerana ia pasti memakan masa dan merugikan masa pelajar itu sendiri. “Lagi pun, peperiksaan ini bukan dibatalkan tetapi ditangguhkan.
Jadi, saya rasa ia bukanlah masalah besar demi untuk kebaikan semua.”

Kredit foto: ​Puan Hanie

Kenapa Ibu Bapa Meroyan Anak-Anak Diberi Kerja Rumah?
Tular baru-baru ini audio seorang bapa yang memarahi guru di ruang WhatsApp apabila anaknya diberi kerja rumah. Tidak hanya memarahi, malah bapa itu turut mengugut guru terbabit agar jangan mengapa-apakan anaknya nanti jika anaknya naik ke sekolah tanpa menyiapkan kerja rumah yang diberi.
Rata-rata warganet berang dengan tindakan bapa terbabit yang dirasakan keterlaluan dan biadap.
“Saya sendiri tidak faham kenapa guru pula dipersalahkan apabila memberikan anak-anak murid kerja rumah sedangkan sebelum ini ramai yang membangkitkan soal guru goyang kaki ketika PKP.
Ibu bapa harus faham, semua yang kami lakukan ini adalah daripada arahan pihak atasan juga. Bukan memandai-mandai. Kita mengadakan sesi kelas secara maya mengikut kesesuaian guru dan pelajar itu sendiri.”
Puan Hanie juga mengingatkan ibu bapa agar bersikap lebih prihatin terhadap anak-anak dalam waktu begini. “Kami juga ada anak-anak sendiri di rumah. Kami juga perlu lunaskan tanggungjawab kami di rumah tetapi apabila waktu kerja, kami perlu melakukan kerja perguruan kami.
Kami tidak mahu anak-anak dibiarkan ‘kosong’ tanpa apa-apa aktiviti sepanjang PKP ini. Budak-budak bukan seperti kita orang dewasa yang boleh buat apa saja yang kita suka.
Cara ini bagus bagi membolehkan komunikasi dan hubungan guru dengan anak murid kekal terjalin walau secara maya."

Kredit foto: ​Puan Hanie

Maknanya, Bukanlah Guru Goyang Kaki Semata?
“Siapa kata kami guru-guru goyang kaki dan makan gaji buta sahaja sepanjang PKP ini? Ramai mungkin tidak tahu kami masih bekerja terutamanya yang melibatkan folio pelajar-pelajar.
Contohnya kalau pelajar SPM perlu siapkan folio mereka tetapi tidak cukup kertas, maka kami perlu memastikan bekalan itu cukup dan boleh sampai ke tangan para pelajar.
Kami juga perlu masuk kelas secara maya, menandatangi kedatangan pelajar, membuat laporan peratusan kehadiran pelajar ke kelas maya, menyediakan nota-nota subjek dan menjawab sebarang soalan pelajar secara online.
Puan Hanie juga meminta agar masyarakat tidak terus bersangka buruk terhadap kerjaya guru yang dikatakan banyak masa terluang. Masa pembelajaran pelajar mungkin tidak lebih setengah hari tetapi tugas guru lebih daripada waktu di kelas itu sahaja.
Itu belum dikira apabila tugasan perlu dibawa balik atau mereka perlu menghadiri kursus pada hujung minggu. Namun, guru-guru tidak pernah mengeluh kerana sedar itulah tanggungjawab mereka.

Kredit foto: ​Puan Hanie

Janganlah Pandang Lekeh Kerjaya Perguruan
Kalau dulu, guru dimuliakan sesuai dengan tugasan mereka mendidik dan membentuk anak bangsa. Tetapi kini, sangat menyedihkan apabila barisan guru dipandang sinis dan ada yang bersikap biadap sehingga sanggup menyaman dan memaki-hamun guru.
Fitnah dan kecaman usah dicerita. Pada zaman media sosial ini, lagi galak ibu bapa melempiaskan rasa marah tanpa usul periksa. Ada yang sanggup memalukan guru yang mengajar anaknya dengan pelbagai cara.
“Fintah pada zaman sekarang seperti memakan kacang. Begitu mudah ditabur tanpa mengira siapa, bukan guru sahaja. Apa boleh buat kalau sudah itu mentaliti masyarakat zaman sekarang.
Apa pun, sesuatu yang ingin saya tegaskan di sini kerjaya guru bukan kerjaya lekeh seperti tanggapan segelintir orang. Kita barisan guru tidak hanya punya diploma atau ijazah, ada sesetengah guru berpendidikan PHD dan master tetapi tetap setia dengan kerjaya ini.”
Tambah Puan Hanie, kalau dulu orang menyamakan kerjaya guru ini dengan menjual tupperware atau balik jam satu, ia sesuatu yang perlu diubah.
Guru bukan hanya mengajar anak murid di kelas, malah melakukan begitu banyak pekerjaan sampingan lain yang kalau disenaraikan satu-satu pasti kamu sendiri tidak mahu tahu.
“Jadi, ubahlah persepsi negatif itu. Hormati guru jika anda sendiri mahu anak-anak anda menjadi orang terhormat,” akhiri Puan Hanie.

Kredit foto: ​Puan Hanie

Kredit foto: ​Puan Hanie
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live