Highlights

Bagus Juga Tak Dapat Balik Kampung. ‘Terselamat’ Daripada Jawab Soalan Cepu Emas ‘Makcik Bawang’. Hehehe…

gempak
Huda Hussain
26/05/2020
14:44 MYT
Sponsor Banner
Bagus Juga Tak Dapat Balik Kampung. ‘Terselamat’ Daripada Jawab Soalan Cepu Emas ‘Makcik Bawang’. Hehehe…
Bagi yang masih bujang terutamanya pasti menjadi sasaran dan tumpuan makcik-makcik bawang dengan pelbagai soalan yang sudah kita hafal skripnya saban tahun. Oh, bukan yang bujang saja. Mereka yang berkahwin pun turut terkena tempiasnya. Antara soalan yang sering ditanya mereka seperti ‘Bila nak kahwin?’ ‘Kamu ni muda lagi. Boleh beranak lagi ni. Bila nombor dua pula?’ ‘Anak dah berderet, takkan pakai kereta lama lagi? Macam sempit aje aku tengok. Bila nak tukar kereta baru?’ ‘Kerja dah bertahun-tahun, takkan nak menyewa lagi? Bila nak beli rumah sendiri?’
Dan banyak lagi soalan yang kadang-kalanya kita sendiri tidak pernah terfikir untuk bertanya. Atau lebih tepat lagi, tak berani dan tak tergamak nak ambil tahu segenap inci kehidupan peribadi orang lain. Kalau bukan dalam kalangan saudara-mara, pasti ada jiran tetangga di kampung yang begitu prihatin dan sangat mengambil berat tentang kehidupan kita kan? Boleh jadi jiran belakang rumah emak, jiran sebelah, jiran rumah hujung dan eh, siapa-siapalah boleh jadi makcik bawang.
Kredit Foto: Google
Tak Dapat Balik Kampung
Bagi segelintir daripada kita, pasti ada yang menarik nafas lega apabila tidak dibenarkan balik beraya di kampung halaman tahun ini dek kerana penularan Covid-19. Mungkin inilah hikmah yang cukup besar dirasakan mereka. Tak balik kampung bermakna tak dapatlah jumpa makcik-makcik bawang. Yahoo! Walaupun terbit kesedihan dan kerinduan kepada kedua ibu bapa, tetapi apabila memikirkan soal ini, bagus juga rasanya tak perlu melarikan diri, mengelak dan lain-lain.
Jika tidak, pasti bernanah telinga mahu mendengar leteran mereka. Hujah mereka sahaja yang betul lagi sahih, tahu serba-serbi. Daripada soal jodoh, anak, kerjaya hinggalah seboleh mungkin semua perihal yang bersifat privasi mahu diambil tahu. Mahu ditanya, mahu mendapat kepastian dan kesahihan. Ada sahaja yang tak kena pada pandangan mereka.
Kalau masih solo, pastilah ditanya bila lagi mahu berkahwin. Dan bagi yang sudah berkahwin, sudah tentu dipersoalkan tentang bila lagi nak ada anak. Lebih-lebih lagi mereka yang sudah lama berkahwin dan belum dikurniakan rezeki memiliki anak sendiri. Pasti berjeda nasihat dan saranan makcik-makcik bawang. Ingatkan dah ada seorang anak kira okeylah. Tapi, tetap jadi tumpuan mereka yang menyuruh kita beranak lagi sementara masih muda.
Kredit Foto: Google
Dah 2020 Tapi Mentaliti?
Sungguh, peralihan zaman dan teknologi masih belum mampu merubah pemikiran golongan ini. Bukan tidak boleh bertanya atau mahu ambil tahu, tetapi biarlah berpada-pada. Ada garis sempadan yang perlu dihormati. Tidak sewenang-wenangnya kita boleh bertanya perihal yang menyentuh soal jodoh, rezeki dan hala tuju kehidupan orang lain. Semakin kita sibuk ambil tahu kehidupan orang lain, takut nanti kain sendiri yang koyak atau terlondeh.
Lantaran itu, bila lagi mahu berubah? Tukarkan dimensi pemikiran agar lebih peka dengan perkembangan semasa di persekitaran kita. Bukannya sibuk ambil tahu cerita orang lain yang sudah tentu tiada kena-mengena dengan kita. Tidak penting untuk kita ambil peduli. Lebih baik sibukkan diri perbetulkan kekurangan dan kelemahan. Tingkatkan usaha untuk menjadi insan yang lebih baik.
Kita jaga kita sebenarnya tagline yang bukan sahaja khusus dalam isu Covid-19 tetapi jika difikirkan disebaliknya; ia cukup luas. Kita jaga kita juga boleh ditafsirkan sebagai mekanisme atau cara yang kita amalkan untuk memelihara persekitaran kita. Induk kita, keluarga kecil kita. Perbetulkan dari unit kecil ini dahulu sebelum kita sibukkan hal keluarga lain. Tak manis bukan, dalam pada kita sibuk ambil berat perihal anak orang lain, tetapi anak kita sendiri yang bikin onar.
Kredit Foto: Google
Kalaulah Makcik Bawang Faham…
Atau cuba letakkan diri anda dalam situasi mereka yang menjadi sasaran. Tak banyak sedikit pasti berasa tertekan dan mulai bosan. Apabila bosan, mulalah bertindak menjauhkan diri dan mengelak daripada bertemu anda. Betapa banyak lagi topik atau isu yang boleh dijadikan bahan bual, tetapi apabila isu sensitif yang ditanya boleh menjejaskan mood mereka.
Fikir-fikirkanlah. Mereka yang belum bertemu jodoh, belum dianugerahkan anak, belum sampai rezeki untuk menambah anak, belum tiba masa direzekikan untuk naik pangkat atau gaji dan lain-lain semuanya tidak pernah berhenti berdoa. Berdoa dan berusaha untuk sama-sama mencari jalan penyelesaian. Bukannya mereka tidak fikir, tetapi selagi Dia belum maktubkan semua itu milik kita, maka selama itulah kita tidak boleh berputus asa. Teruskan berdoa dan berusaha. Insya-Allah dan yakinlah Dia mendengar segala permintaan kita.
Bukan untuk memuaskan hati makcik-makcik bawang, tetapi ketahuilah perjalanan dan aturan hidup kita sentiasa dipandu-Nya. Sebagai insan biasa, lebih baik kita turut sama mendoakan mereka daripada sibuk bertanya soalan yang sama hingga naik rimas mereka mahu menjawabnya. Chill okey makcik-makcik bawang! Hehehe…
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live