Oleh: Norhaizan Ahmad

Kredit foto: Google.com

SEPERTI kelaziman, beberapa hari sebelum Hari Raya, berduyun-duyunlah kenderaan meninggalkan ibu kota. Ada yang bertolak ketika hari siang kerana lebih yakin memandu kala sekelilingnya terang. Dan tak kurang juga yang memilih malam untuk memulakan perjalanan kerana suasananya yang lebih nyaman.

Waktu bila mahu bertolak ke kampung halaman, itu terpulang kepada pilihan masing-masing. Dan demi memudahkan pengguna lebuh raya, pihak PLUS (Perbadanan Lebuhraya Utara Selatan) misalnya, sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menyediakan jadual perjalanan bagi mengelakkan kesesakan melampau di setiap laluan di lebuh raya bersempena Hari Raya ataupun musim perayaan yang lainnya.

Dari hari ke hari, dengan jumlah kenderaan yang sentiasa bertambah menjadikan kesesakan lalu lintas sebagai agenda wajib pada musim perayaan. Lebih memburukkan keadaan apabila ada segelintir pemandu yang tidak mengikut peraturan sehingga menyusahkan pengguna lebuh raya yang lain. Memandu di lorong kecemasan misalannya merupakan kesalahan paling kerap dilihat ketika dalam perjalanan pulang ke kampung halaman, sekali gus membuatkan keadaan lalu-lintas bertambah parah. Sudahlah lalu di laluan yang tidak dibenarkan, bawa kereta dah macam pemandu Formula 1.

Selain keadaan kereta yang mestilah tip top, pemandu juga perlu utamakan kecergasan sementelah tempoh perjalanan akan bertambah berkali ganda ketika itu. Kalau badan dah letih dan mata pun mulai mengantuk, bawalah berehat di Hentian Rehat dan Rawat (R&R).

Ini membolehkan anda berehat seketika untuk melunjurkan kaki dan meregangkan badan. Tak usah dikejar kampung halaman, rumah mak ayah pun tak lari ke mana. Ingat pesanan ini, “Biar lambat asal selamat.” Dek kerana kita tidak dapat mengelak untuk tidak berhadapan dengan kesesakan di lebuh raya ataupun jalan raya, InTrend kongsikan tips-tips berguna yang boleh dipraktikkan kala memandu pulang ke kampug halaman dan semoga semua dapat pulang beraya dengan selamat.

Kredit foto: shutterstock.com

15 Langkah Utamakan Keselamatan & Lancarkan Perjalanan Pada Musim Perayaan

1. Sebelum memulakan perjalanan, bagi umat Islam, bacalah doa menaiki kenderaan. Minta Allah SWT permudahkan dan lancarkan perjalanan anda.

2. Kenderaan dalam keadaan baik. Pastikan anda telah memeriksa dan servis kenderaan anda sebelum memulakan perjalanan. Bukan setakat servis tukar minyak pelincir dan penapis minyak sahaja. Periksa juga lain-lain komponen seperti keadaan tayar (tekanan angin dan corak bunga tayar), sistem penyejukan dan brek pad. Jangan lupa periksa tayar simpanan.

3. Sebagai pemandu, anda juga perlu cergas kerana bakal menempuhi perjalanan yang serba mencabar. Mental dan fizikal harus bersedia dengan sebarang kebarangkalian menempuh kesesakan lalu lintas yang maha luar biasa.

4. Sebelum bertolak ke kampung, isi penuh petrol. Buat isian petrol di stesen minyak berdekatan dengan rumah anda. Elakkan mengisi petrol di stesen minyak berhampiran dengan lebuh raya, pasti jenuh beratur panjang.

5. Jangan lupa juga membuat isian semula kad Touch n Go. Jangan dah nak masuk lebuh raya, baru terhegeh-hegeh nak buat isian semula di kaunter tol. Tahukah anda betapa ramainya umat beratur waktu itu? nak lebih cepat, gunakan saja Smart Tag.

6. Kalau yang jenis sukakan cara konvensional, pastikan anda menyediakan tiket tol dan duit bayarannya sebelum menghampiri Plaza Tol. Ramai sangat yang selalunya suka apabila dah sampai depan kakak Plaza Tol baru terhegeh- hegeh nak cari tiket tol dan beg duit.

7. Pakai tali pinggang keledar sebaik memulakan perjalanan. Jangan dah nampak sekatan jalan raya baru terhegeh- hegeh nak pasang. Tapi kalau anda jenis yang suka tercampak ke luar cermin hadapan, tak pakai pun tak mengapalah!

8. Apabila sudah memasuki lebuh raya, anda perlu tahu had laju yang dibenarkan. Pastikan anda mematuhi had kelajuan kebangsaan (110km/j). Kalau sesekali cecah 120 km/j kerana nak memotong kenderaan di hadapan, tak mengapa. Anda boleh dimaafkan.

9. Memandulah dengan posisi memegang stereng pada jam 3.00 dan jam 9.00. Mungkin tidak macho dipandang, tetapi ia teknik asas yang diajar oleh sekolah memandu, selain ia mempunyai nilai yang cukup besar daripada segi keselamatan memandu. Rahsia di sebalik teknik ini ialah anda mampu mengawal kenderaan anda sepenuhnya jikalau berlaku kemalangan secara tiba-tiba.

10. Memandu laju di lebuh raya memerlukan konsentrasi yang amat tinggi. Jadi jangan cuba-cuba memandu dengan gaya sebelah tangan sahaja yang pegang stereng. Pemandu Formula 1 pun tak buat macam ni.

11. Liarkan mata anda kala memandu. Ini bermaksud anda perlu membuat peninjauan serius, kalau boleh jegilkan mata. Anda bukan sahaja perlu melihat nombor plat kereta di hadapan malah and perlu lihat trafik yang terbentuk di hadapan kereta tersebut. Ini dapat membantu anda melihat masalah di hadapan dengan lebih baik dan memberi peluang yang lebih baik untuk bertindak jika terjadi apa-apa.

12. Berhati-hati dengan blind spots iaitu kawasan yg tidak dapat dikesan oleh mata kita. Anda perlu perbetulkan cermin sisi (side mirror) dan cermin belakang (rear view mirror) untuk dapatkan pandangan yang betul-betul selesa untuk anda teliti.

Anda juga dinasihatkan untuk sesekali memandang ke sisi jalan untuk menampung kekurangan yang ditunjukkan oleh cermin sisi anda. Pemandu yang bijak akan sentiasa mengambil kira blind spots pemandu lain terutamanya pemandu trak besar.

13. Jauhi laluan memotong. Jikalau anda memandu di bahu kiri jalan atau di tengah-tengah laluan, peluang untuk anda tidak terjebak dengan kemalangan adalah sangat baik.

Kajian menunjukkan bahawa kemalangan banyak berlaku di atas laluan memotong (fast lane). Anda juga memperolehi peluang yang tinggi untuk terus menghimpit ke tepi bagi mengelakkan masalah yang besar jikalau berlaku sesuatu di tengah ataupun kanan jalan.

14. Jikalau anda sedang memandu dengan had kelajuan kebangsaan dan berada di lorong paling kanan, mohon untuk beri laluan sekiranya ada kenderaan di belakang, masih jauh lagi dah bagi lampu tinggi minta diberikan laluan.

15. Tolong juga sedar diri dan sedar kemampuan kereta anda. Kalau setakat memandu Saga FLX misalannya, bubuh pula sport rim bersaiz berbelas-belas inci, penumpang mengalahkan MPV, jangan cuba pasang niat untuk memotong bas dua tingkat di hadapan. Kalau dah bertembung dengan kenderaan di hadapan, maka mautlah yang menanti.