Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Highlights

Bantulah Kawan-Kawan Yang Berniaga. Sesungguhnya Mereka Sedang BERJUANG, Kalau Tak Beli, Kongsikan.

Afiza Kamarulzaman 19/06/2020 | 15:40 MYT
Mencari rezeki demi mengukuhkan ekonomi keluarga juga dikira sebagai perjuangan. Seluruh dunia berdepan dengan ketidakstabilan ekonomi yang dijangka menjadi lebih teruk beberapa tahun yang akan datang. Banyak sektor mengalami tempiasnya sehingga gulung tikar. Majikan yang sudah tidak mampu mempertahankan syarikat terpaksa membuang pekerja. Ada yang dengan pampasan dan ada yang jalan dengan tangan kosong.
Mahu keluar mencari peluang pekerjaan baru juga dilihat sesuatu yang agak sulit lantaran tidak banyak industri yang mahu mengambil pekerja baru. Maka, ramai yang mengambil keputusan untuk bekerja sendiri dengan memulakan perniaga kecil-kecilan seperti menjadi agen sesuatu produk atau berniaga secara dalam talian. Hanya inilah jalan terbaik yang dilihat dapat menampung pendapatan mereka dengan bermodalkan wang yang terhad.
Kredit Foto: Google
Jangan Perlekehkan Usaha Mereka
Jika ada kawan-kawan yang berkongsi mengenai peniagaan atau projek baru mereka, janganlah kita bersikap negatif, apa lagi memperlekehkan mereka. Sebagai orang yang masih punya pendapatan yang baik, kita seharusnya bersyukur dengan apa yang masih kita miliki hari ini. Kita sendiri tidak tahu adakah satu masa nanti, kita juga akan turut mengikut jejak langkah mereka?
Maka, setiap usaha mereka yang mahu keluar dengan jalan yang baik dan halal seharusnya dipuji. Jangan sesekali kita memberikan komen negatif atau menyindir dengan kata-kata yang boleh melemahkan semangat mereka.
Kredit Foto: Google
Beli Tanda Sokongan, Kongsi Tanda Dorongan
Seronok melihat kawan-kawan yang galak mencari wang sampingan. Ada yang menjual kek dan roti, ada yang menjadi agen keropok lekor, ada yang berniaga lauk-pauk, mempromosi barang kecantikan dan ada juga sebagai agen insurans dan mesin penapis air. Jika punya kawan yang berniaga produk atau barangan, belilah sedikit sebagai tanda sokongan, sekali pun kamu tidak berkehendakannya.
Misalnya kalau kawan itu berniaga makanan, mengapa tidak dibeli dan kemudian disedekahkan kepada jiran tetangga? Berlipat ganda pahala yang diperolehi; membantu kawan tadi juga pahala, ditambah pula bersedekah kepada jiran-jiran. Dan apabila membeli itu, bayarlah saja, jangan ditanya diskaun atau ‘harga kawan-kawan’. Mereka pun baru mahu mula ‘bernafas’. Jika kita masih mampu, bayar sahajalah harga yang ditetapkan itu.
Ada juga yang berniaga secara dalam talian. Ini juga platform yang bagus dan mudah untuk dipromosikan tanpa bayaran. Sebagai kawan yang punya akaun media sosial, bantulah kawan yang berniaga itu dengan mempromosikan perniagaan mereka itu. Bukan susah, kan? Jangan berkira sangat. Besar ganjaran yang kita dapat jika kawan itu memperoleh manfaat daripada perkongsian tersebut. Insya Allah, sama-sama menang.
#Bisnes #Perniagaan #Bantu
;