Penulis: Hatina Shuib


Kucing antara haiwan kesayangan yang sering dijadikan peneman setia bagi pencinta haiwan jenis ini. Kecomelan dan kelincahan si bulu ini seringkali membuatkan pemiliknya menyayangi ia umpama ahli keluarga sendiri.


Bagaimanapun, akhir-akhir ini banyak kita lihat kejiranan yang bergaduh atau bermasam muka hanya disebabkan haiwan ini terutama bab membabitkan najis kucing. Bagi yang tidak pernah membela haiwan ini, mereka tidak dapat menerima tabiat sesetengah kucing yang gemar membuang najis merata-rata.


Bagi kucing terbiar, mungkin tidak ada pihak yang boleh dipersalahkan, namun bagi kucing yang memiliki tuan, pastinya menimbulkan rasa tidak selesa kepada jiran terutamanya setelah berkali-kali teguran dibuat.


Seperti yang kita ketahui, kucing adalah haiwan kesayangan nabi dan adalah satu amalan mulia jika seseorang itu memelihara kucing di rumah mereka. Tidak ada salahnya anda mahu memelihara haiwan comel ini asalkan tidak mengundang kemarahan atau ketidakselesaan kepada orang sekeliling anda.


Mungkin bagi mereka yang tidak selesa dengan haiwan peliharaan ini boleh memulakan rasa kasih anda dengan memberikan ia makan atau mendekatkan diri dengannya bagi membina satu hubungan baik dengan jiran.



Kredit foto: Google

Tangani Secara Berhemah, Elak Bermasam Muka

Namun, sebagai pemilik haiwan peliharaan yang bertanggungjawab, elakkan pergaduhan atau rasa tidak puas hati apabila haiwan peliharaan anda menganggu keharmonian kejiranan.


Manakala, bagi mereka yang rasa tidak selesa dengan kehadiran haiwan peliharan yang membuang najis atau membuat bising, ada baiknya menggunakan cara berhemah untuk menegur jiran.


Sikap toleransi dan memahami ini membawa keberkatan dalam hubungan jiran. Banyak kita lihat isu membabitkan haiwan peliharaan seperti kucing akhirnya menjadi pertelingkahan dalam sesuatu hubungan.


Adalah amat merugikan apabila niat memperoleh pahala untuk memelihara haiwan kesayangan ramai ini akhirnya mengundang kepada pergaduhan sesama sendiri dan membawa kepada dosa.


Berdamai dan bertolak- ansur dapat menjernihkan kembali hubungan yang tegang. Amatlah rugi jika kita tidak menjaga adab berjiran yang banyak memberi manfaat di kemudian hari.


Cuma berpesan-pesanlah pada diri masing-masing. Tidak semua orang mencintai kucing sama seperti anda, jadi terima teguran dengan rasional manakala mereka yang tidak berpuas hati dengan haiwan seperti kucing , elakkan mengeluarkan kata-kata yang menghina pemilik atau menyakiti hati seseorang.


Disarankan bina hubungan baik dengan jiran supaya apabila kita mahu mengungkapkan sesuatu, niat kita diterima dengan baik kerana mereka sudah mengenali siapa dan latar belakang kita. Tidaklah tersalah tafsir sehingga memudaratkan keadaan.



Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM, Profesor Madya Ts Dr Mohd Nor Mamat


Apa Kata Pensyarah Kanan, Akademi Pengajian Islam Kontemporari UiTM, Profesor Madya Ts Dr Mohd Nor Mamat?


Kucing sering dikaitkan dengan haiwan kesayangan nabi. Namun, banyak situasi berlaku tuan empunya kucing bertelingkah dalam jiran akibat haiwan itu dibiar merata. Apa pandangan ustaz berkenaan perkara ini?

Memang benar kita sering diberitahu bahawa kucing adalah binatang kesayangan nabi. Kucing juga adalah binatang manja yang boleh jadi teman yang membahagiakan kita. Malah berbuat baik menjaga kebajikan kucing itu diiktiraf oleh Rasulullah sebagai amalan mulia, dan menyakiti kucing adalah sesuatu yang dilarang dalam Islam.


Memelihara kucing adalah tidak salah. Adalah sangat baik jika kita dapat menjaga kebajikan dan berlaku baik kepada haiwan tersebut, malah kucing sendiri adalah haiwan yang selesa tinggal bersama manusia



Bagaimana kita sebagai masyarakat boleh menggunakan pendekatan berhemah memberitahu rasa tidak selesa apabila kucing milik jiran tetangga kerap membuang najis di laman kita?

Barangkali suasana rumah kita di kampung tidak menimbulkan banyak masalah kepada jiran, memandangkan binatang peliharaan kita seperti ayam itik, kucing dan sebagainya hanya berkisar sekitar kawasan rumah kita sahaja tetapi jika situasi tinggal di bandar adalah berbeza.


Jika kucing kita tidak dilatih ataupun tidak terkawal menyebabkan kebisingan ataupun najisnya merata-rata sehingga mengganggu jiran, saya berpendapat ia bukan lagi satu keharusan.


Bagi kita yang hidup berjiran, bertoleransilah dan janganlah jadikan masalah sebegini sesuatu yang merosakkan hubungan baik jiran sekeliling.


Antara tindakan yang mungkin boleh diambil; menjaga rumah kita supaya tiada ruang untuk kucing jiran kita bertandang, ataupun kembalikan semula kucing tersebut jika memasuki rumah kita, ataupun lebih baik kita turut sama melatih kucing tersebut agar tinggal dalam kawasan rumah tuannya sahaj aatau jalan terakhir, barangkali boleh mengambil tindakan memaklumkan tentang ketidakselesaan kita secara baik dan berkongsi kemahiran bagaimana untuk mengawal kucing supaya tidak menggangu jiran sekeliling.



Kredit foto: Google



Apakah adab menegur jiran yang boleh dijadikan panduan untuk situasi seperti ini ?

Menegur orang lain adalah mudah, tetapi isunya ialah sama ada teguran kita mudah diterima atau tidak. Bagi saya, langkah awal adalah berbaik dan bina hubungan mesra dengan jiran-jiran kita.


Dalam hubungan yang baik dan mesra, adalah lebih mudah untuk kita berkongsi rasa, malah kadangkala ketidakselesaan kita lebih mudah disedari oleh jiran kita andai hubungan kita rapat dan mesra, tanpa perlukan beritahu ataupun tegur.


Jika perlu menegur, jagalah adab agar kesannya positif; berbincang dengan jawatankuasa taman, maklumkan teguran secara umum tanpa disebut secara khusus, elakkan menegur di medan sosial ataupun dalam grup whatsapp, elakkan juga jangan sampai kucing yang tidak bersalah menjadi mangsa kemarahan.


Jika kita yang pelihara kucing, jangan sampai kucing jadi sebab kebencian; dan kalau kita terganggu dengan kucing, jangan juga kucing jadi sebab pergaduhan, carilah penyelsaian untuk menjaga kejiranan yang harmonis.




Bagi pemilik haiwan peliharaan pula , apa hukumnya jika menyakiti perasaan jiran apabila tidak ambil kisah rungutan jiran yang setiap hari perlu mencuci najis dan air kencing kucing?

Menyakiti hati jiran ataupun berbuat sesuatu yang mengganggu keselesaan hidup jiran adalah satu perbuatan yang boleh membawa kepada dosa.


Rasulullah dalam satu hadis pernah bersumpah sebanyak tiga kali yang bermaksud: “Demi Allah, tidak beriman! Demi Allah, tidak beriman! Demi Allah, tidak beriman!” Apabila ditanya, siapakah yang baginda maksudkan, baginda menjawab: “seseorang yang jirannya tidak berasa aman dan tenang disebabkan perangai jahatnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)



Berbuat baik kepada binatang kucing adalah mulia, tetapi menjaga hak jiran adalah lebih utama kerana baginda pernah bersabda yang bermaksud: “Jibril sentiasa berpesan kepadaku agar menjaga hak-hak jiran sehingga aku menyangka seseorang jiran bakal mewarisi harta jirannya.”


(Riwayat Bukhari dan Muslim) Ini menunjukkan betapa tanggungjawab berbuat baik kepada jiran seolah-olah serupa dengan memelihara silaturrahim dan berbuat baikkepada ahli keluarga terdekat.


Kredit foto: Google



Apa pandangan ustaz dalam perkara ini ? Sebarang cadangan.

Pada saya, menyayangi binatang seperti kucing adalah satu hobi yang baik dan membahagiakan, malah memelihara kucing juga adalah satu amalan mulia. Beberapa panduan mudah di bawah boleh dipraktikkan;

a. Peliharalah kucing untuk menjaga kebajikan, jangan sampai jadi punca pergaduhan dan gangguan kepada jiran sekeliling. Jika terdengar jiran rasa terganggu atau tidak selesa, segera ambil tindakan segera sama ada pastikan kucing kita tidak mengganggu jiran kita ataupun carilah hobi lain yang membahagiakan semua.


b. Sediakan tempat tinggal kucing yang bersesuaian, contohnya di kampung barangkali cukup dengan kotak di bawah rumah atau di tepi tangga sesuai dengan jenis kucing yang tinggal berkeliaran di luar rumah, tetapi jika di bandar atau di kawasan perumahan, sediakan rumah khas untuk kucing dan pastikan tidak berkeliaran ke rumah jiran-jiran, ataupun pelihara jenis kucing yang hanya tinggal dalam rumah sahaja.


c. Sentiasa jaga hubungan baik dan mesra dengan jiran, dan beri perhatian sekiranya terdengar kucing kita mengganggu jiran sebelah.


d. Bersikap lebih terbuka untuk sentiasa berbincang dan mencari jalan untuk hidup bersama saling membahagiakan, jika tinggal dalam kawasan perumahan teres, flat, ataupun jiran sebelah yang berdekatan. Bukan sahaja masalah kucing, tetapi juga parking kereta depan rumah jiran, bising dan sebagainya.


e. Jika berlaku situasi terpaksa memilih antara menjaga kebajikan kucing dan menjaga kebajikan serta keselesaan jiran, utamakan hak berjiran kerana ianya wajib sementara memelihara kucing adalah harus.


f. Pada waktu yang sama, bertoleransilah walaupun kita tidak menyukai kucing tetapi janganlah sampai menyindir, bergaduh atau menyakiti hati jiran kita yang suka membela kucing.


g. Peliharalah kucing untuk menambah pahala, jangan sampai menambah dosa mengganggu keselesaan jiran.