Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Personaliti

“Barang Yang Lama Jangan Dikenang, Orang Tua Banyak Pesan. Hahaha” Giliran Erra Fazira ‘Diaibkan’ Radin.

Huda Hussain 14/04/2021 | 07:00 MYT
Masih unggul di persada dan industri hiburan, tidak keterlaluan jika namanya terpahat sebagai salah seorang living legend yang masih kekal utuh hingga kini. Siapa tidak kenal selebriti wanita tinggi lampai penuh karisma, Erra Fazira. Dan eksklusif untuk episod keempat Media Hiburan Throwback malam ini, hosnya Radin membawa ingatan penonton dan menguji memori Erra sendiri mengimbau momen pahit manis, suka duka, gosip hangat serta zaman kemuncak pelakon yang diangkat sebagai primadona filem Melayu ini. Satu persatu artikel dari Majalah hiburan ini dikongsi lantas menggamit kenangan tersendiri sepanjang penceburan Erra Fazira sebagai anak seni.
Kredit Foto: Astro Prima
Berkongsi mengenai perkembangan terbarunya, Erra kini sibuk menjalani sesi penggambaran selain mencari dan mengumpul material untuk merakamkan album. “Dah lama tak buat album, selalu single aje. Kali ni nak buat full album untuk hadiahkan kepada peminat,” ujar Erra penuh semangat sebelum Radin memulakan misinya. “Okey, kita orang dari Media Hiburan Throwback. Kita akan throwback artikel-artikel lama, cerita-cerita lama,” kata Radin sebagai pembuka bicara seraya dipintas Erra, “Barang yang lama jangan dikenang, orang tua banyak pesan.” tuturnya lagi. “Tapi ni aib,” bilang Radin serentak disambut dengan hilai tawa kedua-duanya.
Segalanya Bermula Daripada Pertandingan Ratu Cantik
Foto yang memaparkan barisan jelitawan Miss Malaysia/World dalam artikel Media Hiburan keluaran Ogos 2001 mencuri tumpuan Radin untuk mencungkil kisah disebaliknya. “Kejung jangan cakap. Itu trend dulu,” terang Erra seakan membela diri sambil sesekali keduanya tertawa. Sekali gus ia menelusuri kenangan heroin Sembilu ini. Penglibatan Erra dalam pertandingan Miss Malaysia/World adalah kemunculan anak Melayu yang berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir hingga bergelar juara selepas sekian lama tidak berjaya dibolosi.
Mengimbas cerita disebalik penyertaannya dalam pertandingan ini, kata Erra “Saya ni seorang yang pemalu. Yang suruh saya masuk ni adalah ibu angkat saya. Ibu angkat saya tengok macam, kerja pun tidak lepas habis sekolah, kau nak jadi apa dan sebagainya. Katanya lagi Mama dah register kau dalam pertandingan ni, Miss Wilayah. Kebetulan menang. Lepas tu masuk pula peringkat yang lebih besar. Kenalah beritahu emak sebab mak tak tahu lagi. Pening juga nak beritahu mak masa tu” imbas Erra lagi.
Kredit Foto: Astro Prima
Mulanya emak Erra enggan membenarkan puteri tunggalnya ini menyertai pertandingan tersebut. Maklum sajalah, apa pula kata orang. Tetapi dalam masa sama, emak angkatnya menyuruh Erra pergi. “Saya pun dalam dilema waktu itu. Jadi sebagai jalan penyelesaian, Mama jumpa dengan emak,” hurainya lagi. Usai membuat timbang tara, diizinkan juga Erra sertai pertandingan ini. Malah lebih mengharukan, emaknya datang pada acara kemuncak Miss Malaysia/World 1992 sebagai tanda sokongan. Cerita Erra lagi, “Sepanjang saya jadi artis, emak memang tak pernah datang set ataupun teman saya pergi award ke mana-mana ke, memang tiada. Nak suruh dia datang movie preview pun susah,” ulas Erra lagi mengenai sikap ibunya yang tidak gemar mencampuri urusan kerjanya. Tetapi sebagai ibu, doa tetap dimohon agar segala dipermudahkan buat anaknya ini.
Cover Media Hiburan Mac 1997
Wajah Erra Fazira tidak pernah ketinggalan daripada menghiasi ruangan cover majalah hiburan ini. Kembali mengimbas paparan cover edisi Mac 1997 yang menggandingkan Erra dengan Ning Baizura memakai top dan pants rona hijau neon, jadi bahan Radin seterusnya untuk ‘mengaibkan’ Erra. Dan tatkala bingkai artikel tersebut bertukar tangan, Erra dengan separa menjerit berkata, “Oh my God… Aib… aib” sambi menahan gelak. Apatah lagi kala melihat foto dirinya 24 tahun lalu sambil melakukan pose yang berani bersama Ning, “Tu dah kenapa pose macam tu Fazira? Adoi…” ulasnya lagi yang menyifatkan tidak pernah berhadapan kesukaran bekerjasama dengan wartawan dan jurugambar. Apa sahaja aksi dan pose yang dipinta akan disempurnakannya sebaik mungkin. Itulah Erra Fazira.
Pernah Digelar Lady D’ Malaysia
Menyifatkan artikel ini sebagai satu penghormatan bahkan bagi Erra dia tidak layak menerima penghargaan sedemikian rupa. “Lady D tu Lady Diana. Alamak, tinggi sangat pujian tu.” imbaunya kala melihat potongan artikel itu. Bagi Erra sebagai artis walaupun bekerja menghiburkan orang ramai tetapi tetap terselit tanggungjawab lain. Sekadar membangkitkan isu lain, Radin melontarkan pandangannya mengenai sesetengah selebriti yang menyifatkan apa jua kandungan, pengisian berkaitan dengan amal, sedekah perlu dihebahkan untuk makluman umum.
Mengulas isu ini, Erra punya pendirian tersendiri. “Saya juga terfikir dulu. Perlu kah panggil reporter? Tapi kadang-kadang bila reporter tahu mereka tanya pula kenapa tak dipanggil dan sebagainya. Sedangkan bagi seseorang selebriti itu berkata tak perlu nak panggil. Tapi sebenarnya dalam isu ini saya dibukakan mata dan hati oleh seorang rakan wartawan. Katanya bila you share, bukannya you nak riak atau apa. You mengajak, you buka mata orang lain. Contohnya macam Ustaz Ebit Lew. Dia buat kebaikan bukan sebab dia nak menunjuk. Tapi dia ajarkan kita kalau kita mampu, kita boleh saja nak bantu dan membuatkan orang lain terpanggil untuk lakukan kebaikan.
Erra Fazira Sentiasa Menyerlah
Bercakap mengenai penampilannya di karpet merah atau ke mana jua majlis formal mahupun kasual; kelibat Erra Fazira sering menjadi buruan lensa kamera. Dan artikel ini merakamkan koleksi foto Erra yang dilihat sentiasa on point. Baik solekan mahupun busana yang digayakan, semuanya terletak cantik membalut tubuh dan menghiasi kanvas wajahnya. “Ini semua adalah hasil perbincangan. Macam kalau ada event besar, seminggu sebelum tu saya akan cakap kepada makeup artist. Kadang-kadang saya minta mereka untuk buat research. Tunjukkan pada saya gambar-gambar stail mekap apa. Kalau dia orang tiada idea, saya akan cadangkan look macam ni, begitu dan sebagainya. Sama-samalah kami berbincang,” hurainya bersunguh. Dan seakan memahami dunia glamor artis, Radin mendapatkan kepastian Erra mengenai kredibiliti jurusolek dalam menyempurnakan tatarias selebriti. “Kadang-kadang MUA yang berpengalaman dan ternama ni nak berkarya di wajah Erra Fazira. Adakah dibenarkan ataupun tidak?” soal Radin mahu mencungkil pendapat ibu Engku Aleesya ini. “Saya akan tanya apa direction diaorang. Kalau nak berkarya dan saya rasa tak sesuai, saya akan cakap maaf tak boleh. Muka saya tak boleh mekap macam ni, mata saya sepet tak sesuai mekap macam tu. Saya akan terangkan. Biar kita bergaduh waktu tu. Tapi itu sebabnya saya kalau dengan makeup artist saya, kami kekal lama. Sebab masing-masing beri komitmen dan boleh memahami,” ulasnya berjela.
Kredit Foto: Astro Prima
Tak Suka Sertai Pertandingan Nyanyian
Memetik artikel Erra Fazira Kemalangan Kerana Muzik-Muzik pula jelas Erra, “Saya ni tak suka masuk pertandingan menyanyi. Bagi saya tak enjoy sebabnya orang bukan nak enjoy dengan persembahan. Tapi orang nak tengok boleh ke dia nyanyi live? Kat mana salah dia? Note dia, pitching dia… Haa, jadi kita stress. So I ‘gabra’. Seminggu sebelum pertandingan I dah tak boleh tidur tau,” kongsinya kepada Radin mengimbas kenangan lalu.
Bayangkan Eera Betul-Betul Gemuk!
Siapa yang boleh lupa profesionalism pelakon ini yang sanggup menyarung kostum juga solekan dengan kesan khas menampakkan susuk tubuh gemuk dalam Cinta Kolestrol? Walau terpaksa menahan panas menyarung kostum, bagi Erra “Oh yes, dengan panasnya, makeup lagi. Tapi itu dah jatuh nombor dua selepas saya buat Hingga Hujung Nyawa jadi orang tua. Waktu Cinta Kolestrol, prosesnya makan masa empat jam tapi Hingga Hujung Nyawa lapan jam” terangnya lagi yang mengenakan solekan kesan khas ditiru daripada wajah neneknya.
Ejaan Nama Eera dan Erra
Akui Erra dia pernah menukar ejaan nama Erra kepada Eera kerana ia dilakukan atas nasihat seseorang. “Saya suka dengar nasihat orang. Tajul muluk macam tulah, kiraannya lebih baik saya guna ejaan begini. Jadi saya nak tukarlah. Semua reporter tahu tapi tiada yang layan kecuali Media Hiburan. Sehinggakan Media Hiburan pula yang nampak pelik, salah eja nama ni” terangnya lagi.
Ketahui lebih banyak lagi throwback barisan selebriti tanah air yang akan menjadi sumber Radin untuk ‘membahan’ dan ‘mengaibkan’ dalam Media Hiburan Throwback setiap Rabu 9.00 malam di Astro Prima.
#Erra Fazira #Astro Prima #Media Hiburan Throwback
;