Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Highlights

“Baru Habis Baca Yasin, Doktor 'Call' Beritahu Suami Dah Tiada.” Wanita Ini Imbas Momen Duka, Kini Pulih Covid-19.

Huda Hussain 11/04/2020 | 15:27 MYT
Ketika terlihat muat naiknya di Facebook yang tular beberapa minggu lalu, saya ikhtiarkan untuk cuba menghubungi Aiza Syafinaz memandangkan ada nombor telefon ditinggalkan dalam posting tersebut. Syukur dia sudi ditemuramah (menerusi kiriman WhatsApp) walaupun ketika itu masih dikuarantin di Wad DiRaja Hospital Kuala Lumpur (HKL). Kisahnya cukup menjentik hati, meruntun emosi. Bapanya di kampung (Simpang Renggam) turut disahkan positif. Lebih memilukan suaminya pergi dijemput Ilahi akibat wabak ini. Tidak dapat menatap wajah jenazah Almarhum suami buat kali terakhir, jauh sekali dapat mengiringi jenazah ke negeri abadi; dia tetap reda dan tabah menerima ketentuan ini. Ikuti temu bual eksklusif ini.
Kredit Foto: IG Aiza Syafinaz
Kongsikan serba sedikit latar belakang diri sebagai pengenalan?
Saya Aiza Syafinaz Shahak, 34 tahun dan berasal dari Simpang Renggam Johor. Kini hampir 15 tahun berkecimpung dalam dunia perniagaan IKS secara kecil kecilan. Sejak tiga tahun ini saya menjadi tenaga pengajar kulinari iaitu bengkel membuat roti dan kek secara persendirian, selain membantu mengajar golongan asnaf, ibu tunggal, kariah masjid, Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) dan sekolah-sekolah aliran kemahiran hidup. Dalam masa sama, saya juga aktif sebagai sukarelawan bagi rumah anak yatim dan NGO.
Saya dan Allahyarham suami, Inspektor Mohd Fairos bernikah pada 16 Januari 2010. Alhmdulillah Januari lalu genap 10 tahun usia perkahwinan kami. Selepas berkahwin saya berhijrah ke Kuala Lumpur mengikut arwah suami yang bertugas di Bukit Aman. Di kurniakan bayi lelaki hujung 2010 tetapi tiada rezeki nak lihat dia membesar. Anak kami tidak dapat diselamatkan dan meninggal semasa dilahirkan secara normal kerana tidak cukup bulan. Semoga anak syurga kami dan suami menunggu saya di syurga Allah SWT, Insya-Allah.
Kalau boleh imbas semula, bagaimana suami dijangkiti Covid-19? Ada sebarang perubahan dan simptom?
Suami bertugas sebagai pegawai polis di Bukit Aman. Dia memberitahu saya yang dia bertugas di Istana Negara untuk beberapa hari, sekitar hujung Februari semasa pertukaran Perdana Menteri Malaysia. Selepas beberapa hari bertugas, dia mengadu demam on and off. Dia pergi ke dua klinik di KL. Kemudian selepas makan antibiotik, demam sedikit kebah dan selsema.
Kredit Foto: IG Aiza Syafinaz
Sudah lama kami merancang bercuti ke Bandung bersama ayah saya dan 11 rakan lain pada 9 hingga 12 Mac. Arwah ambil cuti bermula 7 hingga 18 Mac dan turut sertai percutian ke Bandung. Sebagai langkah berjaga-jaga, kami tetap pakai mask sepanjang berada di lapangan terbang dan sentiasa bawa sanitizer. Ketika itu PKP belum diumum dan tiada kes serius mengenai Covid-19.
Petang 12 Mac selepas balik dari Bandung, arwah terus ke klinik kerana demam dan batuk. Kata doktor, suhu agak tinggi dan hanya makan ubat macam biasa. Kerana doktor yang merawat adalah doktor yang dikenali sejak 2013 lagi. Arwah tanya doktor adakah ini simptom Covid-19? Tapi jawab doktor, kalau Covid-19 suhu badan 38 celcius ke atas.
Kemudian kami ke majlis kahwin di Perlis. Balik dari Perlis, arwah mula bergejala. Suhu badan pula tinggi hinggalah pada 17 Mac keadaannya semakin merosot, susah untuk bernafas. 18 Mac kami ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Titiwangsa, doktor sahkan denggi dan platlet darah turun kepada 152. Kami terus ke HKL dan doktor di sana buat saringan.
Kredit Foto: Aiza Syafinaz
Sebelum keadaan serius, masih berhubung melalui Whats App atau mungkin menelefon suami?
Hanya dapat berWhatsApp dan video call suami pada 18 Mac sebelum dia dikomakan. Selepas dikomakan, saya tidak dapat bercakap lagi dengan arwah.
Sepanjang arwah dimasukkan ke hospital, tak boleh menerima kehadiran pelawat. Apa perasaan Aiza waktu itu?
Pada awalnya semasa arwah disahkan denggi dan dimasukkan ke wad, saya dibenarkan melawat. Masih boleh bersalam dengan arwah. Tapi pada 19 Mac, arwah disahkan positif Covid-19, saya tak dapat tengok arwah lagi. Tak dibenarkan masuk dan tak dapat bantu arwah sehingga dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) dan koma. Sungguh hiba, derita dan sangat sedih. Saya dah tak tahu nak buat apa kecuali mengadu pada Allah saja.
Ketika pihak hospital menghubungi suami telah tiada, bagaimana reaksi Aiza?
Sejak arwah dimasukkan ke wad ICU di HKL, saya dah tak dapat call dia lagi. Tak boleh pergi melawat, tak dibenarkan masuk ke wad. Allah saja yang tahu perasaan waktu itu. Saya memang merinduinya setiap saat. Rindu nak tengok dia sihat semula. Bermula 19 hingga 26 Mac (lapan hari arwah di ICU), saya tak tentu arah. Bagaikan hilang akal dirumah. Saya peluk Al-Quran, merintih dan mengadu pada Allah. Saya tiada selera makan dan tak boleh nak makan. Saya menangis setiap hari. Hari-hari tunggu call dari ICU HKL. Dan hari-hari saya cakap ini semua mimpi. Satu saat suami saya akan balik ke rumah dan sihat macam biasa. Saya pujuk hati. Dan saya bernazar kalau suami sihat, saya akan berpuasa tiga hari.
Tetapi Allah lebih sayangkan dia. Doktor telefon saya pada 26 Mac jam 9.35 malam maklumkan khabar duka yang suami telah pergi buat selamanya. Saya jatuh terjelepuk ke lantai. Jiwa saya melayang. Ketika itu saya baru habis baca yasin untuknya seorang diri dirumah, Khamis malam Jumaat. Pada 1 Syaaban, Hari Polis ke-213 arwah tinggalkan saya. 35 hari sebelum hari lahir arwah, pada 1 Mei. Pilu hati saya lebih-lebih lagi kerana wabak Covid-19 sebab saya tak dapat nak iring ke pusaranya. Allahu Akbar…
Kredit Foto: Aiza Syafinaz
Ada pesanan yang ditinggalkan arwah?
Dia cakap abang minta maaf, jaga diri. Dan dia WhatsApp mak ayah saya ‘Tolong bantu Aiza’. Dia sempat minta maaf. Dia reda jika dijangkiti Covid-19, dia akan harungi dan bersedia untuk menjalani rawatan. Doakan dia kuat berjuang. Dia cakap pada saya jangan sampai tak makan dan jaga diri baik-baik. Seolah-olah dia tahu yang dia akan pergi buat selamanya.
Dan sejak bila pula Aiza disahkan positif? Atau sudah boleh jangkakan sebab kontak rapat dengan arwah suami?
Saya menjalani saringan di PKD Titiwangsa pada 22 Mac jam 11.30 pagi. Oleh kerana saya adalah kontak utama arwah suami yang meninggal dunia pada 26 Mac (korban ke-24, kes 1056), maka saya juga telah disahkan positif pada 30 Mac. Saya dibawa ke HKL jam 4 petang walaupun tidak mengalami sebarang simptom.
Kalau boleh kongsikan pengalaman bagaimana proses ujian dan saringan dilakukan?
Ujian saringan di lakukan secara drive thru di PKD Titiwangsa. Saya memandu seorang diri ke sana dan memang ramai yang buat ujian saringan. Pergi jam 11 pagi dan saringan dibuat sekitar jam 1 petang. Untuk yang bertanya sakit atau tidak semasa SWAB test Covid-19, sukar nak digambarkan. Boleh tengok sendiri gambar di bawah. Sampel akan diambil melalui kedua-dua belah hidung dan mulut hingga ke saluran nasopharynx. SWAB test akan dibuat sebanyak dua kali. Jika kali pertama pemeriksaan positif, terus dihantar ke hospital untuk isolasi. Jika negatif, akan dibuat SWAB test kali kedua.
Kredit Foto: Aiza Syafinaz
Ada perubahan dirasai seperti demam, sesak nafas atau ada tanda-tanda gejala lain?
Sejak arwah suami dimasukkan ke wad, saya tak boleh makan. Memang tiada selera nak makan. Hanya minum dan makan roti sahaja. Tekak sakit seperti berpasir dan saya pun tak pasti sama ada ia adalah simptom Covid-19 atau sememangnya saya sakit tekak. Tapi saya tidak mengalami demam, batuk, muntah dan selsema. Cuma terasa sakit tekak sesekali.
Masih berhubung rapat dengan keluarga ketika ini?
Saya berhubung rapat dengan keluarga menerusi WhatsApp group dan video call. Ayah saya juga positif Covid-19 dan Alhmdulillah dia dibenarkan keluar setelah 19 hari di Hospital Permai Johor Baharu.
Kredit Foto: Aiza Syafinaz
Baru kehilangan suami dan kini disahkan positif. Bagaimana Aiza lalui setiap hari, apa yang menguatkan semangat untuk terus melawan virus ini?
Selepas empat hari arwah suami meninggal, saya pula diuji dan dimasuk kan ke wad HKL selepas disahkan positif. Setiap hari saya me-time, dekatkan diri dengan Allah. Banyakkan mengaji Al-Quran, baca surah Ar-Rahman dan berzikir. Tiada siapa yang boleh membantu saya ketika di wad. Saya perlu kawal emosi, jaga diri. Sangat penting untuk jaga emosi dan imunisasi. Saya titikberatkan kebersihan diri, amalkan mandi dengan air lemon. Dalam masa sama, saya juga banyak amalkan bermacam-macam petua yang dikongsi kawan-kawan.
Saya beritahu mereka jangan call, nanti saya menangis. Sebaliknya saya pinta mereka beri kekuatan kerana saya sedang berjuang hidup dan mati sepanjang berada dalam wad. Saya minta tolong kirimkan doa saja untuk saya. Dan kerana itulah juga saya menulis di Facebook dan Instagram untuk melegakan jiwa saya.
Rawatan yang diterima, apa prosedur yang dilakukan doktor dan jururawat?
Tiada ubat khusus untuk penyakit Covid-19. Kalau batuk, doktor akan beri ubat batuk. Jika demam akan diberi paracetamol. Pada hari pertama dimasukkan ke wad, mereka ambil sampel darah di lengan. Dan sampel darah ini diambil bergantung pada sistem imunisasi badan. Manakala tekanan darah diambil tiga kali setiap hari.
Rutin di wad, apa yang dilakukan?
Saya bangun jam 3.30 atau 4 pagi untuk bertahajud, membaca yasin, ayat lazim, zikir dan istighfar. Kemudian solat Subuh. Lepas solat, saya biasakan diri membaca surah Al-Rahman atau satu surah dalam Al-Quran. Ada masanya saya ikut bacaan Al-Quran dalam YouTube. Sekitar 8.30 pagi, saya mandi dan bersarapan. Saya amalkan makan vitamin, minum air panas yang dicampur dengan lemon. Untuk segarkan badan, saya buat senaman ringkas dalam wad. Dalam 9.30 pagi saya solat dhuha dan solat taubat. Minta ampun pada Allah SWT dan baca doa dhuha.
Jam 10 hingga 11 pagi, doktor datang untuk periksa suhu badan, tekanan darah. Ada kalanya mengambil x-Ray, ambil darah dan bincang dengan doktor apa yang patut. Dalam jam 12 tengah hari hingga 2 petang, saya rehat dan tidur sekejap. Kemudian solat Zohor. Lepas solat kadang-kadang saya baca yaasin. Kalau letih, saya baca zikir harian, baca buku cerita nabi, kisah para syuhada untuk beri kekuatan pada diri. Waktu ini, ada kalanya kawan-kawan akan call, WhatsApp.
Kredit Foto: Aiza Syafinaz
Lebih kurang jam 3, saya minum petang (selalu minum air panas) dan jururawat akan periksa tekanan darah. Dalam masa ini juga ramai kawan-kawan akan call, video call. Selalunya masa ini mood menulis pun akan sampai. Kemudian solat Asar, baca yaasin atau apa-apa surah Al-Quran, berdoa. 6.30 petang makan malam, bersihkan diri mandi dan siap-siap untuk solat Maghrib. Lazimnya saya akan baca yaasin sampai Isyak kemudian solat Isyak dan zikir. Baca apa yang boleh dibaca. Selain itu saya isi masa dengan mendengar ceramah agama Ustaz Ebit Lew. Saya suka dengar ceramah agama, pada saya ia penting supaya hati saya reda, sabar dan cekal. Selain itu saya banyak berselawat. Rutin lain seperti kebanyakan orang, saya juga amalkan membaca Al-Fatihah, 3 Qul. Biasanya jam 11 malam sebelum tidur, saya biasakan diri membaca surah Al-Mulk dan ikuti pengajian Quran di live fb.
Kredit Foto: Aiza Syafinaz
Jam 11.30 jururawat ambil tekanan darah, kemudian saya bersihkan diri dan tidur. Berehat, mengucap dan serahkan semua pada Allah SWT. Berdoa supaya esok masih ada matahari dan sinar utk umat manusia. Sentiasa berzikir, me-time dengan Allah. Doa sungguh-sungguh seolah-olah kita nak mati esok. Jangan salahkan takdir. Sentiasalah berinteraksi, bercakap Ya Allah terima kasih. Aku dimasukkan ke wad, aku sakit semuanya atas aturan-Mu. Aku tiada daya melawan apa sahaja suratan dan perancangan-Mu. Syukur, nikmat Allah dah banyak Dia beri pada saya dimuka bumi ini.
Pernah rasa down dengan keadaan sekarang? Atau Aiza lihat ujian ini sebagai hikmah mungkin?
Pada awalnya memang rasa down dan kecewa. PKP hari pertama 18 Mac lalu adalah hari pertama arwah suami dimasukkan ke wad. Saya lalui hari-hari yang mendatang dengan penuh suram. Rasa macam kaki tak pijak tanah, tak tahu nak ceritakan pada siapa. Hanya saya dan Allah saja yang tahu. Tapi bila arwah suami dikomakan pada 20 Mac, lagi bertambah tak tentu arah hidup saya. Macam orang gila pun ada. Saya pujuk hati suami akan sembuh. Tapi Allah lebih sayangkan dia.
Harapan Aiza pasti untuk kembali pulih dan sihat sepenuhnya. Kalau ada yang mengecam atau memandang serong terhadap pesakit Covid-19, apa yang ingin disampaikan?
Mohon jangan kecam kami pejuang Covid-19 kerana kami tidak minta ujian ini datang pada kami. Dan siapalah yang mahu kehilangan insan tersayang akibat virus ini. Sesungguhnya ini semua perancangan Allah. Virus ini tiba-tiba sahaja menyerang negara kita dan merebak ke seluruh dunia dengan cepat. Hinggakan kita tidak menyangka keadaaan akan menjadi bertambah serius. Contohnya, kampung saya di Simpang Renggam, antara lokasi yang terus lockdown,
Saya anggap ini ujian Allah kepada insan yang terpilih. Allah uji kita semua kerana Dia sayangkan kita. Mohon doakan kami yang berjuang melawan Covid-19 dan terima kasih atas kiriman doa yang dititipkan. Semoga kita dalam lindungan Allah dan virus Covid-19 ini segera lenyap.
#Positif #COVID-19 #Aiza Syafinaz
;