Oleh: Rosie Haslinda Nasir

MERPATI dua sejoli ini bukti paling relevan, bagaimana pencair idea kreatif dan pemikir strategi pemasaran mampu mendatangkan keluarbiasaan – apabila berpadu dalam satu armada perdagangan. Ia memacu jenama anak tempatan. Dan ia dipulangkan kembali untuk manfaat anak watan!

Kongsikan detik mula jenama Sometime by Asian Designers diperkenalkan?


Stan Chooi, Ketua Pegawai Eksekutif Sometime by Asian Designers: Kami sebenarnya bermula lima tahun lalu, Disember 2012. Lucunya kerana pada waktu itu saya dan Nicole sebenarnya sedang hangat sangat bercinta, haha.

Nicole pada waktu itu merupakan ‘Product Advisor Specialist’ untuk beberapa jenama mewah yang menjalankan perdagangan komersil di beberapa kompleks membeli-belah lima bintang di Kuala Lumpur, antaranya Pavilion dan KLCC.

Selepas pereka jenama lima bintang ini melukis produk-produk baru mereka, maka Nicole sebagai ‘Product Advisor Specialist’ akan merealitikan lukisan-lukisan inovatif ini menjadi produk prototaip.

Skop kerja Nicole ini sebenarnya sangat-sangat menarik. Cuba anda lihat sendiri barisan pereka ternama Malaysia. Mengapa kebanyakan (hampir 95% daripada mereka) hanya menghasilkan busana, tapi tidak berani menghasilkan beg atau tas tangan?

Mengapa pasaran kita dilambakkan dengan jenama-jenama tas tangan antarabangsa seperti Prada, Gucci, Michael Kors, Kate Spade, DKNY, tapi kurang sekali jenama tas tangan lokal? Mengapa jenama Malaysia jadi minoriti di tanah air sendiri?

A post shared by Nicole W (@nicolew.__) on

Nicole Wong, Pengarah Urusan Sometime by Asian Designers: Anda tahu apa sebabnya? Kerana tas tangan adalah produk fesyen paling sukar, paling kompleks dan paling rumit untuk dihasilkan.

Apabila kita merekacipta beg, kita harus bertanggungjawab, bukan hanya pada rupa fizikal dan nilai estetikanya, tetapi kita mesti menjaga juga kebolehtahanan beg tersebut untuk menanggung kapasiti muatannya. Ia mungkin perlu menanggung berat tiga botol air saiz dua liter, siapa tahu? Ia mungkin perlu menampung berat sebuah komputer riba.

Bermacam harta-karunlah. Stan: Saya pernah dengar kawan saya sebut, “Kamu boleh temui sebuah rumah di dalam beg tangan wanita. Dari dapur ke ruang tamu, ke bilik bayi, bilik air, sampailah pagar luar rumah!”

Pokoknya, kata kawan saya, semua benda ada di dalam tas tangan wanita. Kalau kita fikir-fikirkan balik, betul juga kata dia, hahaha. Daripada satu segi yang lain pula, saya hadir dari latar agensi kreatif dan pemasaran.

Saya tidur, makan, jaga – segalanya – bersama strategi pembangunan jenama. Saya tahu apa yang bagus dan yang tidak bagus untuk memplotkan pelan strategik dan survival sesebuah jenama.

Maka dari situ, kami nampak adanya kelompongan dalam rak jenama tas tangan pereka rantau Asia. Kami yakin, Sometime by Asian Designers boleh isi kekosongan tersebut.

Kerana itu, datang keinginan saya untuk mencabar status quo ini. Saya katakan kepada Nicole, mari kita hasilkan satu platform e-dagang. Mari kita bangunkan ia sehingga menjadi sebuah jenama fesyen terkenal dengan pengalaman dan kepakaran yang kita berdua ada. Kenapa tidak?

Hasrat kami, kami ingin bawa semula perhatian orang Malaysia, para konsumer, supaya kembali kepada jenama- jenama lokal. Jenama tas tangan Barat sangat besar dan sukses di sini.

Mengapa kita tidak beri peluang kepada jenama lokal? Mengapa kita sombong? Mengapa kita mengenepikan jenama buatan sendiri sedangkan kualiti yang ditawarkan juga setanding jenama Barat? Kenapa kita pilih bulu, pilih kasih?

Kami sangat bernasib baik. Dalam tempoh tidak sampai lima tahun, Sometime by Asian Designers dapat bekerjasama dengan gura industri fesyen ternama Malaysia, antaranya Dato‘ Rizalman Ibrahim dan Alia Bastamam.

Kredit foto: www.sometime.asia

Kalian memperkenalkan jenama ini secara dalam talian. Mengapa tidak buka butik fizikal sebagai pengenalan? Bukankah konsumer lebih suka melihat dan menyentuh sendiri tekstur beg tangan sebelum membeli? Komen?

Stan: Kalau anda lihat kembali jenama-jenama tas tangan mewah yang dijual di Malaysia, harganya pasti bermula dengan empat digit, betul bukan? Mengapa harganya menjadi sebegitu mahal? Kerana wujudnya unsur-unsur ‘traditional markup‘ di situ.

Sesebuah produk fesyen itu mungkin dijenterakan dengan kos RM200 sahaja, contohnyalah. Tetapi apabila ia masuk ke butik berlantai marmar Perancis berkilau, koordinatnya pula dekat ruang legar utama — tag harga beg tangan tadi akan berubah menjadi RM1,000 hingga RM2,000! Satu indikasi bagaimana harga itu boleh menjadi hampir 10 kali ganda.

Mengapa ini terjadi? Kerana mereka perlu membayar kos sewa, gaji para pekerja, kos utiliti, perlu menanggung kos pengiklanan besar-besaran, malah ramai juga yang perlu membayar jurucakap produk untuk melariskan jenama mereka.

Bayangkan, kalau sebuah butik jenama XYZ mempunyai sebuah ‘flagship store’ di shopping mall A misalannya, katakan sewanya RM30,000 sebulan, dan jenama XYZ ini mempunyai lima lagi cawangan lain di kompleks beli-belah terkenal lain di seluruh Malaysia

Jadi cuba anda buat kira-kiranya. Berapakah pula kos penyewaan? Itu belum lagi dicampur kos menggaji pekerja dan sebagainya? Kerana pada penghujung hari nanti, soalannya – siapa pula yang perlu membayar semua kos ini? Seseorang perlu membayarnya bukan? Siapa pula seseorang itu, kalau bukan anda – kita – para pembeli?

Kerana hakikat inilah maka kami tidak mahu membebankan para konsumer. Bagi kami, biarlah mereka membayar apa yang wajar saja. Biarlah mereka membayar apa yang mereka pegang, pakai dan sandang. Kita kena adil. Kita jangan bebankan konsumer dengan perkara- perkara yang tidak sepatutnya.

Tapi ya, kata anda tadi ada betulnya. Memang sukar pada mulanya, kerana apabila membeli, konsumer punya habit untuk sentuh, pegang dan ‘merasai’ sendiri produk itu. Sebab itu aspek fotogra dan penataan cahaya antara elemen paling penting dalam proses ini. Kalau tas tangan cantik, material kualiti tinggi, tapi nampak malap di skrin telefon, tertarikkah orang melihatnya?

Kalau anda lihat portal kami, ‘persembahan’ beg tangan kami cukup terjaga. Daripada segi bentuknya, penataan gayanya, cara tali tas tangan itu dilingkarkan, apakah patut melilit? Apakah patut bergulung? Apakah patut melentik separuh? Bunyi macam remeh, tapi ini kami urus sebaiknya.

Stan Chooi, Ketua Pegawai Eksekutif Sometime by Asian Designers

Tidak teringinkah lihat mercu tanda ‘Butik Sometime by Asian Designers’ tersergam gah di Pavilion selepas ini?

Stan: Teringin juga, tapi ia bukanlah satu perancangan yang konkrit. Mungkin memadai dengan membuka sebuah butik fizikal saja. Lokasinya? Biarlah mengikut kemampuan dan saiz keuntungan kami. Ya, cukuplah satu. Itu pun demi memenuhi permintaan konsumer yang tak berapa selesa dengan pembelian dalam talian.

A post shared by Sometime • By Asian Designers (@sometime_byasiandesigners) on

Menghampiri lima tahun, anda berdua masih saling berdamping, masih hangat bercinta macam dulu-dulu?

Stan: Haha, oh yessss! Walaupun banyak dugaan dan ranjaunya (ketawa besar). Nicole ini agak degil dan keras kepala orangnya. Macam yang orang katalah, langit tak selalu cerah.

Kami bertelingkah dan bertikam lidah. Tapi saya fikir, dari satu perbalahan ke satu perbalahan yang lain, ia sebenarnya menguatkan lagi asas perhubungan kami – bukan saja sebagai kekasih – tapi sebagai pasangan bisnes.

Saya sendiri belajar mengawal emosi, belajar menjadi lelaki pemimpin, tenang, matang, adil. Semua karakteristik ini sebenarnya adalah pengukuhan-pengukuhan penting dalam kemandirian sifat kita sebagai seorang usahawan sebuah empayar niaga.

Dalam tempoh lima tahun ini, kami berjaya mengembangkan operasi Sometime by Asian Designers. Daripada bertiga (dulu cuma ada saya, Nicole dan seorang kakitangan), kini syarikat kami menaungi 25 kakitangan.

Kalau boleh saya sebut, 25 kakitangan ini, saya anggap sebagai tanggungjawab serta tanggungan saya dan Nicole. Mereka umpama anak-anak kami. Yang kami kirkan selalu, adalah bagaimana mengembang dan mengukuhkan lagi jenama Sometime by Asian Designers, bagaimana kami boleh pastikan masa depan ‘anak-anak’ kami ini terjamin.

Lebih dahsyat, dua tahun pertama, kami bekerja kuat. Sangat kuat. Kami bekerja 12 jam sehari. Makan tak kenyang. Tidur tak lelap. Hanya kerja, kerja, kerja. Hidup tunggang-terbalik seperti dilanda puting beliung.

Banyak perkara (masalah) timbul. Banyak masa diperuntukkan di pejabat. Intimasi cinta bukan lagi prioriti. Jatuh nombor dua dan tiga malah. Tapi kami dua-dua tabah dan kuat semangat. Kami tahu apa yang kami kejar. Kami sepakat, setuju dan berusaha kuat mencapai cita-cita kami.

Jadi, kalau anda tanyakan kepada kami, tak jemukah, bercinta dan bekerja bawah bumbung yang sama? Berjumpa saban hari di pejabat? Hoho, maaf. Kami tak ada masa nak rasa jemu!

Nicole Wong, Pengarah Urusan Sometime by Asian Designers

Nicole: Saya melihatnya sebagai satu proses percintaan yang sangat mematangkan. Bukan kerana wang ringgit semata-mata. Saya rasa bertuah kerana sebagai pasangan sejiwa, kami telah tempuhi banyak dugaan bersama.

Susah dan senang, saya dan Stan ‘mengadapnya’ bersama. Stan menampung kekurangan saya. Saya memperkasa kelemahan Stan. Kami tidak rebut role yang sama. Sebaliknya, kami manfaatkan kekuatan diri pada bidang masing-masing. Mungkin inilah yang selalu orang kata, saling melengkapi.

Ceritakan bagaimana kalian memilih material yang digunakan untuk membuat tas tangan?

Nicole: Apa yang membuatkan Sometime by Asian Designers istimewa adalah kerana keunikan material tas tangan yang kami gunakan. Kami tidak bergantung pada material konvensional sedia ada seperti lambakan beg dan tas tangan yang dapat anda lihat dan pegang di rak- rak butik.

Sebaliknya, kami adun dan cipta material baru mengikut kesesuaian rekaan tas tangan kami. Saya juga bertuah punya ‘connection’ dengan pemain-pemain besar industri. Dengan adanya ‘connection’ ini, maka permintaan saya untuk pesanan bersaiz kecil, masih dilayan.

Stan: Ya, ini semua adalah kemudahan dan akses-akses istimewa yang Nicole peroleh kerana pengalaman dan reputasi baik yang telah diciptanya sewaktu bekerjasama dengan jenama-jenama besar antarabangsa.

Kredit foto: www.sometime.asia

Kuasa media sosial, sejauh mana ia membantu meluaskan jenama Sometime by Asian Designers?

Stan: Media sosial boleh saya sifatkan sebagai sebuah mesin promosi dan pengiklanan yang sangat-sangat hebat. Bayangkan, dalam sehari, berapa kerap kita menjengah masuk akaun Instagram orang lain?

Orang yang kita kenali? Atau orang yang tidak kita kenali? Lebih daripada beberapa kali bukan? Kita bebas keluar-masuk rumah digital orang lain tanpa perlu minta kebenaran.

Paling tidak pun, kita hanya perlu tekan butang ‘Follow Request’ dan tunggu pintu itu dibuka oleh tuan punya akaun Instagram. Senang bukan? Eksistensi dan kejayaan banyak produk fesyen lokal kita hari ini, banyak digerakkan oleh media sosial. Kita bertuah kerana punya kemudahan percuma ini.

Kredit foto: www.sometime.asia

Bagaimana kalau konsumer tidak berpuas hati, mahu memulangkan produk yang sudah dibeli?


Stan: Di portal Sometime by Asian Designers, kami mempunyai ‘Polisi Pemulangan dan Penukaran 10 Hari’. Bermaksud, kami menyediakan platform untuk pelanggan Sometime by Asian Designers memulangkan atau menukar tas tangan yang telah mereka beli atas faktor berlakunya ‘manufacturing defect’, atau sekiranya produk tidak mencapai ekspektasi mereka. Tapi hey, sepanjang lima tahun sejarah operasi kami, return rate yang dicatatkan kurang daripada 1%!

Nicole: Betul tu, sepanjang Sometime by Asian Designers beroperasi, return rate yang direkodkan adalah kurang daripada 1%. Ini membuktikan betapa seriusnya kami dalam menyelia kualiti tas tangan yang direka dan dikilangkan di bawah label Sometime by Asian Designers. Kami tak akan sekali-kali berkompromi dengan isu kualiti. Itu janji kami.

Stan: Lebih daripada 50% pelanggan yang pernah membeli di portal kami didapati memiliki sekurang-kurangnya dua tas tangan daripada Sometime by Asian Designers.

Ini merupakan satu indikator yang baik untuk melihat behaviour para pembeli tas tangan kami, bagaimana mereka berpuas hati dengan pembelian pertama, lalu mengulang membeli untuk kali kedua dan ketiga.

A post shared by Sometime • By Asian Designers (@sometime_byasiandesigners) on

Apakah trend yang ‘in’ dan terkini? Adakah sukar untuk kalian menebak selera pelanggan yang berubah-ubah?

Nicole: Kami tidak menghasilkan sesuatu rekaan beg berdasarkan satu-satu perayaan, atau mengikut aliran trend musim-musim tertentu. Sebaliknya, kami merekacipta tas tangan berdasarkan selera dan permintaan orang kita.

Apa yang orang kita mahu? Mereka mahu sesuatu yang cantik, bergaya, murah dan elemen paling kritikal lagi penting – tas tangan tersebut haruslah praktikal.

A post shared by Sometime • By Asian Designers (@sometime_byasiandesigners) on

Stan: Jangan salah anggap. Kami tidak memusuhi aliran trend. Tapi kami berpegang kuat pada prinsip asas kebolehjadian jenama Sometime by Asian Designers – rekaan kami malar segar, elegan, bergaya, bermutu tinggi, praktikal, bahkan tak lapuk untuk mana-mana dekad pun.

Ketika orang lain sibuk membuat rekaan eksklusif atau menganjurkan sales bersempena Hari Merdeka atau Tahun Baru Cina misalannya, kami tetap dengan cara kami. Kami tidak meniru. Kami tidak larut dalam trend semasa.

Satu masa dulu contohnya, gamat sekejap industri fesyen apabila banyak jenama mengeluarkan rekaan leather sticker bag. Ia tiba-tiba jadi satu fenomena, sehinggakan team pereka kami rasa teruja.

Mereka mahu hasilkan sesuatu yang serupa. Tapi kami segera mengingatkan, JANGAN! Kita seharusnya fokus pada apa yang menjadi DNA dan nukleus kita. Kerjakan sesuatu yang menjadi kepakaran dan ‘makanan’ kita. Jangan meniru. Jangan terikut-ikut.

Namun, kira-kira sekali atau dua kali dalam setahun, kami langsungkan satu jualan istimewa yang kami panggil sebagai ‘Reject Sales’. Mengapa ‘Reject Sales’? Kerana hanya pada jendela ini, kami menjual tas tangan- tas tangan yang mengalami (sangat) sedikit elemen kecacatan pada peringkat produksi.

Contohnya, beg tangan yang dicomoti kesan calar. Ia sebenarnya masih dan tetap akan berfungsi sempurna sebagai sebuah beg, tetapi oleh kerana kesan calar (yang sedikit) itu, maka kami tidak melepaskannya kepada tangan mana-mana pembeli. Sebaliknya disimpan untuk tujuan ‘Reject Sales’.

Kami mahu berlaku jujur kepada pelanggan. Kepercayaan mereka adalah selamanya masa depan kami. Ini prinsip kami.

Kredit foto: www.sometime.asia

Apa yang pahit atau manis jika mahu dikenang kembali?

Nicole: Apabila melihat ke belakang, saya terkenang kembali kepayahan yang kami tempuhi sewaktu baru mencipta tapak. Sedangkan ahli keluarga saya sendiri tidak mempercayai apa yang saya mahu lakukan.

Mereka kata saya hilang akal. Siapa mahu membeli tas tangan jenama saya kalau di pasaran sudah ada jenama yang established seperti Kate Spade? Kata mereka lagi, saya hanya membuang masa, saya buat kerja yang sia-sia.

Tapi lama-kelamaan, apabila jenama Sometime by Asian Designers mulai terkenal dan meniti dari bibir ke bibir, saya dapat melihat, kepercayaan dan rasa hormat daripada ahli keluarga mula tumbuh.

Mereka mulai rasa bangga membawa tas tangan Sometime by Asian Designers, malah bersungguh-sungguh mempromosi. Inilah antara momen pahit-manis yang akan saya kenang sampai bila-bila.

A post shared by Sometime • By Asian Designers (@sometime_byasiandesigners) on

Stan: Ya, kami sangat bertuah kerana menerima sokongan padu pasukan Sometime by Asian Designers. Kesemua ahli famili bawah bumbung Sometime by Asian Designers telah bekerja kuat menjadikan portal ini satu realiti. Dan insan pertama yang menyertai dan mempercayai angan-angan kami berdua, lima tahun lalu — masih setia bersama kami hingga hari ini.

Hari ini, dia merupakan Head of Operations Sometime by Asian Designers. Ya, kami didukung oleh team yang sangat komited dan berdedikasi. Mereka bertahan bersama kami.

Ada antaranya bermula sebagai pekerja junior, hari ini dia sudah meningkat naik dan kemahirannya juga sudah teruji sehingga berjaya menjadi ‘Product Specialist’ seperti Nicole.

Kami harus segera berkembang, supaya kami mampu beri ruang kepada tunas kerja-tunas kerja yang telah mendedikasikan seluruh hidup mereka untuk membangunkan jenama Sometime by Asian Designers.

A post shared by Sometime • By Asian Designers (@sometime_byasiandesigners) on

Pengalaman menjalin kerjasama bersama Dato’ Rizalman Ibrahim untuk koleksi RI Bag, kongsikan?

Stan: Rupa-rupanya, jenama Sometime by Asian Designers bukan nama yang asing buat Dato’ Rizalman Ibrahim. Menurut Dato’ Rizalman, kebetulan agak ramai kliennya menggunakan tas tangan Sometime by Asian Designers. Dia hairan.

Katanya, kenapa baru sekarang kami datang mencarinya? Hahaha! Berada dalam kompas insan ikonik seperti Dato’ Rizalman Ibrahim adalah satu penghormatan besar. Kerana itu tidak sukar untuk kami terangkan, ‘siapa kami’ dan ‘apa produk kami’ kepada beliau.

A post shared by Sometime • By Asian Designers (@sometime_byasiandesigners) on


Nicole: Dato’ Rizalman insan ‘perfectionist’, sangat terperinci, sangat fokus pada perincian-perincian paling kecil. Dia juga sangat berterus-terang. Kalau dia suka, dia akan kata suka. Kalau dia tidak suka, dia akan kata dia TIDAK SUKA. Kerana itu, proses kerja jadi mudah.

Koleksi RI Bag mengambil masa sekitar tujuh bulan untuk diprototaipkan mengikut skala kesempurnaan beliau. Semuanya berdasarkan pengalaman peribadi beliau sendiri sebagai an avid luxury bag collector.

Dua elemen paling penting – fine craftsmanship dan material premium, menjadikan rekaan RI Bag menghampiri kesempurnaan. Buktinya? RI Bag Mini terjual licin dan habis daripada stok kami dalam tempoh berapa jam sahaja, bayangkanlah! Ia satu kolaborasi yang sangat hebat.


Stan: Selain RI Bag rekaan Dato’ Rizalman, saya fikir para peminat Sometime by Asian Designers juga mengingati kami kerana beberapa beg ikonik lain seperti Koleksi Niko-Niko rekaan Nicole W, Koleksi Sofina Inspired by Vivy Yusof yang kini sudah masuk generasi ketiga, juga Koleksi Basta rekaan Alia Bastamam.

Terkini, kami baru melancarkan segmen ‘Iconic Essentials’ di mana para pembeli boleh meninta nama mereka pada tas tangan. Servis personalisation ini lazimnya hanya ditawarkan oleh tas tangan jenama mewah.

Namun kami mahu memberikan eksklusiviti itu kepada pelanggan Sometime by Asian Designers. Memanfaatkan teknologi yang sama, kami menggunakan 22 carat gold foil untuk mencetak timbul nama anda pada tas tangan kami.

A post shared by Sometime • By Asian Designers (@sometime_byasiandesigners) on

Iklim ekonomi global sekarang malap dan lembap. Kita di Malaysia sama rasa terpukul. Banyak gudang perniagaan terpaksa gulung tikar. Tidakkah Sometime by Asian Designers terasa tamparannya juga?

Stan: Hmm, anehnya tidak kepada kami (Nicole angguk setuju). Platform e-dagang kami berjalan seperti biasa. Oh come on, beritahu saya, gadis mana tak akan beli tas tangan baru kalau gaji atau claim sudah masuk?

Daripada satu segi, kami bertuah, kerana price point kami murah, jadi konsumer boleh terus membeli produk kami tanpa rasa terbeban atau pokai. Kalau konsumer selama ini biasa membeli beg berharga RM2,000, apabila ekonomi sudah tak berapa nak cantik, maka secara automatik dia akan beralih kepada jenama alternatif yang masih berkualiti, tapi murah dan menjimatkan. Waktu itu, tas tangan Sometime by Asian Designerslah yang akan dicari.

A post shared by Sometime • By Asian Designers (@sometime_byasiandesigners) on

Harapan dan perancangan kalian untuk masa depan?

Stan: Kami ingin menakluk Asia kerana setakat ini, kami baru menguasai pasaran Malaysia dan Singapura, dan permintaan dua negara ini saja memang luar biasa. Seperti yang telah kami sebutkan sebelum ini, jenama tas tangan di bawah produksi Sometime by Asian Designers adalah produk yang sangat unik.

Kami melawan trend arus perdana. Kami tidak menggunakan material sedia ada secara semberono, kerana kami mengadun material kami sendiri. Kami juga bertanggungjawab melatih bakat baru dan menumpahkan ilmu pembikinan beg kepada kakitangan baru kami.

Nicole sendiri misalannya, perlu memberi tunjuk ajar dari zero akan selok-belok pertukangan beg di Sometime by Asian Designers. Suka atau tidak, kita harus mengakui, skill pembikinan beg dan ilmu sebagai seorang ‘Bag Specialist’ hampir tidak wujud di Malaysia.

Cinta yang terbengkalai, bila pula akan diikat?

Hmmm... Hanya kebelakangan ini saya dapat merasakan, ada ruang untuk kami bernafas dan melangkah setapak ke dalam lingkaran hidup peribadi kami sebagai kekasih. Saya dan Nicole pun bukannya muda sangat. Kami pasti mahu ‘bekerjasama’ sekali lagi, untuk satu lagi ‘partnership’ sesegera mungkin, hahaha.

Saya sangat berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan membuka mata kepada produk- produk yang dihasilkan di bawah bumbung Sometime by Asian Designers. Bantulah kami untuk membantu anda. Bantulah kami untuk menjana ekonomi tanah air kita.