Hiburan
Begitulah Seharusnya; PENGANTIN BARU Kena Pandai Bawa Diri, Jangan Merap Dalam Bilik Main Telefon Je!
Terdahulu Fasha Sandha pernah memuat naik gambarnya yang baru selesai turun dari pelamin terus mencuci periuk belanga di kampung halaman suaminya ketika majlis bertandang. Ia mendapat pujian ramai kerana sikapnya yang sangat merendah diri dan pandai pula membawa diri. Bak kata orang, masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak. Walau dengan mekap masih mampan di wajah dan tiara tegak di kepala, Fasha tidak kisah bersama suami menyental periuk belanga.
Dan, baru-baru ini Elly Mazlein pula memuat naik gambarnya yang turut sedang membasuh kuali dan perkakas dapur di kampung suami di Kampung Karangan, Kelantan usai majlis bertandang meraikannya sebagai menantu. Elly nampaknya begitu seronok dan selesa berada di kalangan orang kampung terutamanya keluarga suami dan jiran-jiran di situ. Walaupun sudah biasa dengan kehidupan sebagai wanita bandar, Elly Mazlein nampaknya tidak kekok dan tidak kisah turun ‘mencemar duli’ walau dengan selipar glamornya itu!
Kredit Foto: IG Fasha Sandha
Bergelar Ratu Sehari Bukan Tiket Jadi ‘Anak Raja’
Namanya sahaja ratu sehari dan bukannya permaisuri sepanjang hayat! Setelah beberapa jam duduk di pelamin yang disewa itu, lekas-lekaslah bersalin pakaian dan turun ke dapur atau laman rumah mak mertua untuk melihat apa yang boleh dibantu. Walaupun mungkin zaman sekarang sudah tidak ada lagi gotong-royong masak beramai-ramai, namun jangan jadikan alasan untuk kamu duduk bersenang-lenang di dalam bilik.
Inilah masanya untuk mengenali saudara-mara belah suami yang jauh dan dekat. Jiran-jiran di sekeliling juga sahabat-handai suami dan keluarganya. Tentu meriah apabila mendengar mereka berkongsi cerita sejarah dan kenangan suami ketika kecil dan lain-lainnya. Inilah masanya mengeratkan silaturahim secara ‘real’ dan bukan hanya di alam maya. Bertanya khabarlah dan berkenalan dengan lebih dekat supaya kalau terserempak di mana-mana, kamu kenal saudara.
Kredit Foto: Google
10 Perkara Perlu Elak Wahai Si Pengantin Baru
- Duduk berlama-lama di dalam bilik
- Menjauhkan diri daripada orang sekeliling
- Asyik mengadap telefon
- Bangun tidur lambat
- Masuk bilik awal
- Asyik nak berkepit dengan suami
- Tidak mahu menjamah makanan yang dijamu
- Berlebih-lebihan ketika bergurau atau berbual
- Keluar rumah lama-lama dalam erti kata lain sengaja mahu melarikan diri
- Meminta sesuatu yang tidak mampu diadakan seperti bilik berhawa dingin, air panas dan lain-lainnya.
Must-Watch Video