Highlights
Belajarlah Bersyukur Walau Untuk Perkara Kecil Dan Mungkin Remeh. DIA Akan Gandakan Nikmat Pada Kita, Insya-Allah.
Seawal bangun pagi, saat mata kembali celik usai tidur semalaman perlu menjadi kebiasaan untuk kita titipkan rasa syukur. ‘Ya Allah, syukur Engkau masih beri masa untuk aku bernafas hari ini’. Sekurang-kurangnya itulah yang wajar kita ucapkan saban hari. Bersyukur kerana Allah masih beri nikmat dan peluang untuk kita perbaiki diri berbanding semalam, syukur kerana Allah masih mengizinkan kita melakukan apa yang dirancang pada hari sebelumnya dan lain-lain. Mulakan hari dengan memuji dan mengagungkan-Nya. Juga selawat dan salam ke atas junjungan Rasulullah SAW dan para sahabat serta keluarga Baginda.
Kredit Foto: Google
Kenapa Kita Perlu Bersyukur?
Terlalu banyak nikmat pemberian dan pinjaman-Nya untuk kita. Kita masih dipinjamkan anak dan isteri untuk dibelai, dilindungi dan disayangi. Kita masih punya rumah untuk didiami, tidak kiralah sama ada menyewa atau rumah sendiri. Hakikatnya masih beralaskan katil untuk tidur di malam hari. Kita masih ada pekerjaan yang pendapatannya untuk menyara anak dan isteri. Kita masih punya ibu ayah untuk berbakti dan berbudi. Kita punya kenderaan untuk ke sana-sini. Dan terlalu banyak lagi untuk disenaraikan dan diperincikan.
Kredit Foto: Google
Ya, kita banyak ‘terhutang’ dengan Maha Pencipta. Sama ada setuju atau tidak, Dialah yang berkuasa mengizinkan segala sesuatu ke atas diri kita. Daripada sekecil-kecil nikmat hinggalah sebesar-besar nikmat, semuanya dengan izin dan kekuasan-Nya. Sedari kecil, melangkah ke peringkat sekolah, remaja, dewasa, belia dan tua segala yang berlaku pada diri kita adalah atas kehendak-Nya. Apa yang kita mampu lakukan adalah merancang, dan Dialah yang menentukannya.
Berdasarkan petikan kata-kata diatas, sama ada secara sedar atau tidak ia berlaku dalam kehidupan kita seharian. Apabila kita merungut, maka semakin banyak perkara yang Allah beri untuk kita rungutkan. Hingga kita lupa untuk bersyukur. Contoh mudah, ‘Ish, dah berapa hari ni asyik panas aje. Tidur pun pasang kipas walaupun dah buka air cond.’ Atau ‘Haih… Hujan dari pagi sampai ke petang. Tak keringlah semua baju-baju ni. Lembap aje.’ Dan bagi ibu bapa yang mungkin tertekan saat perlu bekerja dari rumah sepanjang tempoh PKPB ini pasti benar-benar menguji kesabaran hati. Saban harilah si ibu atau bapa terpekik, menjerit memarahi anak-anak. Itu belum dikira apabila merungut dengan perangai anak-anak. Mana lagi mahu memasak, uruskan rumah, perhatikan kerja sekolah anak, meeting online, deadline itu dan ini serta banyak lagi.
Sedangkan perkara-perkara kecil sekalipun kita merungut dan mengeluh, inikan pula apabila diuji dengan pelbagai dugaan hebat. Terduduk? Terdiam dan menyalahkan takdir kenapa diri yang perlu mengharungi semua ini? Lantas menuding jari menyalahkan si fulan atau si fulan yang menjadi penyebab dan punca? Allahu… Singkat sungguh pemikiran kita.
Kredit Foto: Google
Susah Sangatkah Untuk Mengucapkan Syukur Alhamdulillah?
Tanya pada diri sejauh mana tahap keimanan dan kentalnya hati kita saat diuji. Mereka yang beriman akan menitipkan kesyukuran apabila Allah berikan ujian dan menduga dengan pelbagai bentuk kesukaran. Bagi mereka ia tanda Allah mahu memberi peringatan, betapa Dia masih memandang dan menyayangi hamba-Nya yang bertakwa dan beriman. Dia mahu menjentik hati dan emosi, perlahan-lahan memberi keinsafan kepada kita yang kerdil ini. Dan saat anda berasakan apa yang berlaku ada hikmah yang Allah mahu siapkan, maka beruntunglah.
Usah berlengah dan cepat-cepat muhasabah diri. Renung sedalamnya tentang segala kekhilafan yang secara sedar atau tidak telah anda lakukan. Apakah tanpa sengaja anda melukakan hati sesiapa, menjatuhkan aib sesiapa, memandang rendah atau memperlekehkan kehidupan yang dilalui rakan atau saudara-mara misalnya, timbul perasaan hasad dengki serta bermacam lagi.
Kredit Foto: Google
Selagi Allah Beri Ruang Dan Peluang, Manfaatkanlah
Andai terbit kesedaran dan keinsafan segeralah berubah. Perbaiki diri dan syukuri setiap apa yang ditentukan Allah untuk kita. Sudah-sudahlah mengeluh, merungut atau menyalahkan sesiapa. Selagi dipinjamkan masa, diberi kesempatan dan sebagainya maka gunakan sebaiknya. Tidak susah manapun untuk menunjukkan rasa syukur kita pada-Nya. Tidak semestinya anjurkan kenduri kesyukuran sebagai bukti kita bersyukur saat dinaikkan pangkat, menerima pingat, anak-anak meraih keputusan cemerlang dan sebagainya.
Memadai dengan patuh kepada suruhan-Nya dan tinggalkan segala larangan-Nya. Perbaiki hubungan sesama manusia, ikhlaskan diri untuk memberi apa yang dimiliki serta rajinkan diri melakukan pelbagai amal ibadat lain. Perlahan-lahan, cubalah. Tiada paksaan. Syukur itu menerbitkan keikhlasan dan keluhuran hati bagi sesiapa yang benar-benar memahami. Insya-Allah, Dia yang Maha Melihat akan mengganjarkan pahala berlipat ganda kepada hamba-Nya yang ikhlas beribadat kepada-Nya.
Kredit Foto: Google