Menjelang hujung cuti persekolahan ini, bermulalah kesibukan ibu ayah melengkapkan persiapan persekolahan anak-anak. Bagi kedua ibu yang bekerja, mungkin bebanannya kurang terasa. Tetapi bagi yang kurang berkemampuan, bagaimanalah agaknya kan? Terutamanya bagi yang mempunyai anak ramai, Allahu pasti garu kepala ibu ayah mencari duit mahu sediakan semua.


Ya, mungkin tak semua perlu ditukar ganti yang baru. Tetapi hakikatnya mahu atau tidak, tak banyak sedikit pasti kena keluar duit juga. Dan berbicara mengenai perbelanjaan kewangan anak-anak ini, banyak aspek yang perlu diambil kira. Bermula dari sekecil-kecil stoking hinggalah pakaian uniform sekolah, semuanya perlukan duit.

Itu belum lagi dikira duit yuran sekolah (belum termasuk sekolah agama dan tusyen lagi ya) buku-buku, alat tulis, beg sekolah dan tambahan bagi mereka yang menaiki van atau bas. Jika tidak diperuntukkan secukupnya, boleh jadi gaduh antara ibu ayah tau! (Hahaha)

Lantas apabila memikirkan soal ini, mengingatkan penulis kepada keluarga yang kurang berkemampuan. Masakan mereka mampu menyediakan semua serba baru, dari hujung rambut sampai hujung kaki bukan?


Kredit foto: Google


Dan memahami masalah ini, banyak kini dilihat persatuan, NGO mahupun pertubuhan persendirian mengadakan jualan murah sebagai membantu mencari jalan penyelesaian.

Sama ada mereka mengumpul pakaian sekolah yang masih berada dalam keadaan baik lantas terus disalurkan kepada keluarga tertentu ataupun menawarkan khidmat mengumpul pakaian sekolah terpakai dan mencuci seterusnya dijual secara lelong.


Malah ada juga keluarga yang terus sahaja mendermakan seperti pakaian dan kasut terus kepada keluarga lain. Dan sewajarnya usaha ini harus dijadikan ikutan.


Dalam perihal ini, sejujurnya penulis kagum dengan kesungguhan semua ibu bapa yang mahu pastikan hanya yang terbaik untuk diberikan kepada anak-anak. Apa tips atau ikhtiar yang boleh diusahakan ibu bapa agar tidak terbeban dengan sejumlah wang yang banyak dalam satu masa? Ikuti tips ini.


Kredit foto: Google


1. Main ‘kutu’

Ya, hujung tahun sebegini banyak agenda yang dipersiapkan ibu bapa. Ada yang membawa anak-anak pergi bercuti dan paling penting menyiapkan kelengkapan menjelang sesi persekolahan.

Bagi yang berpendapatan sederhana, mungkin cara ini dianggap biasa. ‘Main kutu’ sebagai salah satu aternatif menyediakan peruntukan wang untuk membeli itu dan ini agar tidaklah terasa ‘sakit’ atau bagaikan derasnya aliran keluar duit gaji hujung bulan. Huhuhu…

2. Ajar Anak Berjimat

Selagi masih muat kasut dan baju sekolah itu, asalkan tidak koyak rabak; pasti ibu ayah menyuruh anak-anak agar pakai aje apa yang ada. Bukannya ibu ayah kedekut atau berkira tetapi banyak lagi peruntukan kewangan yang perlu mereka siapkan demi kelangsungan hidup anak-anak.



Kredit foto: Google


3. Berbelanja Dengan Hemah

Hanya ketika ada jualan murah atau pergi ke kedai yang boleh tawar-menawar; itu antara yang lazim dilakukan ibu bapa masa kini. Bukannya apa, ia mungkin lebih mudah dan ibu bapa sendiri sudah punya peruntukan sejumlah wang tertentu untuk digunakan. Maka tidaklah terlebih belanja.


4. Menabung Sedikit Demi Sedikit

Ada juga ibu bapa yang mementingkan konsep sediakan payung sebelum hujan. Misalnya, sejak awal tahun ataupun pertengahan tahun lagi, sudah ditolak tepi sejumlah wang dari gaji bulanan.


Contohnya, bermula Januari 2019 lagi si ibu sudah menyimpan RM200 sebulan hinggalah sampai hujung tahun untuk persediaan belanja sekolah tiga anak. Hasilnya, RM2,400 sudah tersedia untuk membeli semuanya. Ha, taklah terasa ‘sakit’ sangat kan?



Kredit foto: Google