Highlights
Berbaik Demi Anak – PERCERAIAN Tidak Seharusnya Menjadikan Anak Rasa Kekurangan, Inilah Pengorbanan.
Tidak ramai mampu melakukannya. Bagi yang berjaya mengekalkan hubungan baik sekeluarga walaupun selepas bercerai, andalah manusia hebat! Bagaimana mudah untuk melupakan pertelingkahan esktrem yang akhirnya membawa kepada perpisahan hubungan suami isteri? Namun, ada sesetengah mampu melakukannya, bertahun-tahun dan sehingga hujung nyawa. Semuanya dengan satu faktor – demi anak-anak.
Pelihara Emosi Anak-Anak
Setiap anak mendambakan kehidupan berkeluarga yang sempurna, punya ibu dan ayah serta adik-beradik yang dapat hidup harmoni dalam satu rumah. Walau bagaimanapun, ujian dan badai kita tidak mampu menolaknya. Takdir penentu segalanya apabila penceraian juga menjadi kata penamat. Apa pun keputusan yang dibuat suami dan isteri, perasaan anak-anak jangan dipinggirkan.
Ya, ikatan kalian mungkin sudah terputus, namun anak-anak masih ada penyambung warisan. Mereka memiliki darah kedua-dua kalian, maka jagalah amanah itu sebaiknya. Dalam beberapa keadaan, perasaan dan dendam memang terpaksa diketepikan. Bagaimana benci dan meluat pun kita terhadap bekas pasangan itu, terpaksalah ditelan dalam-dalam demi membolehkan anak-anak menikmati kasih-sayang ibu dan ayah tanpa sedikit pun kurangnya.
Kredit Foto: Google
7 Nasihat Buat Pasangan Selepas Bercerai
- Bercerailah dengan cara elok. Walau sebesar mana punca masalah yang dihadapi, akhiri dengan kemaafan di hujung peRceraian. Maka, dendam akan terlerai dengan sendirinya.
- Sebaik termaktubnya perpisahan, duduk berbincang baik-baik. Jangan bawa orang ke tiga dalam perbincangan tersebut. Cukuplah kalian berdua menentukan kehidupan di masa depan terutamanya hal anak-anak kerana kalian yang lebih tahu setelah lama hidup bersama.
Kredit Foto: Google
- Berbahagi masa bersama anak-anak sebaik mungkin. Masing-masing ada hak untuk menjaga dan meluangkan masa dengan benih zuriat itu. Pastikan, hal perkembangan anak-anak sentiasa ‘up date’ dari masa ke semasa.
- Jika ada hal-hal yang melibatkan ibu bapa di sekolah, sebolehnya kedua-dua kalian berperanan untuk hadir seperti Hari Sukan, Hari Kecemerlangan, Hari Keluarga dan sebagainya. Bagilah anak-anak rasa keindahan di sekolah dengan memiliki ibu ayah sama seperti kawan yang lain.
Kredit Foto: Google
- Jangan sesekali memburukkan pasangan kepada anak-anak. Sebaliknya, selalulah bercerita kebaikan masing-masing dan sesekali nyatakan kenapa perpisahan ini adalah jalan terbaik untuk semua agar dia faham dan tidak perlu berteka-teki.
- Ayah ingat! Nafkah anak jangan sesekali diabaikan. Daripada situlah permulaan kepada jalinan tanggungjawab dan ikatan yang berkat untuk kalian. Dari hari ini hingga mereka dewasa kelak.
- Seandainya, ada yang berkahwin lain, pastikan diberitahu kepada anak-anak terlebih dulu. Hargai dan hormati hak dan perasaan mereka walaupun gelarannya ‘anak’. Bukan mudah untuk anak-anak menerima orang baru dalam kehidupan mereka. Jadi, pujuklah hati anak-anak dulu, mesrakan mereka dengan bakal ibu atau ayah baru itu dulu, barulah diteruskan dengan perancangan lain.