Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Berbaik-Baik Dengan BESAN Supaya Aman Anak Cucu. Kalau Tak Boleh Nak Rapat, Janganlah Sampai Bermusuh.

Afiza Kamarulzaman
14/01/2021 10:48 MYT
Alangkah seronoknya jika sesama besan boleh dijadikan kawan baik, berbual apa saja, bertepuk tampar, berkongsi minat dan kehidupan bersama anak, menantu juga cucu. Inilah hubungan istimewa anugerah Tuhan untuk umat manusia selepas dua insan disatukan menerusi akad.


Semailah hubungan baik antara besan tidak kisahlah anakmu perempuan atau lelaki. Jangan sesekali dimulakan api-api perselisihan kelak susah untuk dipulihkan kerana ternyata kita berbeza cara hidup, budaya dan pertalian keluarga sebelum ini. Dari awal usia perkenalan lagi, niatkan yang terbaik untuk hubungan keluarga dan jangan sesekali timbulkan isu.



Alukan Kehadiran Besan Sebagai Ahli Keluarga


Jika sudah kita terima anaknya sebagai menantu dan kemudian kita memiliki cucu hasil percampuran darahnya dan darah kita, maka terimalah kehadiran besan seadanya. Anggap besan umpama keluarga sendiri. Setinggi atau serendah mana pun taraf dan kedudukan mereka, jangan dijadikan benteng pemisah.


Paling penting, jangan benarkan sebarang toksid membiak dalam hubungan keluarga. Memang akan ada saja unsur-unsur jahat dari luar yang mungkin cuba mengacum hubungan kalian. Namun, usah diendahkan. Kuatkan iman untuk sentiasa bersangka baik dengan besan sendiri kerana ingat sekali lagi, busuk-busuk pun mereka tetap keluarga kita.




Kredit Foto: Google



Selalu Berhubungan ‘Update’ Hal Anak Menantu


Bukan semua hal anak kita di bawah poket kita. Ada ketikanya mereka berahsia atau lebih selesa bercakap dengan pihak di sebelah sana. Jangan berkecil hati. Sebaliknya, berbuat baiklah dengan keluarga di sana supaya mudah untuk kamu mengetahui perkembangan anak menantu dan cucu yang mungkin kamu ketinggalan.


Seronoknya apabila kedua-dua besan dapat duduk semeja membincangkan hal anak-anak jika berdepan sebarang masalah. Waktu kritikal seharusnya dihadapi kedua belah keluarga tanpa perlu mencari orang luar untuk menyelesaikannya. Dan, besanlah orang terbaik untuk berkongsi pendapat dan tindakan.



Jaga Kata-Kata dan Tindakan

Permusuhan selalunya berlaku puncanya daripada kata-kata. Kemudian dimarakkan dengan perbuatan yang mencolok mata. Jika ada perkara yang tidak berpuas hati, jangan sesekali lekas menghamburkan sebarang kecaman atau sindiran. Selidik baik-baik. Jika masih boleh ditutup sebelah mata, lakukanlah demi kebaikan bersama.


Ingatlah, kehidupan kita masih panjang. Jika kedua besan tidak berbaik, yang menjadi mangsa pastinya anak-anak juga cucu. Ia juga akan menjadi teladan yang tidak baik buat mereka. Tidak salah untuk beralah dan pamerkan kasih-sayang daripada hati yang ikhlas, pasti Tuhan juga merahmati hubungan kalian.



Kredit Foto: Google



Kalau Tak Mampu Untuk Rapat, Cukup Dengan Tidak Bermusuh


Ya, andainya anda memang tidak mampu untuk menjadikan besan seperti keluarga sendiri atau bertepuk-tampar, cukuplah agar hubungan kekal begitu adanya. Asalkan tidak bergaduh dan bermusuhan. Ada orang kata, jangan rapat-rapat sangat nanti jadi gaduh. Jika, pepatah ini yang anda pegang maka ambillah jalan selamat.


Cukuplah hubungan besan itu atas dasar perkahwinan anak menantu dan disatukan oleh cucu. Janji masih boleh bersua muka, bersalaman, berlaga pipi dan berbual ringkas. Apa yang penting, bersihkan hati dan jangan sesekali membuat khianat atas apa jua alasan.





#Keluarga #Besan
;