‘Berkorban apa saja, harta ataupun nyawa, itulah kasih mesra, sejati dan mulia’ itulah antara bait-bait lirik nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee yang menggambarkan betapa besar maknanya sebuah pengorbanan. Bayangkan sajalah, diumpamakan hingga nyawa sanggup dikorbankan. Dan lebih bererti dalam rumahtangga, pengorbanan itu umpama alah bisa tegal biasa. Baik bagi suami mahupun isteri, masing-masing pasti maklum jika tiba pada masa dan ketikanya kedua-duanya dituntut untuk berkorban. Usah bandingkan siapa yang lebih banyak berkorban atau sebaliknya. Kerna ia perlu seiring dengan keikhlasan juga persefahaman. Terpanggil Raden untuk berkongsi kisah salah seorang kakitangan di pejabat Dewi, kakak Raden.


Ratna dan suami, Omar hidup serba sederhana. Dikurniakan enam orang anak, bagi sesiapa yang menghuni ibu kota pasti terasa ‘keperitan’ daripada segi kewangan. Tambahan pula dihimpit dengan kos sara hidup yang meningkat, harga barang yang mahal dan pelbagai lagi perbelanjaan yang rata-ratanya serba-serbi naik. Namun semuanya dilalui dengan hati yang cekal lagi tabah. Gigih bangun seawal jam empat pagi, dia bertungkus-lumus menyiapkan hidangan nasi lemak untuk dijual kepada rakan sepejabat juga memasak bekalan buat anak-anak dan hidangan untuk sajian tengah hari usai anak-anak pulang dari sekolah.


Kredit Foto: Google


“Kau tak penat ke Tina tiap-tiap hari masak, bangun awal pagi siapkan itu ini?” soal Dewi, merangkap antara pelanggan setia membeli Nasi Lemak dan Bihun Goreng hasil air tangannya. “Saya buat ini semua untuk keluarga. Untuk anak-anak. Kalau ikutkan penat memanglah penat Puan. Tapi masa ada kudrat inilah perlu kerja keras. Biar susah sekarang, esok tua-tua boleh relaks. Itupun kalau panjang umur,” jawabnya ringkas sambil jari jemari mengetuk papan kekunci. Betapa positif dan kental semangatnya membuatkan Dewi termalu sendiri. Masakan tidak, Dewi yang seusia dengannya, punya dua anak tidak perlu bersusah payah seperti Ratna melunaskan tugas hakiki seorang ibu kerana dia punya pembantu untuk mengerjakan semua kerja-kerja rumah. Biar jawatan berbeza di pejabat namun di bahu mereka tergalas tanggungjawab yang sama yakni seorang isteri dan ibu. Maklum mengenai pendapatan Ratna yang diraih sebagai penyambut tetamu tidak akan pernah sama dengan gaji Dewi, maka Dewi membenarkan Ratna berniaga asalkan tidak mengganggu tugasan pejabat. Biarpun sebenarnya ia melanggar peraturan pejabat namun naluri keibuan Dewi merelakannya. Biarpun tugasnya sekadar penyambut tetamu, tetapi penampilannya tetap kemas dan cantik dipandang. Sebagai duta kecil pejabat dan individu pertama yang bersua muka dengan semua orang, sedikit sebanyak imej syarikat dan pejabat terpapar di wajahnya. Rutinnya, usai tiba di pejabat dia akan ke tandas untuk bersolek. Serikan wajah selepas berpanas dan berlengas di dapur. Pernah sekali dua Raden bersua muka dengannya kerana singgah di pejabat Dewi. Persis anak dara penampilannya.


Sekali-sekala Dewi akan menghadiahkan Ratna dengan pelbagai barang. Ia sebagai tanda penghargaan atas kegigihannya juga ketekunannya memenuhi tuntutan tugasan di pejabat. Malah bagi Dewi, ia disifatkan sebagai pemberian ehsan kerana katanya tidak semua dikurniakan rezeki yang sama namun menjadi saranan agar setiap yang diterima dikongsi bersama. Begitulah sifat dan ketokohan seorang wanita dan ibu yang sentiasa memikirkan orang lain. Kebetulan kala Dewi melewati mesin fotostat matanya sempat mengerling kelibat Ratna yang asyik melayari sebuah laman web fesyen muslimah. Sengaja menerjah sambil mencuit di belakang Ratna, tanpa sedar Ratna melatah tanda terkejut. “Ya Allah Puan, nasiblah saya tiada penyakit jantung. Kalau tidak dah arwah tadi,” tuturnya sambil mengurut dada. “Leka sangatlah tu sampai aku di belakang pun tak sedar. Website apa ni? Oh, telekung Siti Khadijah,” soal Dewi dan dia sendiri yang menjawabnya.


Kredit Foto: Google

“Saja tengok-tengok. Orang cakap kainnya lembut, tak panas dan selesa pakai. Tapi tak tahulah saya sebab tak pernah beli,” hurai Ratna terperinci. “Kalau teringin nak pakai, beli sajalah. Apa salahnya belanja lebih untuk solat, menghadap Allah,” ujar Dewi selamba. Namun dia terdiam seketika. Tanpa sedar dia menyuruh Ratna membeli telekung tersebut. Benar digalakkan kita berbelanja apatah lagi untuk beribadat. Tetapi bukankah mendatangkan mudarat jika hanya kerana dengan sejumlah wang tersebut, anak-anak kelaparan atau untuk tujuan kecemasan dan sebagainya. Dewi terasa bersalah namun belum sempat membuka mulut, Ratna bersuara, “Boleh tahan juga mahal harganya. Tapi Mak teringin sangat nak pakai. Nantilah kena buat kira-kira dulu. Hujung bulan ni kena renew cukai jalan dan insurans kereta. Mesin basuh pun kena repair. Duit kutu pula belum sampai giliran lagi,” tuturnya perlahan dan Dewi mendengar setiap butir ayatnya. Sangka Ratna, Dewi sudah berlalu pergi dari meja kerjanya tetapi kelibat Emily yang terpacul membuka pintu seraya memanggil nama Dewi membuatkan Ratna terkejut. Wajahnya pula seakan menahan malu sambil terkejut. Dan Dewi berlalu pergi begitu sahaja.


Sehari semalam juga dia memikirkan insiden yang mungkin bagi orang lain tidak seberapa tetapi bagi Dewi mungkin dia sudah membuatkan Ratna terasa hati. Itulah sifat wanita yang sering berfikir. Daripada sekecil-kecil benda hinggalah masalah global hatta masalah orang lain pun dia akan tumpang fikir. Kebetulan Raden singgah di rumahnya petang hujung minggu lalu Dewi suarakan kekusutannya. “Kesian receptionist di pejabat aku Raden,” katanya sebagai pembuka mukadimah. “Kak Ratna ke,” soal Raden sekadar menunjukkan minat mahu mendengar. Sambil mengangguk hurai Dewi, “Aku rasa dia mesti terasa dengan aku. Sebab aku suruh dia beli telekung Siti Khadijah,” belum sempat dia menjelaskan cerita sengaja Raden mematikan hujahnya. “Baguslah kau suruh dia beli telekung. Boleh pakai solat. Mana tahu solat lebih khusyuk lepas ni,” bidas Raden acuh tak acuh. Sambil mengeluh, Dewi mengomel lagi, “Bukan… Kau tahu kan dia kerja receptionist, gaji pun taklah berkepuk-kepuk. Aku dengar Mak dia yang teringin nak sarung telekung tu. Tapi kata Ratna kena buat kira-kira sebab banyak duit yang perlu dia belanjakan. Rasa bersalah pula aku suruh dia beli,” ulas Dewi seolah menyesal. “Apa nak susah, kau beli sajalah untuk dia. Anggap macam hadiah yang selalu kau beri padanya. Senang, habis cerita. Tak perlu nak rumitkan masalah yang sebesar hama tu Dewi. Over sangat kau ni,” tutur Raden namun disambut dengan wajahnya yang masam mencuka. “Tapi dia mesti tak mahu kalau aku belikan,” jawab Dewi dengan segala macam teorinya. Raden pula malas mahu melayani kerenah Dewi lantas bingkas bangun ke dapur.


Kredit Foto: Google


Hinggalah pagi Isnin itu, Dewi hanya interkom meminta Ratna masuk ke biliknya untuk membawa sebungkus bihun goreng. Usai meletakkan bungkusan tersebut, Dewi menghulurkan sampul berisi sejumlah wang. “Eh, apa ni Puan? Beli bihun goreng aje, tak payahlah nak beri sampul pula. Tiga ringgit aje Puan,” tutur Ratna tidak memahami niat Dewi. “Ambil buat beli telekung untuk Mak di kampung. Tak baik tangguhkan hajat orang tua. Takut nanti menyesal tak sudah pula,” kata Dewi. Wajah Ratna berubah. Tergamam dan menahan malu semua menjadi satu. Dia tidak menyangka ngomelnya tatkala melayari laman web tersebut didengari Dewi. Ditolaknya sampul tersebut dengan perlahan. Kata Ratna, “Tak perlu Puan, terima kasih banyak. Saya dan suami tangguh repair mesin basuh dan perbelanjaan yang kurang penting bulan ini. Saya sudah beli telekung untuk Mak. Seronok bukan main lagi dia,” jawabnya bersungguh. Dewi sedia maklum, pasti Ratna enggan menerima wang tersebut. “Kalau begitu, ambil duit ni buat repair mesin atau belanja yang lain. Anggap aje aku sedekah Tina. Dah ambil ni, pergi ke meja kau. Nanti tiada orang nak bukakan pintu pula. Aku tak mahu tengok muka kau sejam dua ni. Tengah hari nanti baru nak menghadap muka kau,” ujar Dewi dengan gurauannya yang kasar. Selepas berdolak-dalih, Ratna terpaksa mengambil jua wang tersebut. Tidak henti-henti berterima kasih kepada Dewi.


Kredit Foto: Google

Rezeki setiap daripada kita sudahpun ditentukan Yang Esa. Tidak salah korbankan sedikit wang yang kita ada demi insan tersayang. Apatgah lagi jika ia kemahuan dan permintaan kedua ibu bapa. Senyuman dan kegembiraan mereka jauh lebih mahal nilainya berbanding dengan wang ringgit yang berkepuk-kepuk. Janji Allah, pasti ada kelapangan selepas kesulitan. Justeru itu, berpeganglah pada kata-kataNya. Berlapang dada, ikhtiar, usaha dan tawakal. Jika diizinkanNya pasti terbuka luas pintu rezeki buat kita. Renung-renungkan.