Highlights

Bercinta Biarlah BERPADA-PADA. Kalau Semua Dah Kongsi Dan Beri, Bagaimana Mahu Rasa Manisnya Alam Perkahwinan?

gempak
Huda Hussain
26/06/2020
11:30 MYT
Sponsor Banner
Bercinta Biarlah BERPADA-PADA. Kalau Semua Dah Kongsi Dan Beri, Bagaimana Mahu Rasa Manisnya Alam Perkahwinan?
Menjadi lumrah zaman kini si dara dan teruna berlagak bagaikan sudah berkahwin. Mana tidaknya, hampir semua rutin dan aktiviti harian dilakukan bersama. Daripada ‘dating’, menghantar makanan, pergi kerja dan banyak lagi semuanya bagaikan tiada batasnya. Kalau dahulu, mungkin ada segelintir daripada kita takut-takut sahaja mahu ‘dating’ kerana bimbang ada polis pencen yang akan sampaikan berita kepada ibu bapa kita. Namun kini, situasi itu mungkin jarang berlaku terutamanya bagi anak gadis dan teruna yang tinggal berjauhan daripada kedua ibu bapa.
Kredit Foto: Google
Mak Ayah Tak Nampak, Tapi Allah… Apa kata, sebelum terlintasnya niat mahu cuba-cuba duduk rapat atau punya keinginan yang meluap-luap mahu pegang tangan si dia; ingat Dia yang Maha Melihat dan Maha Mengetahui segalanya. Ya, mak ayah takkan mampu mengawal setiap gerak-geri kita lebih-lebih lagi apabila kita keluar. Tanamkan dan sematkan dalam ingatan ada kuasa besar lain yang memerhatikan kita.
Kita tidak mahu terus-terusan melihat sumbang mahram dan maksiat kian berleluasa hinggakan yang biasa sudah dianggap lumrah dan diterima setiap yang memandang. Mula-mula berpegangan tangan, kemudian berlanjutan hingga satu persatu susuk tubuh itu bagaikan sudah halal menjadi tatapan dan sentuhan si kekasih hati. Maruah kita terlalu tinggi nilainya. Bukan sewenang-wenang boleh disentuh selagi belum sah dan halal disisi agama.
Kredit Foto: Google
Tak Semestinya Yang Biasa Itu Dibenarkan Dan Diterima Baik Semua
Bagi segelintir pasangan bercinta pasti beranggapan, ‘Alah, pegang tangan aje kot. Bukannya apapun’. Ya, memang tiada apa-apa. Tetapi takkanlah pula mahu tunggu ada apa-apa didalam perut si dia baru nak menggelabah, lari daripada tanggungjawab yang sebenar?
Percayalah, jika semua sudah ditunjukkan sebagai bukti cinta sejati kononnya rumahtangga kalian tidak terjamin hala tujunya. Hinggakan pada pandangan penulis, seakan hilang sudah magisnya apabila melangkah ke alam rumahtangga. Seolah-olah semakin pudar ‘spark’ yang menyemarakkan rasa cinta sebenar. Bukan itu sahaja, apabila berada dikhalayak ramai atau berada di tempat awam, tindak-tanduk dan perilaku pasangan yang bercinta ini mengalahkan belangkas! Tiada lagi rasa malu sambil berjalan berpegangan tangan dengan erat hinggakan serasanya enggan mahu melepaskan jari-jemari kekasih hati.
Tidak kurang juga yang tanpa segan silu merangkul kemas pinggang si dia, duduk serapat yang boleh… Alahai, sakit mata pula kita yang melihatnya. Lantas terfikir, “Sedihnya kalau mak ayah tahu anak-anak macam ni”. Namun soalnya, semua itu tiada dalam benak fikiran mereka dek kerana dibuai alam indah sepanjang bercinta. Dan tidak semua hubungan percintaan itu termetrai dengan lafaz ijab dan kabul. Ada yang terkandas di pertengahan jalan. Kerana bukan mudah membentuk persefahaman antara dua jiwa yang berlainan minat, sifat dan perangai.
Kredit Foto: Google
Bina Benteng Dan Perisai Diri
Waima siapapun anda, sama ada bergelar ustaz ustazah, guru, doktor, pensyarah dan pelbagai profesyen soal agama tetap perlu dijadikan perisai. Yang bukan sahaja berupaya membezakan baik buruk, halal haram tetapi merangkumi segalanya. Kembalilah kepada ajaran agama. Ingatlah, dalam setiap perlakuan kita; sama ada baik atau buruk ada yang mencatatnya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: ‘Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat. Dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat. Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.’ (Surah An Nur, ayat 26)
Walaupun ayat ini bukanlah satu janji tetapi ia adalah peringatan daripada Allah. Bahawasanya setiap daripada kita melakukan kesalahan dan semua berhak untuk berubah malah juga berhak mendapat yang terbaik. Sentiasalah berusaha untuk memperbaiki dan memperbetulkan kekhilafan diri. Selagi punya masa, rebutlah dan manfaatkan ia. Belum terlambat untuk bertaubat kerana pengakhiran hidup kita yang akan menentukan baik buruk atau siapa sebenarnya diri kita. Semoga bermanfaat.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live