gaya hidup
BERCUTI Ikut Kemampuan. Nak Seronok, Tak Semestinya Tidur Hotel Lima Bintang. Yang Penting Tak FAKE.
Sejak-sejak kerajaan membenarkan aktiviti merentas negeri, ramai antara kita mengambil kesempatan untuk pergi bercuti ke sana sini. Melepaskan ‘geram’ dan dengan alasan untuk menenangkan minda. Tiada salahnya. Ini juga untuk menggerak dan merancakkan kembali sektor pelancongan sekaligus meningkatkan ekonomi negara.
Selagi kita mampu patuh dengan SOP yang telah disarankan untuk menghindari virus Corona, selagi itulah kalian bebas untuk menikmati aktiviti pelancongan di negara sendiri. Namun, dalam keadaan pandemik sekarang ini, dimaklumkan bahawa situasi ekonomi kita juga masih belum diketahui sinarnya.
Banyak sektor perniagaan mulai suram, syarikat mula gulung tikar dan peluang pekerjaan tertutup rapat. Bebanan kewangan semakin bertimpa-timpa, aliran tunai keluar deras, sedangkan simpanan terus susut. Jangankan simpanan kecemasan, wang kegunaan harian pun sudah tidak mencukupi.
Kredit Foto: Google
Melancong bukanlah satu keperluan hakiki. Malah, ia dilihat agak tidak relevan untuk keadaan sekarang ini. Apatah lagi bagi mereka yang punya ekonomi keluarga yang tidak stabil. Ya, rezeki ada di mana-mana. Namun, sangat penting untuk sediakan payung sebelum hujan agar kamu tidak hilang punca apabila hilang punca pendapatan.
Berjimat dan berbelanja secara berhemat adalah kata kunci dalam keadaan pandemik sekarang ini. Okey, memang kehendak hati ada kala tidak mampu ditahan-tahan. Apa lagi melihat teman-teman di media sosial sakan bercuti ke sana sini. Teringin juga menikmati dingin cuaca di Cameron Highland atau bermain air di Pulau Langkawi.
Kredit Foto: Google
Bercuti Ikut Bajet Sendiri Bukan Sebab Media Sosial
Tidak perlu memasang niat bercuti untuk menunjuk-nunjuk atau berlawan-lawan dengan sesiapa. Kalau kawan itu tayang tidur di vila tujuh bintang atau suite hotel ternama, janganlah mudah terpengaruh. Belek balik akaun simpanan dan cuba seluk poket sendiri. Kalau hanya hotel satu bintang mampu dibayar, silalah.
Bukan taraf bintang dan kemewahan menjadi titik faktor kegembiraan ketika pergi bercuti tetapi apa manfaat yang dibawa pulang setelah bercuti itu? Dengan siapa kegembiraan itu diraikan? Dan apa perasaan kalian setelah puas menghabiskan masa bersama. Kualiti masa itu yang penting, di samping bersama insan tersayang.
Jadi, tidak perlu fikirkan apa orang kata atau terlalu ‘plan’ untuk menayang di media sosial. Kalian hanya perlu ‘enjoy’ setiap momen yang ingin dicipta mengikut kemampuan bajet yang ada. Paling penting, apabila balik dari bercuti nanti tidak membawa pulang beban keputusan wang tunai sehingga terpaksa bergolok-gadai.
Must-Watch Video