Highlights
Berdamping Dengan Al-Quran Tidak Terhad Sepanjang Ramadan Sahaja. Kekal Istiqamah Selagi Kita Bernyawa.
Peristiwa Nuzul al-Quran berlaku pada malam Jumaat 17 Ramadan di Gua Hira' iaitu tahun ke-41 daripada keputeraan Nabi Muhammad S.A.W melalui perantaraan malaikat Jibril. Hal ini ditegaskan melalui firman Allah yang bermaksud:
"Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.” – (Surah Al Baqarah ayat 185)
Kredit Foto: Google
Al-Quran diturunkan Allah pada 17 Ramadan yang disebut Malam Qadar. Diturunkan Al-Quran dari Luh Mahfuz ke Baitul Izzah di langit dunia sekali gus (30 juzuk) dan secara beransur-ansur mengikut situasi dan keperluan kepada Nabi S.A.W.
Fakta Mengenai Al-Quran
1. Wahyu pertama diturunkan pada bulan Ramadan.
2. 25 Nabi dan Rasul disebut dalam Al-Quran.
3. Kandungan Al-Quran diturunkan 13 tahun di Mekah dan 10 tahun di Madinah.
4. Al-Quran adalah kitab yang terpelihara hingga hari Akhirat.
5. Al- Quran mempunyai 6,236 ayat terdiri daripada 114 surah dan 30 juzuk.
6. Surah Al-Baqarah adalah surah terpanjang dalam Al-Quran manakala surah Al-Kauthar adalah surah terpendek.
7. Sesiapa yang membaca satu huruf daripada Al-Quran mendapat 10 pahala.
Kredit Foto: Google
Firman Allah yang bermaksud; "Sesungguhnya Kami (Allah) telah menurunkan Al-Quran pada Malam Qadar" - Malam Qadar dikurniakan Allah pada setiap datangnya bulan Ramadan. Kelebihan dan kemuliaannya adalah lebih baik dari 1,000 bulan. Ini dinyatakan oleh Allah dalam Al-Quran: "Malam Qadar itu adalah lebih baik dari seribu bulan."
Sesungguhnya kita sebagai umat Nabi Muhammad S.A.W cukup beruntung apabila Rasul junjungan kita dikurniakan wahyu yang paling besar amanatnya, yakni Al-Quran. Malah beberapa hadis sahih ada menyebut yang bermaksud, “Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, kamu tidak akan tersesat selamanya selama kamu berpegang dengan kedua-duanya, iaitu kitab Allah (Al Quran) dan Sunahku.” (Hadis Riwayat Al-Hakim)
Inilah dua wasiat paling berharga yang ditinggal Nabi Muhammad S.A.W kepada seluruh umatnya. Yang bukannya Al-Quran itu sekadar menjadi barang hantaran ketika majlis pernikahan, atau bukan pula menjadi item hiasan yang disimpan di tempat tinggi di dalam almari berkaca. Seharusnya ia perlu dibaca, difahami dan diamalkan isi kandungnya buat pedoman dalam meniti kehidupan seharian.
Kredit Foto: Google
Telah lengkap penciptaan kalam suci ayat-ayat cinta daripada Allah ini. Semuanya ada. Hinggakan ada yang berkata Al-Quran ini relevan sepanjang masa, sepanjang zaman. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas. Dikatakan Al-Quran itu umpama ibu dalam segala hal. Dan jika difahami maksud ibu itu sendiri, tafsiran lain bagi definisi ibu bererti induk, inti atau pokok.
Begitulah juga sifatnya bagi Al-Quran. Menjadi inti dan induk dalam menghidupkan jiwa kita. Lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan, sememangnya digalakkan untuk kita bertadarus, mengaji, tadabbur setiap isi kandung Al-Quran. Mengapa? Untuk dijadikan panduan, ikutan, pegangan, sumber rujukan dan banyak lagi fungsi kalam suci ini dalam hidup kita.
Kredit Foto: Facebook
Masih ingatkah anda dengan berita pemergian seorang guru Al-Quran di sebuah wilayah di Turki, Allahyarham Sheikh Hajji Ali Seflek? Beliau telah 'melahirkan' ribuan penghafal Al-Quran dan terus berkhidmat dengan Al-Quran walaupun sudah berusia hampir 100 tahun. Dan hari itu, ketika sedang membaca Al-Quran, beliau telah menghembuskan nafas yang terakhir. Allahu... Semua mencemburui cara pemergiannya. Justeru, belum terlambat untuk kita berdamping dengan Al-Quran kerana terlalu banyak kebaikannya untuk diri kita.
"Bacalah Al-Quran kerana pada hari Akhirat kelak ia akan datang memberikan syafaat kepada pembacanya." Hadis Riwayat Muslim.
Must-Watch Video