Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Highlights

Berhari-hari Duduk Rumah – Barulah Faham Penatnya Jadi Suri Rumah. Susah Payah Mereka, Hargailah

Huda Hussain 22/03/2020 | 15:14 MYT
Saya percaya rutin harian kaum ibu semuanya hampir sama setiap hari kini. Seawal pagi hinggalah malam penuh dengan pelbagai aktiviti. Daripada memasak, membasuh pakaian, mengemas rumah, uruskan anak-anak dan banyak lagi semua itu dilakukan oleh isteri. Masakan tidak, sejak 18 Mac lalu hingga hari ini sudah lima hari kita diarahkan untuk duduk diam-diam di rumah. Dan pastinya tugas ibu takkan berhenti kecuali ketika waktu tidur atau beristirehat seketika. Itu pun belum tentu. Kejap-kejap si anak mencari. Nak itu ini. Belum dikira lagi tatkala anak-anak mula bergaduh, berebut permainan, tumpahkan makanan, lumur tepung bagaikan menyapu bedak pada badan dan lain-lain. Boleh naik pening kepala dibuatnya.
Dan tanpa kita sedari, mungkin inilah realiti yang dialami oleh wanita lain yang bergelar suri rumah selama ini.
Kredit Foto: Google
Lantaran itu cuba kita perbetulkan kembali stigma yang dulunya ramai beranggapan, ‘Alah, suri rumah senang aje. Tak susah manapun. Duduk rumah, buat kerja saja’ Nah, bagaimana rasanya duduk diam-diam di rumah selama beberapa hari ini? Malah disebalik apa yang berlaku, barulah kita faham apabila suri rumah dapat peluang keluar ke kedai sekejap pun, perasaannya seronok macam nak sambut hari raya! Oleh itu, dalam mendepani hari-hari mendatang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini, suami perlu memainkan peranan. Membantu mana yang perlu supaya isteri tidak terbeban dan tertekan.
Apa Suami Perlu Lakukan?
Bantu isteri melakukan tugas mudah misalnya menyidai atau melipat pakaian, membasuh pinggan mangkuk atau tugasan ringan yang lain seperti melayan anak-anak tatkala isteri sibuk memasak. Tidaklah isteri terbeban ketika mendengar tangisan anak yang bagaikan dipukul dek kerana bergaduh atau berbebut alat mainan sesama sendiri. Paling penting, jangan tahu pesan saja dari ruang tamu. “Yang, tolong buatkan I kopi dalgona yang viral tu!”. Tolong fahami situasi isteri yang selama ini menguruskan segalanya untuk keperluan seisi rumah. Terkejar-kejar masa, ke hulu-hilir, sekejap ke depan sekejap ke dapur. Maka tidak hairanlah saat isteri meletakkan kepala dibantal, tak sampai satu saat sudah boleh mimpi! Sebab apa? Isteri kepenatan melakukan kerja-kerja rumah yang sememangnya takkan pernah habis walau virus Covid-19 sudah menamatkan riwayat hidupnya.
Kredit Foto: Google
Anak-Anak Pula?
Bagaikan sudah menjadi satu zikir yang meniti dibibir para ibu. Hinggakan ada yang terpaksa melontarkan vokal padu dari dapur dan berjeda leterannya. “Kemas, sepah, bergaduh, berebut, makan, tidur… Itu aje kerja kamu kan!” Haa… Baik mengaku kalau para ibu pernah berhadapan dengan situasi ini. Atau tidakpun “Mama kira sampai tiga, kalau tak mandi juga siap! Satu…Dua…Ti…” ya saya juga tidak ketinggalan berbuat perkara sama. Kerana bagaikan sudah kentandusan idea bagaimana lagi caranya mahu tangani kerenah dan ragam anak yang 1001 macam. Hinggakan hari ini tular di media sosial pintu peti sejuk roboh dek kerana dibuka tutup berpuluh kali saban hari. Memang macam-macam perangai dan kelaku anak-anak kita yang sememangnya menguji kesabaran dan iman didada. Dan agaknya beginilah juga rintihan mak-mak kita ketika membesarkan kita dahulu. Kini tibalah giliran kita merasainya.
Kredit Foto: Google
Solusinya?
  1. Sabar dan Ikhtiar
Baik suami mahupun isteri, kedua-duanya perlu memainkan peranan secara proaktif dan agresif. Perlu diingat anak-anak kita belajar berdasarkan apa yang dilihatnya di rumah. Jika si ayah hanya duduk di ruang tamu, mengadap telefon dan menonton televisyen maka cara itulah juga yang dia faham dan cakna apabila dia membesar hingga dewasa. Berbeza pula jika si ayah turut sama membantu di dapur, tolong mana yang patut. Dan ketika anak-anak melihat, secara tidak langsung dia akan terikut dan terdorong untuk melakukan perkara yang sama. Kerana apa? Sudah terdidik sejak kecil dan terbiasa melihat situasi itu di dalam rumah.
  1. Tetapkan Peraturan Kepada Anak
Tetapkan denda atau hukuman ringan yang sesuai dengan peringkat umur anak-anak jika mereka melakukan kesilapan. Bukan apa, ini juga membantu meringankan beban kerja anda saban hari. Tetapkan peraturan mudah misalnya mengemas permainan selepas bermain, menyidai tuala selepas mandi, tutup suis lampu bilik atau bilik air dan lain-lain. Cubalah, pasti berkesan.
Kredit Foto: Google
  1. Konsistensi Dan Kerjasama Suami Isteri
Jangan pula kita hanya beria-ia sehari dua saja untuk bantu isteri. Selepas itu semua terpikul dibahu isteri. Sewajarnya baik suami atau isteri sama-sama berganding bahu bagi memastikan urusan rumahtangga dilakukan sebaik mungkin. Jika isteri terlupa, suami yang ingatkan. Jika isteri penat dan letih, suami bantu untuk ambil alih. Jika isteri mula rasa tertekan, suami beri galakan, sokongan dan jadilah pendengar yang setia. Kerana sememangnya lumrah suami isteri itu saling melengkapi antara satu sama lain. Tiada yang menang atau kalah. Hargai penat lelah isteri dengan memberi penghargaan. Tak perlu hadiah atau wang ringgit. Ucapan terima kasih pun sudah memadai. Percayalah, pasti tenang dan isteri berlapang dada mendengarnya. Selamat mencuba!
#Keluarga #Suri Rumah #Keibubapaan
;