Highlights
Berkongsi Rezeki – Air Mata Dato Rizalman Gugur di Rumah Titian Nur, Mengenang Nasib Para Penghuninya
Pereka fesyen tersohor, Dato Rizalman Ibrahim hari ini membuat kejutan istimewa apabila mengunjungi Rumah Titian Nur, sebuah rumah kebajikan yang menempatkan golongan kelainan upaya dan warga emas yang kurang bernasib baik. Hampir separuh hari diluangkan bersama penghuni rumah tersebut.
Selain meluangkan masa bertanya khabar dan merungkai kisah beberapa penghuni, antara aktiviti yang memenuhi agenda adalah jamuan makan, sumbangan makanan, dana dan barang keperluan penghuni Rumah Titian Nur juga khidmat memotong rambut secara percuma yang diberikan oleh pemandu peribadi Dato’ Rizalman.
Ya, sekurang-kurangnya ia berupaya mengurangkan beban selain menggembirakan mereka. Walau seketika namun pastinya berbekas di hati semua.
Kredit Foto: IG Rizalman71
Hasil tinjauan menerusi IG story miliknya, sebanyak RM40,000.00 diperlukan saban bulan bagi menampung perbelanjaan rumah kebajikan tersebut yang dihuni seramai 75 orang dan diusahakan oleh Puan Norma. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Mungkin itulah bidalan yang selayaknya digambarkan buat Puan Norma.
Selain memperoleh dana dan sumbangan penderma, pastinya kunjungan rombongan Dato’ Rizalman menitipkan pengajaran buat kita semua.
Kredit Foto: IG Rizalman71
Betapa setiap daripada kita punya kisah dan percaturan hidup yang berbeza juga rezeki yang tidak sama. Bagaimana seorang ibu tua meminta pertolongan Dato’ Rizalman agar menguar-uarkan anaknya supaya menjemputnya dari rumah ini membuatkan pengikut Instagram Dato’ Rizalman turut berduka. Tidak pernah menyalahkan takdir, sebaliknya apa yang terjadi harus dijadikan iktibar dan pengajaran buat bekalan hidup di hari muka.
Kredit Foto: IG Rizalman71
Semoga perkongsian Dato’ Rizalman bersama semua entiti yang turut bekerjasama dalam meraikan sumbangan hari ini memperoleh keberkatan daripada-Nya. Syabas Dato’! Juga buat InTrenders yang ingin salurkan sumbangan boleh melakukan menerusi butiran berikut.
Kredit Foto: IG Rizalman71