Highlights

“Bersenam di Gimnasium Macam DADAH, Saya Rasa KETAGIH Dan Kalau Boleh Nak Ke Sana Tiap-Tiap Hari” – Rahsia Saharul Ridzwan Kekal Fit

gempak
Huda Hussain
02/02/2020
15:55 MYT
Sponsor Banner
“Bersenam di Gimnasium Macam DADAH, Saya Rasa KETAGIH Dan Kalau Boleh Nak Ke Sana Tiap-Tiap Hari” – Rahsia Saharul Ridzwan Kekal Fit
Bertubuh sasa memberi keyakinan tersendiri kepada Saharul Ridzwan. Dia yang terlalu obses dengan senaman menyifatkan ia bagaikan satu ketagihan yang terus menggerakkannya untuk tampil dengan amalan gaya hidup sihat. InTrend mengimbau kembali perkongsian Saharul Ridzwan mengenai pemakanan, senaman dan gaya hidup sihat menerusi naskhah cetak edisi Januari 2016.
Kredit Foto: IG Saharul Ridzwan
Tafsiran ‘abang sado’ pada kaca mata anda? ‘Abang sado’ adalah lelaki yang pergi ke gimnasium dan mempunyai badan besar yang berotot.
Sejak bila anda mula prihatin mengenai isu penjagaan tubuh? Sejak kecil, saya sering dikutuk dan dipulaukan kerana berbadan gempal. Apabila tamat persekolahan, baru saya terfikir untuk ke gimnasium. Selain itu sewaktu saya masih tinggal di Seremban, tidak banyak perkara yang boleh dilakukan di situ untuk mengisi masa lapang. Jadi gimnasium adalah pilihan saya. Bersenam di gimnasium ibarat dadah, saya rasa ketagih dan jika boleh mahu ke sana setiap hari.
Bertubuh sasa atau dengan imej’ ‘abang sado’ itu seksi. Komen anda? Bertubuh sasa mungkin melambangkan lelaki yang maskulin, tetapi ramai yang menyalah tafsir dan menganggap mereka hanya ingin menunjukkan susuk tubuh badan. Dan jangan terkejut, terdapat juga sesetengah lelaki mungkin berbadan ‘sado’ tetapi mereka sebenarnya tidak fit. Bagi saya bersenam terbahagi kepada tiga kategori iaitu work out biasa, cross-fit dan body builder. Saya tergolong dalam kategori cross-fit kerana ia lebih menyihatkan tubuh dan pendekatannya menyeluruh. Saya menjadikan Nick Auger sebagai idola saya.
Kredit Foto: IG Saharul Ridzwan
Adakah imej seperti ini memberi keyakinan dan kepuasan kepada diri? Ya, sudah tentunya. Ia lebih menjurus kepada aspek memberi keyakinan dalam diri kerana saya adalah salah seorang public figure. Disebabkan itu saya harus menjaga penampilan di mana jua saya berada.
Bagaimana pula dengan rutin senaman dan pemakanan anda, kongsikan? Saya kurangkan makan makanan yang berminyak, gula dan nasi. Selain itu saya hanya akan makan nasi sekali seminggu sahaja. Saya akan menggantikan nasi dengan sumber karbohidrat lain seperti mee atau spageti. Untuk senaman pula, disebabkan jadual yang padat, saya tidak mempunyai rutin yang tetap. Tetapi setiap pagi, saya akan amalkan sit ups dan push ups.
Pengambilan supplemen adakah ia membantu mendapatkan susuk tubuh seperti kini? Ya, supplemen amat penting. Saya mengambil pembakar lemak (fat burner), protein dan vitamin. Harus diingat, supplemen adalah perkara yang berbeza dengan steroid. Untuk membentuk otot, pengambilan protein yang secukupnya amat penting. Disebabkan itu, saya mengamalkan susu protein. Satu camca protein bersamaan dengan 10 biji telur. Tetapi saya tidak mengamalkannya setiap hari, hanya apabila saya pergi ke gimnasium sahaja.
Kredit Foto: IG Saharul Ridzwan
Kongsikan pula apakah cabaran atau halangan yang terpaksa di lalui untuk mendapatkan berat badan ideal atau tubuh sasa seperti hari ini? Bagi saya, cabarannya adalah kekangan masa. Kebiasaannya apabila ke gimnasium, saya sudah tetapkan target tersendiri. Misalnya, sebagai persediaan untuk drama Kau Aku Kita, saya akan ke gimnasium untuk mendapatkan bentuk tubuh berdasarkan apa yang saya sasarkan.
Pernah ‘cheat diet’ atau skip daripada amalan pemakanan yang sihat atau senaman mungkin? Hahaha…sudah tentu! Seperti yang saya nyatakan tadi, saya akan makan nasi sekali seminggu. Jadi pada hari tersebut saya akan makan pelbagai jenis makanan dengan kuantiti yang banyak. Tetapi, saya telah menetapkan syarat kepada diri sendiri untuk membakar semua lemak dan kalori dalam tempoh seminggu sehinggalah ‘cheat day’ yang seterusnya.
Apakah perkara paling ekstrim yang pernah anda lakukan semata-mata untuk mendapatkan bentuk badan seperti sekarang? Saya pernah ‘berpuasa’ daripada memakan nasi selama tiga hingga empat bulan! Pada masa yang sama juga, saya kurangkan pengambilan gula dan minyak dalam diet. Secara jujurnya, kekurangan gula dalam diet telah memberi impak yang besar kepada emosi. Emosi saya pada ketika itu tidak stabil dan asyik rasa nak marah sahaja walaupun perkara itu tidaklah sebesar manapun. Sebab itu pentingnya supplemen dalam diet kerana ia berfungsi untuk menggantikan gula.
Kredit Foto: IG Saharul Ridzwan
Jika mahukan sesuatu yang memberi ketenangan, apakah yang anda lakukan? Pasti ramai yang akan terkejut dan mengatakan saya ini ‘abang sado’ yang dalam hati ada taman (ketawa). Bagi saya, terapi yang mampu memberi ketenangan kepada diri adalah bercakap dengan kucing saya, T-Rex. Saya suka bermain dengannya di rumah. Seolah-olah segala kekusutan atau perkara yang membuatkan fikiran saya serabut, akan hilang begitu sahaja setiap kali melayani karenahnya.
Bahagian tubuh yang paling anda gemari adalah… Kaki. Bagi seorang lelaki, kaki adalah bahagian badan yang paling sukar semasa bersenam kerana kesakitan otot di bahagian ini berpanjangan berbanding bahagian yang lain. Sehingga kini, saya masih belum mencapai misi saya untuk membesarkan otot kaki saya.
Pandangan keluarga atau rakan-rakan; adakah mereka menyokong anda untuk tampil dengan susuk tubuh sebegini atau bagaimana? Dulu sewaktu berbadan gempal, ramai yang menasihati saya untuk menguruskan badan. Apabila saya berjaya menguruskan badan dan bersenam sehingga ke satu tahap badan saya menyerupai ahli bina badan, mak saya menasihati saya agar tidak keterlaluan. Katanya, saya kelihatan seolah-olah hendak bertanding dalam pertandingan bina badan. Kesimpulannya, kita harus tahu mencari keseimbangan badan dan perlu tahu saiz badan yang sesuai dengan ketinggian kita.
Kredit Foto: IG Saharul Ridzwan
Sejauh mana anda obses dengan aktiviti kecergasan, senaman dan sebagainya? Saya obses 100%! Tetapi obsesi saya bukanlah untuk membina badan tetapi lebih kepada menjaga kesihatan diri. Sebab itu saya menyokong senaman ‘cross fit’. Ia menyihatkan tubuh badan saya secara menyeluruh. Malah dalam masa sama, saya berupaya melakukan pelbagai aktiviti seperti berlari dan angkat berat selain berpenampilan tubuh yang menarik atau ‘lean’.
Senaman ringkas yang boleh dilakukan di rumah atau pejabat? Jika di rumah, saya rajin melakukan ‘sit-ups’ dan ‘push-ups’. Jika di luar seperti di set penggambaran atau sebagainya, saya gemar melakukan ‘pull-ups’ menggunakan ‘bar’.
Sejauh mana cabaran yang perlu dilalui, daripada skinny ke muscular atau daripada gempal ke kurus? Dahulu saya berbadan gempal. Pada awalnya saya akui, ia amat mencabar untuk memotivasikan diri ke gimnasium kerana saya selalu memikirkan kesakitan yang terpaksa ditanggung apabila pulang dari gimnasium. Tetapi lama-kelamaan saya mulai faham keperluan badan dan mula ‘enjoy’ setiap kali ke gimnasium. Jika tidak pergi ke gimnasium walau sehari, saya akan rasa serba tidak kena kerana pergi ke gimnasium adalah sebahagian daripada rutin harian.
Kredit Foto: IG Saharul Ridzwan
Apakah koleksi/simpanan anda sekarang yang sports related? (running shoes, shoes for weight lifting, aksesori)? Jujurnya saya tidak mempunyai apa-apa koleksi. Saya hanya mempunyai beberapa pasang kasut kerana bagi saya cukuplah sekadar apa yang ada. Fokus untuk bersenam lebih penting. Saya tidak minat mengumpul barangan kerana saya lebih tumpukan kepada niat dan matlamat yang ingin dicapai sewaktu ke gimnasium.
Mengapa perlu InTrenders mula menitikberatkan soal penjagaan badan dan kesihatan? Sebagai rakyat Malaysia, kita dikelilingi dengan pelbagai pilihan makanan yang tidak sihat. Selain itu, terdapat pelbagai bahan kimia dalam sesetengah makanan kita yang berbahaya dan boleh merosakkan badan. Disebabkan itu, kita harus bersenam demi menjaga kesihatan. Bersenam adalah salah satu cara untuk detoks badan setelah menikmati pelbagai jenis hidangan yang kurang menyihatkan. Perlu diingat, bersenam tidak semestinya perlu ke gimnasium, sebaliknya terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan untuk kekal sihat seperti jogging dan sebagainya. Ramai yang berpendapat, pergi ke gimnasium semata-mata untuk mendapatkan badan yang ‘sado’ dan hanya menjaga aspek luaran sahaja tetapi bukan dalaman. Kita perlu menjaga kedua-dua aspek kesihatan iaitu dalaman dan luaran. Tambahan lagi, kita harus cari keseimbangan dalam pemakanan dan jangan merokok atau ‘vape’ demi gaya hidup yang sihat.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live