Highlights
Bertandang Ke Rumah Orang; Jagalah Adab, Jaga Kata-Kata, Jaga Mata – Selera dan Pendapat Kita Tak Sama.
Tidak semua suka menjemput tetamu ke rumah atas pelbagai alasan terutamanya yang berkaitan ‘privacy’ atau malas mahu melayan. Jadi, apabila diberi peluang dan ruang menjadi tetamu kepada sesebuah rumah itu, jadilah tetamu yang berhemah dan jagalah adab. Jangan kerana kita berasakan kita ini tetamu, kita bebas menggunakan tiket itu untuk ‘bermaharajalela’ di rumah orang.
Kredit Foto: Google
10 Perkara Tetamu Jaga Adab di Rumah Orang
- Jangan berkata menyakitkan hati tuan rumah seperti menyindir itu dan ini atau mengungkit perkara yang kita tahu tuan rumah itu tidak suka mendengarinya. Juga elakkan bergurau yang keterlaluan.
- Elakkan banyak bertanya tentang hal dan perkakas di rumahnya seperti berapa harga sofa? Di mana beli langsir? Berapa lama pakai televisyen? Dan sebagainya, yang buat tuan rumah tidak selesa untuk menjelaskannya.
- Makan dan minum saja apa yang dihidangkan oleh tuan rumah. Satu perkara penting, tolonglah jangan suka komen makan itu kurang garam, makanan ini tidak enak. Jangan menyinggung hati tuan rumah yang sudah berpenat lelah menyediakan juadah.
- Jaga pandangan mata. Ada tetamu walaupun mulut tidak bercakap tapi mata liar memerhati keliling rumah. Mungkin ada tuan rumah yang perasaan dek pandangan mata kita yang tajam merenung dengan hati berkata sesuatu.
- Tidak perlu memberi sebarang idea atau pendapat jika tidak diminta oleh tuan rumah. Ada tetamu yang suka memandai-mandai komen kalau sofa ini diubah kedudukan di situ lebih elok. Atau, kalau dapur ini dibesarkan lebih selesa. Tidak perlu jika tidak diminta.
- Jagalah harta-benda di rumah itu sebaiknya, seperti menjaga harta kita sendiri. Usah guna sesuatu barang tuan rumah tanpa meminta izin terlebih dahulu. Didik juga anak-anak untuk menjaga kelakuan dan adab ketika di rumah orang.
- Semalas mana pun kita ini, apabila berada di rumah orang, rajin-rajinkanlah sedikit diri itu. Jangan jadikan diri seperti raja pula sehingga tuan rumah jadi meluat. Kalau setakat angkat pinggan sendiri ke dapur apa salahnya.
- Jangan banding-bandingkan rumah orang itu dengan rumah kita. Citarasa setiap orang berbeza begitu juga jangan menilai seseorang itu dengan hanya melihat fizikal rumahnya. Itu tidak betul.
- Mulakan dengan ucapan salam ketika memasuki rumah tuan rumah dan akhiri juga dengan salam dan terima kasih. Senyum sahaja walau layanan mereka tidak seperti yang diharapkan.
- Orang dulu selalu pesan, kalau ke rumah orang jangan bertangan kosong. Itu adab dan adat yang baik untuk diteruskan. Apa salahnya jika berkemampuan, bawalah sedikit ole-ole kepada tuan rumah seperti buah atau duit salam untuk anak-anaknya sebagai sedekah.
Kredit Foto: Google
Must-Watch Video