Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Bertanyakan HIBAH Kepada Suami Bukanlah Satu DOSA – Ramai Isteri Takut Dikatakan ‘Gila Harta’.

Penulis Jemputan
08/01/2021 02:09 MYT
Teks: Nor Hatina Shuib

Perlu diketahui hibah dari segi bahasa bermaksud pemberian sama ada dalam bentuk benda seperti hadiah dan sedekah.

Di sisi syarak, hibah bermaksud suatu kontrak yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain ketika hidup, tanpa mengharapkan sebarang balasan ataupun gantian.


Hukum hibah sunat dan sangat digalakkan dalam Islam sebagaimana firman Allah SWT yang bermaksud: “Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya.” (Surah al-Nisa’ ayat 4).


Sejak kebelakangan ini, isu hibah mula dicernakan mereka yang pakar dalam bidang ini menerusi perkongsian pendangan di media sosial.


Ia berikutan ramai wanita mula tertanya-tanya apakah itu hibah dan manfaatkan kepada isteri selain menganggap ia sebagai satu ilmu baharu yang perlu diambil peduli.


Malah, kes- kes membabitkan selebriti terkenal tidak terkecuali memupuk kesedaran dan menjadi teladan kepada wanita terutama suri rumah untuk menyuarakan kepentingan hibah kepada suami.

Kredit foto: Google



Elak Pendam Rasa, Luah Saja Kepada Suami

Namun, ramai yang memilih untuk memendam rasa. Takut dikatakan tamak harta dunia, bimbang keluarga mentua terhiris perasaan dan ada juga mengambil ringan isu ini kerana tidak mahu fikir yang bukan-bukan.


Walaupun tidak semua mentua bertindak kejam terhadap balu dan waris, malah ada yang berlapang dada menyara waris anak sehingga dewasa, namun tidak ada ruginya kita merancang kewangan keluarga sebagai persediaan menangani sebarang kemungkinan.


Soal harta janganlah terlalu dipandang ringan. Banyak kes dipaparkan di dada akhbar, laman sosial mahupun perkongsian pengalaman sebenar harta direbut pihak mentua setelah kehilangan suami menjadi penanda aras, perebutan harta antara punca robohnya institusi kekeluargaan di negara ini.


Mana tidaknya, masing-masing mahu hak mereka dipenuhi. Hak isteri dan hak seorang ibu ataupun hak adik beradik si mati.


Pertikaian harta ini pula akan menyebabkan gangguan emosi dan memberi kesan kepada kewangan isteri yang hilang tempat berteduh apabila ia dibawa ke peringkat mahkamah.


Perlu masa yang lebih lama untuk diselesaikan.


Jadi kembalilah kepada pepatah, sediakan payung sebelum hujan. Bicara dan luahan anda pastinya didengari untuk berfikiran terbuka dalam pengurusan harta selepas kematian.


Jangan malu atau segan untuk berbicara soal ini kerana yang menanti di kemudian hari lebih menyeksa diri.


Jika tidak berkesempatan hari ini, mungkin esok lusa ada rezeki untuk menambah pakej hibah dalam komitmen bulanan anda sekeluarga asalkan anda sudah sama-sama berkongsi kepentingan hibah.


Suami adalah rakan tidur sebantal, teman gaduh dan merangkap insan yang paling dekat dengan kita saat ijab kabul termeterai.


Apa kata anda senaraikan isu ini sebagai salah satu antara topik ‘pillow talk’ bersama pasangan.

Kredit foto: Google



Bukan Ramal Masa Depan, Tapi Ambil Langkah Proaktif

Kisah rakan terdekat yang ditindas keluarga mentua dengan statusnya sebagai suri rumah, benar-benar menjentik hati penulis untuk mengutarakan isu hibah kepada suami.


Bukan pandai-pandai mahu meramalkan masa depan atau mendoakan yang bukan-bukan terjadi pada keluarga, tetapi pendidikan hibah penting untuk disalurkan dalam minda kita dan pasangan.


Walaupun suami masih belum mengambil hibah disebabkan komitmen bulanan yang tinggi, penulis rasa puas hati kerana suara hati didengar suami dengan baik.


Jadi kepada wanita diluar sana, sama ada masih bekerja atau suri rumah, suarakan hak anda atau keterbukaan membicarakan soal hibah di hadapan suami.

Bagaimanapun, ada juga yang ragu-ragu untuk mengambil hibah dan lebih selesa harta peninggalan menggunakan hukum faraid atas alasan mahu semua waris mendapat harta secara adil dan ada juga risau akan melukakan hati waris sekiranya berhasrat untuk hibah.


Semua itu adalah pilihan masing-masing.


Apa Kata Pasangna Berkenaan Isu Hibah?

Penulis sempat menemubual beberapa individu berkenaan isu hibah ini. Perhalusinya. Adakah mereka bersikap terbuka untuk membincangkannya bersama pasangan atau lebih selesa membenarkan masa saja yang menentukan?

Kredit foto: Nasuha Badrul Huzaini



Tiada masalah beritahu suami, tunggu masa sesuai tambah pakej hibah…

Bagi pekerja swasta, Nasuha Badrul Huzaini, 34, dia tiada sebarang masalah untuk memberitahu suami berkenaan kepentingan hibah.

Apatah lagi memiliki suami ‘sporting’, apa saja cadangan, suaminya lebih percaya dengan perancangan diatur wanita kelahiran Pahang ini.

“Buat masa sekarang, saya tangguh dulu sebab dalam fasa penstukturan kewangan dan perbelanjaan keluarga.

Saya juga tidak begitu bimbang kerana suami sudah lengkapkan dengan takaful hayat, kad perubatan dan beberapa pelaburan lain yang akan memberi manfaat jika berlaku apa-apa kepada dia.

Bagi saya, apabila sebut pasal hibah, tiada isu pun mahu suami mati cepat kerana semua ini untuk kesejahteraan isteri dan anak juga selepas berlakunya kematian suami,” katanya.



Kredit foto: Nas Norziela Nasbah


Tersedar daripada lamunan, Nas Norziela bimbang lihat banyak kes perebutan harta...
Lain pula bagi penulis sambilan majalah, Nas Norziela Nasbah, 33. Ibu kepada dua anak ini pada awalnya tidak kisah sangat berkenaan hibah sehinggalah mula menyedari ia penting untuk mengelakkan konflik kekeluargan di masa hadapan.

Justeru, beliau mengambil langkah berkongsi maklumat berkenaan hibah dan berbincang dengan suami untuk mengambil hibah dalam masa terdekat.

“Saya sedar suami sudah banyak komitmen sedia ada. Namun, tidak salah untuk rancang kewangan dan bersedia dengan sebarang kemungkinan.


Suami pun sangat menerima cadangan dan pendapat saya berkenaan perkara ini. Ada rezeki kami akan ambil pakej hibah,” katanya.





Tiada ilmu berkenaan hibah, kurang pendedahan. Aizat cari solusi...

Bagi usahawan produk, Mohd Aizat Samsudin, 34, beliau kurang pendedahan berkenaan ilmu hibah. Jadi, buat masa ini masih belum terbuka untuk mengambil untuk isteri tersayang.

Bapa kepada seorang anak ini berkata, walaupun begitu jika ia membawa kesan baik di kemudian hari, memberikan keadilan dan mengelakkan konflik, pakej hibah mungkin akan ada dalam senarai komitmen bulanan mereka satu hari nanti.

Beliau tidak menafikan sikap bertangguh ini tidak berapa bagus kerana ajal maut tidak dapat diramal.



Info ringkas apakah itu hibah
  1. Hibah ialah pemberian sukarela daripada pemberi kepada penerima yang dibuat atas dasar kasih sayang tanpa mengharap sebarang bentuk balasan. Ia boleh diberikan kepada sesiapa sahaja yang kita ingini sama ada waris atau bukan waris.
  2. Perlu diingat, kesan daripada hibah, semua harta yang sudah dihibah akan terkeluar daripada harta pusaka dan tidak akan diagih kepada waris mengikut hukum faraid.


;