Read

Berterus-terang, Jujur — Rahsia Bahagia RUMAHTANGGA Puteri Zarith & Dr Muhd Munzir Ini Boleh Anda Contohi, Cubalah Amalkan

gempak
Public Anonymous User
29/10/2017
01:32 MYT
Sponsor Banner
Berterus-terang, Jujur — Rahsia Bahagia RUMAHTANGGA Puteri Zarith & Dr Muhd Munzir Ini Boleh Anda Contohi, Cubalah Amalkan
Oleh: Huda Hussain

Imbas kembali momen perkenalan kalian, bagaimana terbitnya bibit-bibit percintaan lantas ke jinjang pelamin?
Dr Muhd Munzir: Kami berkenalan menerusi kawan kemudian dalam tempoh perkenalan yang singkat itu kami serasi dan selesa bersama. Lantas selepas Puteri datang ke Kuala Lumpur dan saya berjumpa ibunya, tidak lama selepas itu kami mengikat tali pertunangan langsung berkahwin.
Pernah dahulu Puteri katakan kepada saya dia tidak akan berkahwin dengan lelaki dari Kelantan tetapi termaktub jua jodohnya dengan orang Kelantan (ketawa).
Puteri Zarith: Kami berkawan tak lama, jika tidak salah saya tak sampai setahun dan kami memutuskan untuk berkahwin. Ketika berkahwin saya berusia 24 tahun manakala suami 25 tahun. Kami berasal dari Kelantan. Mulanya terdetik di hati, “Skemanya mamat ni.”
Dr Muhd Munzir: Selepas beberapa kali sesi pertemuan, dia ingat saya hanya berkereta second hand, third hand, kereta buruk. Sedangkan saya juga memakai kereta Honda sama sepertinya. Dan apabila mengimbas semula momen itu ada kenangan lucu yang kami kenang hingga kini.

Pada usia 24 tahun sudah berkahwin, pernah Puteri berasa tertekan atau mungkin belum puas enjoy menjalani kehidupan solo?
Puteri Zarith: Pernah juga terfikir, ish mudanya baru 24 tahun sudah berkahwin. Kerana kebanyakan rakan- rakan saya ketika itu ada yang masih belajar, baru menamatkan pengajian peringkat ijazah dan ada yang baru bekerja.
Segan juga rasanya, kemudian lama-lama saya fikir tidak mengapa. Harung sahaja apa yang mendatang kerana itulah yang akan menguji kematangan fikiran.
Pasti banyak yang kalian pelajari ketika awal perkahwinan dahulu, kongsikan?
Dr Muhd Munzir: Sudah semestinya, misalnya Puteri jika dahulu tidak pandai masak tetapi selepas berkahwin sudah handal memasak. Ada cerita lucu yang saya mahu kongsikan.
Saya mengagumi usaha Puteri yang mahu memasak untuk saya. Namun mi goreng yang dimasaknya terlalu masin. Tetapi memandangkan dia sudah masak, saya makan sahaja. Itu antara momen yang tidak akan saya lupakan sepanjang perkahwinan kami.
Puteri Zarith: Hahaha… Memang kelakar pasal cerita mi tu. Mulanya saya pelik juga, kenapa selepas setiap satu suapan, dia minum air. Makan satu camca mi, dia teguk air.
Tetapi selepas saya yang memakannya barulah saya tahu betapa masinnya mi itu. Mungkin dek kerana sayangkan isteri, dia telan aje (ketawa).

Kata orang, fasa perkahwinan lima tahun pertama adalah tempoh yang benar-benar menguji. Dan jika pasangan tersebut berjaya mengharunginya, pasti mudah mendepani dugaan fasa berikutnya. Komen?
Puteri Zarith: Saya kurang bersetuju dengan pandangan ini kerana pada saya tidak semestinya usia perkahwinan selepas lima tahun itu memberi jaminan utuh terhadap perhubungan suami isteri.
Ada sahaja suami yang baru buat hal, isteri mula buat perangai selepas lima tahun berkahwin. Saya melihat soal hubungan suami isteri ini sebagai satu komitmen.
Tidak kiralah berapa lama usia perkahwinan anda, enam bulan, setahun atau lima tahun, ia bergantung kepada diri masing-masing. Sama ada untuk memberi komitmen penuh atau tidak.
Mungkin ada pasangan di luar sana yang siapa tahu selepas lima tahun berkahwin sudah mula berasa bosan dengan pasangan mereka dan seumpama dengannya? Terpulang kepada pegangan diri masing-masing.
Huraikan serba sedikit keperibadian masing-masing dan siapa yang lebih dominan dalam membuat keputusan atau mungkin soal anak-anak?
Puteri Zarith: Alhamdulillah kini kami dikurniakan dua anak, seorang lelaki dan seorang perempuan. Dan menjawab persoalan itu, saya lebih banyak bercakap daripada suami.
Dalam masa sama, saya seorang yang introvert berbanding suami. Soal membuat keputusan, jika tidak bersangkut-paut dengan isu besar atau perkara penting saya akan putuskan apa yang perlu dilakukan.
Bukan apa, saya tidak boleh terlalu bergantung kepadanya kerana ada sesetengahnya saya perlu bertindak segera. Tetapi selebihnya saya akan pastikan setiap perkara dimaklumkan kepada suami memandangkan dia bekerja di luar Kuala Lumpur dan masa yang terhad bersama keluarga, maka saya perlu pantas bertindak. Soal anak-anak pula, saya fikir sudah menjadi lumrah peranan itu dipikul oleh ibu dan saya yang banyak menguruskan anak-anak.
Dr Muhd Munzir: Saya seorang yang extrovert dan saya melihat ciri-ciri ketidaksamaan inilah yang sebenarnya membantu mengeratkan lagi kami sebagai suami isteri. Tidak semestinya perlu banyak persamaan antara suami isteri kerana perbezaan itulah yang membuatkan sesuatu hubungan itu unik dan kekal.
Apa yang membuatkan kalian serasi bersama?
Puteri Zarith: Dia seorang yang tidak kisah jika saya sibuk dengan perniagaan, pulang lewat misalnya kerana kami memegang prinsip memberi sepenuh kepercayaan kepada diri masing- masing. Namun ada ketikanya dia mengingatkan agar saya tidak selalu pulang lewat dan ketepikan seketika soal kerja.
Dr Muhd Munzir: Bukan bererti saya mengongkong tetapi biarlah kebebasan itu berpada-pada. Saya mengenali semua rakan- rakannya dan begitu juga sebaliknya. Dengan siapa dia keluar atau berjumpa semua saya tahu. Namun apa yang lebih penting adalah kepercayaan kami berdua.

Antara momen paling best sepanjang perkahwinan?
Dr Muhd Munzir: Ketika kali pertama menimang cahaya mata. Pada mulanya kami tidak merancang untuk mempunyai anak tetapi selepas sebulan berkahwin barulah kami fikir dan merancang mempunyai anak.
Pada usia kami sekitar 24 dan 25 tahun, apalah sangat yang kami tahu tentang anak bukan? Bersediakah kami? Namun kami redah sahaja.
Selepas Puteri melakukan ujian kehamilan dan dua tiga kali saya periksa sama ada betul atau tidak, barulah saya rasakan kegembiraan dan momen menanti cahaya mata.
Apatah lagi selepas anak dilahirkan, perasaan teruja, gembira dan berdebar- debar semuanya bercampur-baur. Ia amat bermakna dalam hidup kami.

Pandangan kalian mengenai konsep perkongsian, ada pasangan di luar sana yang mempraktikkan konsep mengumpul aset secara bersama, misalnya rumah atas nama suami dan isteri dan semuanya dikongsi bersama. Kalian pula bagaimana?
Dr Muhd Munzir: Saya tidak mempunyai konsep atau mengaplikasikan pendekatan tertentu. Saya mahu isteri dan anak- anak hidup senang dan selesa, itu sudah memadai.
Misalnya soal pembahagian harta, saya tidak kisah jika ia dikongsi bersama atau sebaliknya. Kerana seandainya ditakdirkan berlaku apa-apa kepada saya, saya akan menerimanya dengan terbuka.
Sebagai lelaki dan pernah hidup susah, berasal daripada keluarga yang sederhana itu menjadi motivasi saya untuk bekerja lebih kuat dan berusaha. Namun jika berlaku apa-apa kepada isteri dan anak-anak pasti sukar untuk saya menerimanya.
Sejauh mana penglibatan Dr Muhd Munzir ketika penubuhan Olicandy?
Dr Muhd Munzir: Ketika awal penubuhan dahulu, saya hanya membantu serba-sedikit sahaja misalnya daripada aspek kesihatan, pemilihan kandungan bahan yang digunakan, kewangan dan semuanya mengikut kapasiti kemampuan saya pada ketika itu.
Mengenali Puteri, dia sememangnya seorang yang suka berniaga dan berpuas hati apabila dapat melakukan apa yang diminatinya. Saya pula hanya membantu setakat yang mampu sahaja. Selebihnya saya beri galakan, dorongan dan ia digerakkan atas usaha Puteri sendiri.
Perubahan yang dirasai selepas berjaya dalam dunia perniagaan?
Puteri Zarith: Perubahan yang ketara adalah daripada aspek gaya hidup. Dahulunya saya bekerja (makan gaji) selama enam tahun di Toyota. Dan selepas kelahiran anak sulung dan kedua, saya mula terfikir mahu menceburi bidang perniagaan kerana rata-ratanya keluarga saya semuanya memiliki perniagaan sendiri.
Dan mengapa saya memilih perniagaan berasaskan kecantikan kerana saya amat meminatinya. Saya gemarkan fesyen dan barang berjenama. Misalnya ketika bekerja makan gaji dahulu, saya sanggup mengumpul duit sedikit demi sedikit semata-mata mahu membeli beg tangan Louis Vuitton.
Daripada situlah saya bermula berdikit-dikit. Saya mula menjadi stokis dan menjual produk orang. Dan apabila hasil pendapatan daripada jualan itu melebihi gaji yang saya peroleh sepanjang enam bulan saya menjadi stokis, maka saya putuskan untuk memberi fokus kepada bidang perniagaan dan berhenti daripada makan gaji.
Rentetan itu juga saya mula mendapat pendedahan mengenai dunia media sosial. Saya belajar bagaimana kita boleh manfaatkan bidang perniagaan melalui medium ini. Bukan niat mahu menunjuk-nunjuk mengenai gaya hidup sekarang tetapi saya melakukannya atas tuntutan kerja.
Ia adalah sebahagian daripada aspek pemasaran dan secara tidak langsung mahu memberi motivasi bahawa semua orang boleh berjaya jika berusaha dan bekerja keras.
Saya cuma mahu berkongsi dengan orang ramai mengenai keberkesanan produk yang saya sudah cuba dan sekali gus menarik perhatian orang ramai untuk membeli dan mencubanya.
Namun tidak semua yang saya kongsikan kerana saya masih memegang kepada prinsip privasi dan batas-batas yang perlu dijaga demi keselamatan diri dan keluarga.

Kepuasan itu dirasai apabila...
Puteri Zarith: Produk habis terjual, maklum balas daripada pelanggan yang merasai perbezaan selepas memakainya membuatkan saya berasa bersyukur dan berpuas hati kerana sekurang-kurangnya saya dapat membantu mereka.
Bukan soal keuntungan semata-mata tetapi kepuasan itu dapat saya rasakan apabila saya melakukan apa yang saya minat.
Lumrah bukan apabila anda memperoleh sesuatu pasti dalam masa yang sama anda akan kekurangan sesuatu. Komen?
Puteri Zarith: Setuju! Misalnya perubahan ketara adalah kesibukan kami. Saya sibuk dengan perniagaan manakala suami pula sibuk dengan tugasnya sebagai doktor. Dan kekangan utama kami adalah soal masa.
Masa berkualiti yang dapat diluangkan bersama anak-anak misalnya terhad. Begitu juga dengan suami, sehinggakan ada kalanya tiga hari kami tidak berjumpa. Atau jika bersemuka sekalipun hanya 30 minit sahaja. Namun kami pastikan sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain.
Dr Muhd Munzir: Apabila kita berjaya meraih sesuatu pasti ada sesuatu yang perlu kita korbankan. Dalam situasi kami, faktor masa yang banyak memberi kesan.
Pandangan kalian, sejauh mana kecanggihan teknologi hari ini berupaya mempengaruhi keruntuhan institusi kekeluargaan atau mengucar-ngacirkan hubungan suami isteri?
Puteri Zarith: Sebenarnya soal ini seringkali terjadi kepada diri saya sendiri. Misalnya apabila tiba waktu makan, dua-dua sibuk melihat telefon. Tetapi dalam situasi saya pula, ia adalah tuntutan kerja.
Hampir setiap masa saya perlu belek telefon untuk melihat sama ada staf saya buat kerja atau tidak, stok baru sampai – adakah staf sudah balas mesej kiriman pelanggan di Instagram, itu dan ini.
Dan untuk itu saya sudah maklumkan kepada suami terlebih dahulu dan sering mengingatkannya bahawa saya bukanlah suka-suka mahu berkepit dengan telefon. Biarpun pada mulanya hampir bertekak juga, tetapi kami mencari titik persefahaman dan solusi untuk tangani isu ini.
Berbeza dengan orang lain, misalnya jika selepas waktu kerja dan sibuk mahu stalk orang lain, tengok update selebriti itu dan ini pada saya ia masih boleh dikawal. Apabila bersama anak-anak, aspek ini perlu diberi perhatian.
Sehinggakan saya sendiri merasa malu apabila anak menegur, “Mummy can you put down your phone? Can you talk to me?” Dan saya sendiri terasa, alamak anak dah sound! Lantas saya terus ketepikan telefon bimbit dan berikan sepenuh tumpuan kepada mereka.
Dr Muhd Munzir: Pada awalnya saya merungut juga tentang soal ini namun selepas Puteri memberi penjelasan mengapa dia perlu bertindak sedemikian, saya boleh menerimanya dan memahami sebab-sebabnya.
Namun kami cuba pastikan tidak terlalu attached dengan telefon apabila bersama anak-anak. Kerana maklum waktu yang kami luangkan untuk mereka dalam sehari hanya beberapa jam sahaja. Dan perlahan-lahan kami perbaikinya.

Tidak semua yang kita peroleh atau apa jua permasalahan rumahtangga, luahan dan perasaan perlu dimuat naik di laman sosial. Tetapi pasangan suami isteri hari ini berbeza pula caranya. Sehinggakan ada yang melihatnya berkecil hati, terasa dan sebagainya. Komen kalian?
Dr Muhd Munzir: Soalan meminta aje ni... Hahaha... Pada saya terpulang kepada niat masing-masing, baik kepada yang memuat naik juga kepada yang membaca. Misalnya jika saya menghadiahkan sesuatu untuk isteri, niat saya hanya sekadar memberikan penghargaan atas rasa kasih dan sayang. Dan jika orang lain melihatnya mungkin boleh menjadikannya sebagai inspirasi atau ikutan.
Misalnya, “Oh boleh juga buat macam ni untuk hargai isteri aku nanti.” Tidak timbul isu mahu menunjuk- nunjuk kerana jika itulah niat anda melakukannya, pasti sia-sia sahaja.
Atau jalan paling selamat tidak perlu hebahkan kepada semua, tidak perlu muat naik apa-apa di dalam media sosial jika anda bimbang akan ada yang terasa atau berkecil hati dan sebagainya. Biarlah anda dan pasangan sahaja yang tahu. Mungkin itu lebih manis, siapa tahu?
Puteri Zarith: Pada saya jika ia berunsurkan kegembiraan boleh dikongsi. Misalnya jika pergi bercuti, anda muat naik video ataupun gambar bilik yang cantik, lokasi percutian yang indah seperti yang dilakukan Hanis Zalikha umpamanya.
Pasti ada antara kita yang akan berkata kepada pasangan, contohnya, “Jom la yang kita pergi.” Tetapi hakikatnya manusia ini hatinya lain-lain. Dan tidak kurang juga ada yang akan membuat andaian seperti, “Eleh nak menunjuklah tu.”
Pada saya terpulang kepada masing-masing dan sejauh mana anda menilai sesuatu perkara. Secara peribadi saya tidak suka membaca status atau post yang dimuat naik berunsurkan negatif, caci maki atau kata-kata penghinaan kerana ia hanya menyebarkan aura negatif kepada si pembaca.

Kalian punya pasangan suami isteri lain yang mungkin dijadikan sebagai idola?
Puteri Zarith: Pada saya jika kita mengidolakan seseorang, pasti tidak banyak atau sedikit kita mahu terikut-ikut dengan caranya. Namun bagi saya mudah sahaja.
Kami tidak mempunyai pasangan suami isteri lain yang kami angkat sebagai idola kerana semuanya punya kelebihan dan kelemahan tersendiri. Apa yang baik kami akan ikut dan jika sebaliknya akan kami teladani bersama.
Siapakah yang paling cemburu antara kalian?
Dr Muhd Munzir: Perasaan cemburu itu sesuatu yang normal dalam kalangan pasangan. Namun apa yang membezakannya sama ada ia dikawal atau tidak. Jika tidak cemburu langsung pun tidak baik juga.
Saya lebih suka meletakkan perasaan cemburu itu terkemudian. Biarlah kepercayaan itu mendahului segalanya kerana ia akan mendorong kepada pemikiran yang lebih positif dan tingkah laku yang baik. Cemburu itu ada tetapi biarlah berpada-pada dan kena pada tempatnya.
Puteri Zarith: Dalam situasi ini, kami punya cara tersendiri dalam segala segi. Contohnya saya tidak pernah memeriksa telefon bimbit suami, mahu soal selidik dengan siapa dia berjumpa, pergi ke mana, pulang ke rumah jam berapa dan sebagainya.
Mungkin kerana selepas berkahwin saya telah tanamkan dalam diri dan pemikiran agar tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada suami dalam segenap perkara.
Umpamanya jika suami tiada saya mati, gelaplah masa hadapan dan seumpama dengannya. Dan mungkin kerana itu juga kami jarang bertelingkah sesama sendiri kerana masing-masing sudah memahami antara satu sama lain.

Momen susah dan senang, jika boleh dikongsikan?
Puteri Zarith: Pernah susah ke yang? Hahaha... Tetapi tidaklah sehingga tidak pernah makan, hidup terabai dan sebagainya.
Dr Muhd Munzir: Selepas berkahwin, ibu bapa ‘melepaskan’ dan membiarkan kami mencorak hala tuju sendiri. Terasa juga cabarannya kerana pada usia sebegitu muda, kami harus bijak menyusun atur kehidupan kami yang baru bermula.
Semuanya serba cukup dan sederhana jauh daripada limpahan kemewahan dan keselesaan. Bulan madu kami hanya ke Bandung sahaja. Puteri zarith Itu pun ikut company trip, hahaha... Saya free aje tetapi disebabkan suami ikut, dia yang perlu bayar. Makan pula biasa-biasa sahaja.
Tidaklah mewah seperti makan di restoran atau hotel yang mahal kerana Puteri sukakan masakan kampung. Muka sahaja macam ini tetapi suka masakan kampung seperti tomyam, ikan singgang, budu dan lain-lain. Dan melalui momen awal perkahwinan itu sebenarnya membuatkan kami lebih menghargai antara satu sama lain.

Pengorbanan yang sudah diberikan kepada pasangan, boleh kongsikan?
Dr Muhd Munzir: Pada saya semua pasangan punya pengorbanan tersendiri dan tidak semestinya dihuraikan satu persatu misalnya, “Yang, I dah korbankan untuk you itu dan ini.” Dan berkorban itu luas maknanya juga boleh ditafsirkan dengan pelbagai cara.
Namun apa yang boleh saya kongsikan mungkin pengorbanan daripada segi masa. Kerana pada awal perkenalan kami dahulu, saya banyak luangkan masa untuk belajar, menghadiri kuliah dan lain-lain.
Sehinggakan saya terasa bersalah apatah lagi apabila Puteri mula merungut. Dan saya menganggapnya sebagai dugaan dalam perhubungan untuk menguji sejauh mana kesabaran dan kasih sayang dia terhadap saya.

Penglibatan dan sokongan terhadap karier masing- masing, misalnya jika di awal penubuhan Olicandy dahulu suami banyak membantu. Apakah penglibatan dan sumbangan Puteri dalam karier Dr Muhd Munzir?
Puteri Zarith: Saya bukanlah arif dalam bidang perubatan. Jika beri nasihat yang bukan-bukan, mati pula pesakitnya nanti (ketawa).
Dr Muhd Munzir: Penglibatannya tidak secara langsung tetapi mungkin jika pada masa hadapan saya punya perancangan untuk membuka klinik atau hospital sendiri, mungkin Puteri boleh membantu daripada segi pengurusan, pentadbiran dan sebagainya. Mengikut kapasiti kemampuan dan kebolehannya.
Puteri Zarith: Pada saya menarik juga kerana kami berdua bekerja dalam dua bidang yang berbeza. Contohnya apabila pulang ke rumah tidak semua perihal kerjanya diceritakan kepada saya dan begitu juga sebaliknya. Apa yang kami sering kongsi dan bincangkan adalah berkaitan soal anak-anak, rakan-rakan, keluarga dan isu semasa.
Pernah terdetik rasa cemburu dengan pencapaian karier masing-masing?
Dr Muhd Munzir: Saya tidak melihatnya sebagai cemburu tetapi lebih kepada adore and envy. Macam wow, bagaimana dia boleh tangani semua ini. Dan sebagai suami saya berbangga dengan pencapaiannya.
Puteri Zarith: Baru tahu, nasib baik ada yang bertanya, hahaha...
Dr Muhd Munzir: Pada saya sifat cemburu yang tidak bertempat hanya akan meracuni pemikiran dan ‘membunuh’ kepercayaan dalam soal hubungan suami isteri itu sendiri. Apa jua permasalahan berbangkit, cuba berbincang dengan rasional dan pasti ada jalan penyelesaiannya. Justeru, mengapa harus cemburu membuta tuli?
Puteri Zarith: Saya maklum dan faham mengenai apa yang cuba anda cungkil kerana kadangkala lelaki akan mudah rasa tercabar. Tetapi sepanjang perkahwinan kami saya lihat tindak- tanduknya rasional, punya sifat hormat dan penyayang juga menghargai saya dan anak-anak. Itu sudah memadai bagi saya.
A post shared by Puteri Zarith (@puterizarith) on
Perlu atau tidak suami isteri meluangkan masa berdua sahaja (tanpa anak-anak) dan mengapa?
Puteri Zarith: Penting kerana saya selalu menyedari apabila suami atau isteri sibuk menguruskan anak-anak, mereka tidak punya masa untuk memberikan perhatian kepada pasangan.
Contohnya saya selalu lihat pasangan ibu bapa di KLCC masing- masing tolak stroller, si ibu sibuk menjaga anak kecil dan ayah pula menjaga abang atau kakak sulung. Dan tiada interaksi antara satu sama lain kerana masing-masing sibuk dengan anak.
Bukan bermakna tidak perlu untuk menjaga anak tetapi luangkan sedikit masa dan berikan tumpuan kepada pasangan. Untuk saya sendiri, apa yang saya praktikkan adalah saya akan luangkan dua masa berbeza bersama anak-anak dan suami. Kerana jika bersama anak-anak, saya tiada masa untuk berikan perhatian kepada suami.
Dr Muhd Munzir: Penting bagi suami isteri mempunyai kualiti masa bersama. Tidak perlu pergi jauh-jauh misalnya bercuti ke luar negara. Banyak lagi destinasi menarik dalam negara yang boleh diterokai.
Peruntukan masa seperti inilah yang akan mengeratkan lagi hubungan antara suami isteri, perbaiki semula apa yang kurang, menggamit semula bibit-bibit kala zaman bercinta dahulu, mengekalkan kemesraan dan sebagainya.

Asas penting yang perlu ada dalam rumahtangga?
Puteri Zarith: Berterus-terang, jujur dan memahami.
Dr Muhd Munzir: Kepercayaan, bertimbang rasa dan jika ada yang tidak berpuas hati kemukakan dan berbincang dengan baik. Ingin saya tambah satu perkara. Berdasarkan pemerhatian saya hampir kebanyakan pasangan yang berpisah rata-ratanya berpunca daripada masalah kewangan yang tidak kukuh.
Mungkin kedengarannya biasa, tetapi itulah hakikat kehidupan rumahtangga kini. Tidak semestinya anda perlu kaya-raya. Biarpun bekerja biasa anda perlu mempunyai kedudukan kewangan yang stabil.
Dan sebelum anda putuskan untuk berkahwin, banyak perkara yang perlu diperhalusi. Bukan sahaja soal suka, cinta dan restu ibu bapa. Tetapi untuk menempuhi kehidupan selepas perkahwinan itu juga hendaklah diambil kira.
Nasihat kepada mereka yang mahu berkahwin?
Puteri Zarith: Tidak perlulah habis berbelanja semata-mata untuk merealisasikan perkahwinan impian anda. Lebih baik menabung dan simpan duit untuk membina kehidupan selepas berkahwin.
Benar lumrah kini semua mahu nampak cantik dan indah di laman sosial. Berhati-hati dan berpada-padalah menguruskan perbelanjaan untuk berkahwin.
Dr Muhd Munzir: Elakkan daripada membuat pinjaman untuk bermegah-megah dengan perkahwinan anda. Kerana ia tidak lain hanyalah keindahan sementara sahaja. Apa yang lebih penting adalah persediaan selepas berkahwin, persiapan kewangan untuk memasuki rumah dan sebagainya.

Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024