Highlights
Besar Pahala Cikgu Atun Mendidik Anak-Anak Istimewa Ini – “Mereka Permata Berharga Ayah Bonda.”
Cikgu Rabiatul Adawiyah (Cikgu Atun) ini bukan sembarangan guru. Beliau bukan mengajar murid-murid normal di sekolah biasa. Tugasannya sungguh mencabar dan sangat suci, harus dipuji. Penulis sendiri kagum dan berasakan tidak mampu memikulnya walau hanya untuk sehari. Hanya orang yang punya hati nan kental dan tinggi kesabarannya mampu menggalas amanah menjaga anak-anak istimewa ini.
Cikgu Atun mula berkhidmat di Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah, Johor Bahru sejak Januari 2012. Kini, sudah lebih 10 tahun Cikgu Atun menyemai budi di sana. Apabila ditanya mengapa dia memilih pendidikan khas ini sebagai lapangan menyebar ilmu dan bukan mengajar murid-murid biasa? Menurut Cikgu Atun dia mahu mengenali lebih dekat anak-anak istimewa ini dan suka untuk mencuba sesuatu yang baru. Tidak semua mampu melakukannya dan Cikgu Atun membuktikannya.
Mari, dengarkan luahan rasa Cikgu Atun ini...
Bagaimana rutin tugasan Cikgu Atun di situ?
Setiap hari kami berhadapan dengan pelbagai kerenah dan perubahan tingkah laku murid khas yang berbeza-beza antara satu sama lain. Inilah yang menuntut kami untuk sentiasa berada dalam keadaan bersedia mental dan fizikal supaya kami dapat berdepan dengan mereka secara positif. Sepanjang proses Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) berlangsung di dalam kelas, kami perlu mempelbagaikan teknik pengajaran dan pembelajaran bagi menarik minat mereka untuk fokus belajar di dalam kelas. Seperti mana pentingnya hubungan baik seorang guru dengan ibu bapa di sekolah biasa, di sini juga kami mempratikkan amalan yang sama, malah lebih lagi usaha yang perlu dilakukan. Hubungan ini penting untuk kami dan para ibu bapa saling mengetahui perkembangan anak-anak istimewa ini sama ada di rumah dan sekolah.
Apa bezanya tugasan guru biasa dengan bidang Cikgu Atun ini?
Guru aliran perdana sangat berbeza dengan guru pendidikan khas. Guru aliran biasa lebih berfokuskan kepada peperiksaan. Mereka akan ada target tertentu dalam setiap subjek, mereka punya penetapan terhadap matlamat mereka. Manakala, kami pula lebih mengutamakan ‘kemenjadian murid’. Guru di sini tidak mengejar gred A untuk setiap mata pelajaran. Di sekolah menengah yang ada program pendidikan khas, integrasi kami terdiri daripada murid yang berkefungsian tinggi, berkefungsian sederhana dan berkefungsian rendah. Bagi berkefungsian tinggi dan sederhana, kami berfokuskan pada kemahiran vokasional. Kemahiran vokasional yang kami tawarkan ialah kemahiran asas perkebunan, kemahiran membuat roti, kemahiran membuat pastri, kemahiran perkhidmatan mencuci kereta, kemahiran manipulatif dan kemahiran asas jahitan. Namun, bagi murid yang berkefungsian rendah, mereka terdiri daripada murid yang tidak mampu menguruskan diri sendiri, tidak boleh bertutur dan menulis dengan baik. Mereka akan didedahkan dengan kemahiran manupulatif, iaitu ke arah permainan psikomotor kasar dan psikomotor halus. Untuk setiap perkembangan dan kemajuan murid khas, kami akan merekodkannya di dalam Rancangan Pengajaran Individu (RPI); sebuah dokumen bertulis yang kami bentangkan kepada ibu bapa mengenai perkembangan dan prestasi murid khas kami.
Bagaimana perasaan mula-mula berkhidmat dulu?
Sewaktu mula belajar di IPG Kampus Perempuan Melayu Melaka lagi, saya sudah setkan fikiran saya untuk bersedia melalui apa sahaja yang terbentang di laluan saya kelak. Saya tahu ia sesuatu yang pasti mencabar. Setelah mendapat tempat posting di Perak, saya teruja hendak berjumpa dengan anak-anak istimewa ini. Apabila sedari awal kita sudah berfikiran positif dan tetapkan niat yang baik, maka ia menjadi lancar. Apatah lagi setelah mula mengenali mereka dan mendekati mereka, saya dapat rasakan mereka ini sangat istimewa, seperti mana yang selalu kita gelarkan kepada mereka. Alhamdulillah, saya seronok dan bersyukur ke hadrat Allah yang telah menetetapkan saya menjadi guru pendidikan khas.
Setiap kerjaya itu pasti ada cabarannya, bagaimana dengan Cikgu Atun sendiri?
Benar, setiap kerjaya ada ujiannya masing-masing. Sebagai guru pendidikan khas, cabaran terbesar apabila anak istimewa ini mula tantrum di dalam kelas. Mereka akan bertindak agresif, terlalu pasif, ini kerana mereka mempunyai masalah emosi. Terdapat perubahan tingkah laku berlaku secara tiba-tiba. Di sinilah, kesabaran seorang guru itu diuji, maka kami menggunakan sepenuhnya pengalaman dan ilmu yang telah dipelajari dulu untuk dimanfaatkan sepenuhnya bagi mententeramkan mereka.
Sepanjang bergelar guru di situ, apakah pengalaman yang tidak boleh Cikgu Atun lupakan?
Setiap hari saya melalalui pengalaman yang bermakna yang tak mungkin dapat saya lupakan. Anak-anak istimewa ini hadir dalam pelbagai latar belakang dan kesihatan. Kami sentiasa berhadapan pelbagai cabaran untuk menghadapi kerenah anak-anak ini. Ibu bapa mereka juga ada yang sangat mengambil berat kebajikan dan pendidikan anak-anak mereka. Namun, tidak kurang juga ada yang sebaliknya. Ada satu pengalaman yang ingin saya kongsikan di sini untuk kita jadikan iktibar. Bila mana ada ibu bapa yang bersikap lepas tangan menjaga kebajikan anak-anak mereka. Ada yang membiarkan anak-anak mereka bersekolah sendiri walau pun masih di bawah umur. Ada pula anak-anak ini yang disuruh bekerja untuk menampung duit poket sendiri walaupun mereka ialah Murid Berkeperluan Khas (MBK). Syukurlah, dengan ilmu yang dipelajari di sekolah, mereka dapat bekerja dan menampung duit poket mereka sendiri. Seronok apabila melihat mereka mampu hidup berdikari.
Apa yang dapat Cikgu Atun belajar daripada anak-anak ini?
Ya, untuk belajar menjadi orang yang lebih baik itu tidak perlukan sebuah universiti. Melihatkan pengalaman orang di sekeliling kita pun mampu ‘menyekolahkan’ kita. Bersyukur dengan apa yang kita ada. Dengan mereka, saya juga belajar untuk sentiasa meletakkan sabar itu pada tahap yang paling tinggi. Mreka dilahirkan tidak sempurna, tidak cukup sifatnya. Namun mereka punya hak mendapat pendidikan sama-rata seperti orang lain. Jangan perkecilkan hak mereka dan usah perlekehkan anak-anak ini kerana tempat mereka nanti sangat istimewa di sisi Allah. Sedangkan kita belum pasti...
Nasihat Cikgu Atun kepada orang yang memandang sinis kepada anak-anak ini?
Lihat diri sendiri! Lihat pula kekurangan kita yang sempurna fizikal ini. Benarkah kita lebih baik daripada mereka? Bersyukur dengan apa yang kita ada. Jangan pandang rendah kepada mereka. Walaupun mereka punya kekurangan, namun mereka tetap ada kelebihan yang kita tidak ada.
Nasihat Cikgu Atun kepada ibu bapa yang punya anak seperti ini?
Hargailah permata yang lahir di dalam keluarga anda. Mereka dilahirkan istimewa ada sebabnya. Hakikat yang mungkin kita tidak sedar, merekalah penyejuk dan penawar dalam keluarga, tolong jangan abaikan mereka. Jaga kebajikan dan pendidikan mereka. Mereka punya hak yang sama dalam pendidikan.. juga dalam negara ini. Kerajaan sendiri telah menyediakan yang terbaik untuk murid berkeperluan khas (MBK) ini. Ingat, anak inilah harta paling berharga di dunia dan akhirat buat ibu bapanya.