Highlights
Besar Periuk, Besarlah Keraknya. Jangan Salah Faham Atau Dengki Dengan Cara Orang Lain Berbelanja. Itu Kemampuannya.
Telah Allah tetapkan setiap seorang daripada kita bilakah ajalnya, siapakah jodohnya, bagaimana rezekinya dan segala perjalanan hidup yang dilalui. Sama ada lambat atau cepat, pasti dan tetap kita akan dapat. Betul tak? Cumanya yang berbeza mugkin dari segi kesungguhan, usaha dan kesabaran kita untuk menempuh apa yang telah direncanakan. Selama mana kita bersabar, sekuat mana usaha dan kesanggupan kita mencuba, akan diberi ganjaran yang setimpal dengan apa yang dilakukan.
Bergaji Besar, Tinggilah Komitmennya
Apabila hujung bulan sebegini, ramailah orang membanjiri pasar raya membeli barang keperluan untuk bekalan seisi rumah. Beli hingga penuh troli, apakah ia dikira membazir? Terpulang kepada penerimaan masing-masing. Kerana kita lebih arif dalam soal merancang kewangan, aliran keluar dan masuk duit, apa yang boleh dibelanjakan, berapa yang perlu disimpan dan lain-lain.
Kredit Foto: Google
Kata orang semakin tinggi jawatan, makin besarlah pendapatan saban bulan. Namun perlu juga diingat, nafsu berbelanja juga mungkin tidak kurang besarnya. Mungkin ada dalam kalangan kita yang kepingin untuk menukar selera sedia ada sementelah punya pendapatan lebih besar. Ada yang teringin merasa tukar kereta baru, upgrade perabot, itu dan lain-lain. Malah tidak kurang yang mengganggapnya sebagai penghargaan buat diri sendiri selepas berpenat lelah bekerja. Terpulang kepada citarasa masing-masing. Anggap saja itu semua ujian. Baik yang kecil atau besar, tetap akan ada keberkatannya kalau anda bijak menguruskannya.
Bergaji besar juga tidak bermakna anda hidup mewah. Masih lagi seperti kebanyakan orang lain. Walau dibezakan dengan klasifikasi B40, M40 dan T20, komitmen untuk membayar bil telefon, utiliti, pembiayaan kereta, rumah, insurans, simpanan kecemasan dan sebagainya tetap perlu dilunaskan. Bahkan boleh jadi mungkin baki gaji yang ada, cukup-cukup saja. Namun usah mengeluh. Jangan lupa untuk peruntukkan sejumlah wang sebagai sedekah dan amal jariah. Percaya kepada keberkatan rezeki yang Allah beri melalui cara ini.
Kredit Foto: Google
Kemampuan Kita Berbeza-Beza
Jauhi sifat cemburu, iri hati, dengki, tidak puas hati dan sebagainya dalam diri andai melihat orang lain sakan berbelanja. Berbelanjalah mengikut kemampuan kita. Ukur baju di badan diri dan jangan terlalu terikut dengan nafsu dan godaan serta bisikan suara halus itu. Yang akan sentiasa mencucuk, yang selalu menimbulkan syak dalam hati. Apa yang penting jangan merungut dan gunakan apa yang ada dengan berhemah. Jangan sekali-kali lupa hulurkan duit belanja buat emak ayah di kampung. Waima sekecil RM50 sekalipun, ada keberkatan didalamnya apabila disulami dengan doa dan sedekah yang diberi. Sematkan dalam diri takkan selamanya hidup kita susah, dibebani hutang dan sebagainya. Rajinkan diri dan berusaha untuk cuba tingkatkan kebolehan yang ada. Allah sukakan hambaNya yang tidak kenal erti putus asa dan gigih berusaha.