Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Biar Tak Handsome, Janji Kaya? Tapi, Rasanya Wanita Sekarang Tahu CARI DUIT Sendiri. Yang Penting Jujur.

Afiza Kamarulzaman
12/02/2020 10:38 MYT


Mungkin ada segelintir wanita begitu. Bukan kerana mereka materialistik, namun impian sejak kecil yang berangan-angan untuk menjadi isteri kepada lelaki kaya dan berharta. Wanita begini selalunya berdepan masalah kewangan dari kecil dan berasal daripada keluarga yang susah. Mereka tidak sanggup untuk hidup lebih susah dan terus mencari-cari kehidupan yang stabil.


Namun, ada juga sebilangan wanita yang mencari lelaki kaya ini sudah berasal daripada keluarga yang kaya. Atas dasar ‘kasta’ dan tidak mahu ‘turun’ daripada takhta yang sudah teratas, pastinya dia mahu mencari lelaki yang setaraf. Mungkin juga atas faktor keluarga yang tidak mahu anaknya jatuh ke tangan lelaki yang biasa-biasa sahaja. Jadi, lelaki itu haruslah sama-sama kasta dengannya.



Kredit Foto: Google



Wanita Sekarang Lebih Berdikari


Itulah hakikatnya yang lelaki tidak boleh nafikan. Kebanyakan wanita hari ini tidak mengharapkan duit lelaki. Kalau setakat belanja makan dan pakai, mereka mampu mengadakannya sendiri. Malah, mereka mampu menanggung keseluruhan kos kehidupan daripada membayar komitmen aset setiap bulan sehinggalah ke bil-bil utiliti dan pembelajaran sampingan lainnya.


Jadi, untuk seorang wanita yang sudah punya segalanya, apa lagi yang ingin mereka mahukan? Pastinya dia menginginkan seorang lelaki hadir dalam hidupnya sebagai cahaya dan pembawa bahagia. Dia tidak perlu lagi lelaki menabur wang ringgit atau harta berkoyan-koyan, cukuplah memimpi tangannya ke arah kegembiraan dan ikhlas menyayangi dirinya. Jujur dan jangan berdusta.




Kredit Foto: Google




Aziah, CEO Syarikat Yang Mencari Suami Mithali


Aziah, 38 seorang CEO syarikat ternama dengan pendapatan lima angka sebulan. Mempunyai dua buah kereta mewah dan sebuah banglo di pinggir Kuala Lumpur. Punya ratusan ribu ringgit dalam akaun syarikat dan aset-aset jutaan ringgit di sana sini. Aziah pernah berkahwin lima tahun lalu bersama seorang lelaki yang juga usahawan berjaya. Mereka sama-sama mendaki tangga kejayaan.


Sama-sama meraih pendapatan mencanak-canak. Wang ringgit bukan masalah dalam rumah tangga mereka. Walaupun belum dikurniakan anak, mereka tidak pernah rasa kesunyian kerana masing-masing sibuk dengan kerjaya dan syarikat. Maka, hal anak tidak pernah dibangkitkan. Namun, ujian tetap datang menduga daripada sudut yang lain pula. Tiga tahun selepas hidup bersama, dugaan mula datang menyapa.


Suami Aziah sudah terjebak dengan cinta tiga segi, digoda setiausahanya sendiri. Daripada hanya pandai berbalas mesej cinta menerusi Whatsapp, akhirnya sampai ke katil hotel pula. Mana tidaknya, kalau sudah berpeluang ke luar negara bersama yang kononnya atas dasar kerja saban minggu, syaitan mana yang tidak menghasut. Selang dua minggu, pasti suami memberi alasan ada urusan perniagaan di Bangkoklah, Jakartalah, Londonlah dan akhirnya ke Mekah bernikah di sana terus!


Aziah terus memfailkan penceraian dan mereka berpisah dengan cara baik walaupun hati Aziah hancur remuk. Aziah tidak sanggup bermadu. Malu usah dikata. Berpisahlah jalan terbaik dan nampaknya suami Aziah tidak kisah untuk melepaskannya. Maklumlah sudah dapat pucuk muda. Begitulah risikonya bersuamikan lelaki kaya, ternama dan berharta. Perempuan mana tidak terliur. Maksud Aziah – perempuan yang tidak pandai cari duit sendiri!




Kredit Foto: Google




Aziah Kini Bahagia Bersama Jurulatih Gim


Ya, itulah yang sedang dilalui Aziah kini. Dia sudah pun bertunang dengan Razak, seorang jurulatih gimnasium. Razak berasal dari kampung dan daripada keluarga biasa. Bapanya bekas polis dan ibunya suri rumah. Berhijrah ke Kuala Lumpur untuk mencari rezeki dengan pendapatan hanya tiga ribu sebulan. Menyewa bilik dan hanya memandu Myvi sahaja. Memang sungguh bagai langit dan bumi kehidupan Aziah dan Razak.


Namun, saat bersama Razak adalah saat yang sangat membahagiakan. Bukan kerana mereka sedaang hangat diulit cinta, tetapi sebagai orang yang sudah berpengalaman, Aziah boleh tahu lelaki yang jujur dan sebaliknya. Razak sangat baik orangnya. Menyayangi Aziah seadanya. Menerima hakikat yang Aziah janda dan lebih berusia daripadanya. Malah, Razak tidak segan memperkenalkannya kepada keluarga dan teman-teman.


Kalau keluar bersama, selalu Razak yang mengeluarkan wang belanja. Malah, Razak akan menjemputnya dengan kereta Myvinya itu. Puas Aziah memujuk Razak menggunakan keretanya, namun Razak menolak. Katanya segan, apa pula orang kata nanti? Jelas sekali, Razak punya harga dirinya. Bukan ego tetapi dia tidak mahu dirinya dikatakan mengambil kesempatan terhadap Aziah.


“Walaupun ada yang suruh saya berfikir dua kali untuk berkahwin dengan Razak, namun saya tekad. Inilah Mr. Right saya. Cakaplah apa pun, saya tetap percaya dengan naluri hati ini. Ya, Razak mungkin tidak mampu membelikan saya cincin permata Chopard atau tas Hermes, namun Razak mampu memberikan kejujuran hatinya. Razak juga tidak mungkin dapat membawa saya ke New York menaiki pesawat duduk di kerusi bisnes, namun saya pasti Razak sentiasa mampu buat saya tersenyum dan ketawa di sisinya selalu.”


“Dalam hidup ini, kita tidak perlukan wang yang banyak untuk ketawa. Kita tidak perlukan aset setinggi gunung untuk gembira. Yang kita perlukan hanyalah pasangan yang memahami kita, yang sayang kita sepenuh jiwanya dan meletakkan diri kita di tangga teratas dalam hatinya. Kalau ini mampu kamu miliki, percayalah kamu pasti bosan memandu Porsche dan jemu duduk di sofa Versace,” luah Azira tersenyum manis.

#Cinta #Kacak #Jujur