gaya hidup
“Bila Kita Bersatu Hati Sebagai Sebuah Keluarga, Banyak Rahmat Yang Akan Turun, Insya-Allah.” Ustaz Ebit Lew
Apabila berlaku sesuatu ujian atau musibah, dialah antara yang pertama turun padang menghulurkan bantuan. Baik daripada segi tenaga, masa, wang ringgit dan apa sahaja kudrat selagi termampu dia akan laksanakan. Semuanya kerana sifat belas kasihan selain terbit rasa tanggungjawab untuk membantu mereka yang memerlukan.
Itulah dia Ustaz Ebit Lew, seorang pendakwah bebas juga sukarelawan dan usahawan. Figura yang tidak asing dalam kalangan masyarakat kita dan punya pendekatan tersendiri dalam menyampaikan dakwah. Baginya semua ini dilakukan dengan penuh rasa ikhlas, kasih sayang dan atas dorongan kerana melihat kita semuanya sama.
Kredit Foto: Astro Prima
Menerusi rancangan Jejak Ebit Lew yang bakal menghiasi skrin anda di Astro Prima bermula 7 Disember 2020 jam 9 malam, penonton akan dibawa bersama-sama dalam setiap misi bantuan berbeza. Hampir seluruh negara diterokai Ustaz Ebit Lew dan team untuk terus membantu mereka yang memerlukan.
Bantu Penduduk Terputus Bekalan Air – Gombak, Ampang
“Syukur kepada Allah kerana kurniakan nikmat yang sangat banyak tanpa henti-henti. Dan apabila Covid-19 ini datang, ia membuatkan saya berasa kita ini sebagai sebuah keluarga. Jadi bila untuk menarik rahmat Allah, kita perlu berkasih sayang. Merasai dengan pelbagai ujian. Ada yang diuji dengan masalah sakit, kehilangan orang tersayang, masalah kerja dan baru-baru ini beberapa diuji dengan masalah ketiadaan air. Terutamanya di Selangor.
Kredit Foto: Astro Prima
Jadi saya terfikir bagaimana dengan orang lain yang kurang berkemampuan. Sedangkan saya sendiri pun susah rasanya kalau tiada air, perlu beli dan sebagainya. Kasihan kepada mereka yang tinggal di kawasan apartment, flat, orang tua dan ramai lagi. Jadi saya fikir bagaimana nak bantu? Maka saya usahakan untuk dapatkan dua buah lori besar berisi berisi air untuk diagihkan kepada penduduk-penduduk di kawasan yang sekitar Gombak, Bukit Indah, Ampang.
Secara tidak langsung ia dapat membantu dan meringankan beban mereka. Mudah-mudahan Allah pandang dan beri kebaikan kepada semua,” ujarnya. Mendengar keluhan dan rintihan khususnya yang berkeluarga besar, mempunyai anak kecil, warga emas dan sebagainya benar-benar menjentik rasa hati. “Syahdu rasanya bila melihat makcik pakcik seusia ibu bapa kita bawa air,” ulasnya lanjut. Rentetan itu penduduk yang terkesan melahirkan rasa syukur dan berterima kasih dengan bantuan yang diberikan. “Terima kasih banyak tolong bantu kami yang tiada air ni. Moga Ustaz Ebit Lew dimurahkan rezeki teruskanlah dengan usaha seperti ini di mana sahaja. Moga terus sukses.”
Kredit Foto: Astro Prima
Pesan Ustaz Ebit Lew
“Nabi Muhammad SAW pesan, siapa mulakan satu kebaikan dan orang lain ikut dapat pahala sampai kiamat. Jadi sebab itu kebaikan itu dikongsi. Lebih ramai orang tahu, lebih ramai dapat dibantu. Ada setengah orang melihat ia satu cabaran tapi ia menghasilkan kebaikan. Jadi dia pun tambah lagi kebaikan supaya dapat memberi manfaat kepada lebih ramai orang. Apa yang penting, orang yang susah mendapat pertolongan, yang miskin dapat dibela. Jadi mudah-mudahan apabila kita bersatu hati sebagai sebuah keluarga, banyak rahmat yang akan turun, Insya-Allah.”
Misi Bantu Warga Emas Tinggal Di Pondok 12 Tahun – Tumpat, Kelantan
Selepas kisah seorang warga emas yang tinggal di sebuah pondok tular di Facebook selain ramai yang ‘tagged’ Ustaz Ebit, insan ini sekali lagi bersama pasukannya turun ke Tumpat, Kelantan untuk membantu. Perjalanan yang mengambil masa sekitar lima ke enam jam dari Kuala Lumpur, misi bermula dengan pembelian bahan-bahan mentah seperti papan, besi dan sebagainya. Ia digunakan untuk membina semula rumah yang lebih selesa buat Rabiah Jusoh, 70 tahun yang hanya mengambil upah mengopek ikan bilis untuk menyara hidupnya.
Kredit Foto: Astro Prima
Menurut Rabiah yang mempunyai empat anak, hidup yang dijalaninya cukup susah. Anak sulung telah meninggal dunia manakala anak kedua pula diuji dengan masalah kesihatan, strok. Dan saat pertama kali bersua muka dengan Ustaz Ebit Lew, mak cik Rabiah terus menitipkan syukur. “Mak cik dengar Ustaz suka datang tolong orang susah. Sayu hati mak cik minta dari Tuhan… Syukur. Saya sedih saya berdoa minta pada Tuhan. Minta bagi sabar dalam hidup,” ujarnya seraya disambut dengan linangan air mata yang tidak dapat lagi dibendung.
“Disisi Allah SWT ini ujian. Ada yang kaya, ada yang miskin. Supaya kita yang miskin ini jangan putus harap daripada Allah. Doa, sembahyang. Orang yang ada lebih sedikit pula kena sayang orang miskin. Dan orang miskin pula, kita tak harap dengan orang kaya sahaja. Minta dengan Allah. Doalah mak cik ya. Moga panjang umur mak cik, sihat. Doa supaya Allah beri rahmat, kebaikan dan selamatkan kita, Insya-Allah” hurai Ustaz Ebit lagi.
Kredit Foto: Astro Prima
Menurut Ramlah Hj Ramli, Pegawai JKM; Rabiah Jusoh layak menerima bantuan subsidi tandas. Sepatutnya projek membina tandas dimulakan pada Mac namun susulan PKP ia terpaksa ditangguhkan dan hanya mula dilakukan beberapa bulan lalu. Keseluruhan projek tandas dan membina semula rumah yang selesa dijangka mengambil masa selama 10 hari. Dan selepas melihat kerja-kerja pembinaan asas, Ustaz Ebit Lew dan pasukan bergerak ke lokasi seterusnya untuk misi membantu keluarga lain pula.
Misi Bantu Keluarga Besar – Kampung Pasir Mas, Kelantan
Misi seterusnya Ustaz Ebit membantu sebuah keluarga besar yang terdiri daripada 11 orang. Tinggal di sebuah rumah usang dan pondok, ia dihuni oleh sepasang suami isteri yang turut tinggal bersama kedua ibu bapa. Abdullah Bin Jusoh bekerja sebagai buruh binaan bergantung kepada jika ada keperluan dan kerja atau tidak. Jika tidak, dia akan membantu ayahnya Jusoh Salleh menoreh getah.
Kredit Foto: Astro Prima
Ustaz Ebit membantu keluarga ini dengan membayar tunggakan bil elektrik sebanyak RM1,000 selain membeli mesin basuh untuk meringankan beban keluarga besar ini. Dan bantuan ini disambut dengan hati terbuka keluarga yang tidak berkemampuan ini. Menurut Ustaz Ebit, lazimnya bantuan diberi berdasarkan apa keperluan dan ia ditawarkan kepada mereka yang memerlukan. “Kalau kita nak hadiahkan orang ni, apa yang mereka perlukan. Bukanlah kita beri apa yang mereka tak nak,” terangnya lanjut sebelum bertolak ke Perak.
Menziarahi Balu Dan Anak Mangsa Kemalangan Treler – Chenderong Balai, Perak
Apabila Ustaz Ebit Lew terbaca kisah kemalangan yang melibatkan seorang suami dan dua anak lelaki, hatinya sudah tersentuh. Memikirkan isteri dan anak kecil yang ditinggalkan arwah suami, membuatkan Ustaz Ebit terpanggil untuk menghulurkan bantuan. Walaupun hanya berbual seketika dengan ahli keluarga mangsa dan mendengar rintihan mereka yang kehilangan insan tersayang, baginya ujian ini cukup berat buat Shamsira Mohd Norizin.
Kredit Foto: Astro Prima
Tiba di rumah keluarga Shamsira, Ustaz Ebit berkongsi sedit tazkirah dan kata-kata semangat. “Benda yang kakak lalui ini bukan senang kan? Saya bila orang lain kena ujian saya terfikir, kalaulah saya kena ujian begitu, tak tahulah macam mana nak lalui semua itu. Sedangkan anak kalau sakit pun kita dah susah hati kan? Inikan pula Allah ambil mengejut begitu. Jadi ujian kakak ini berat. Mesti kakak fikir kenapa ujian ini menimpa hidup saya dan bukannya orang lain? Atau mungkin tak tahu macam mana nak cakap kan?Kredit Foto: Astro Prima
Waktu saya mula-mula terbaca, yalah saya fikir macam mana kakak nak lalui semua itu. Tapi memang begitu, kalau Allah sayang seseorang, Allah beri kepadanya ujian paling berat. Waktu sekolah dahulu kita belajar, yang paling Allah sayang Rasul ulul azmi. Dan dalam Rasul ulul azmi itu yang paling Allah sayang adalah Nabi Muhammad S.A.W. Jadi ujian itu lagi besar, lagi berat, lagi besarlah rahmat Allah nak berikan dalam hidup kita. Walau berat macam mana sekalipun, lagi besar macam mana sekalipun musibah itu; maka lagi besarlah kasih sayang Allah kepada kita.Kredit Foto: Astro Prima
Pesan Ustaz Ebit Lew
Ramai orang ingat dia masuk syurga, nak dapat kasih sayang Allah SWT sebab solat, puasa, zakat, haji, sedekah dan lain-lain. Tapi sebenarnya, Allah masukkan seseorang ke dalam syurga kerana berkat kesabarannya. Sabar ini maksudnya bukan melupakan, bukan tak menangis. Dan sabar ini bukannya kita tenang saja, tidak. Sabar ini maksudnya apabila ujian datang, membuatkan kita semakin rapat dengan Allah. Semakin jaga solat, kita lakukan apa yang Allah perintahkan, tinggalkan yang haram. Itu maksud sabar. Orang yang hilang mak ayah ini sedih. Tapi bila mak ayah hilang anak, dia punya rasa sedih itu lagi besar. Tapi percayalah, semua itu kerana kasih sayang Allah SWT.Must-Watch Video