Highlights
Bosan DUDUK Diam-Diam Di Rumah? – Cuba 10 Aktiviti INI Bersama Anak-Anak, Taklah Mak Menyinga 24 Jam! Hahaha…
Huda Hussain
18/03/2020
|
15:56 MYT
Semua maklum mengenai Arahan Kawalan Pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri dua hari lalu. Dan menjadi kewajipan kita untuk mematuhinya. Justeru ibu bapa perlu kreatif cipta aktiviti untuk memenuhi masa yang ada kerana kata kuncinya adalah masa. Ada ibu bapa yang perlu bekerja dari rumah tidak kurang juga ada yang terpaksa ke pejabat. Waima apapun situasi anda yang bercuti sepanjang tempoh ini luangkan masa sepenuhnya bersama anak-anak. Tak tahu nak buat apa? Boleh cuba ini:
Kredit Foto: IG Jozlynnhanania
- Solat Berjemaah Seisi Keluarga
Kalau sebelum ini nak berjemaah suami isteri pun susah apatah lagi dengan anak-anak kan? Jadi memandangkan kita disarankan duduk di rumah sahaja, maka tidak mustahil untuk solat tepat pada waktu dan dilakukan secara berjemaah. Kalau lima waktu agak berat dipenuhi, cuba mulakan dengan rutin sekurang-kurangnya satu waktu. Pilih waktu Zohor untuk percubaan. Dan kalau momentum semakin baik teruskan untuk waktu-waktu berikutnya. Cubalah!
- Mengaji dan Berzikir
Nak asah bakat anak untuk bergelar bakal qari dan qariah? Inilah masanya. Semak bacaan anak dan cuba pastikan anda melazimi amalan membaca Al-Quran atau bacaan surah-surah pendek bersama anak-anak selepas solat. Atau mungkin ketika menunggu masuknya waktu solat atau bila-bila saja yang berkelapangan. Masa itu ada cuma bergantung kepada kita yang menguruskannya. Takkanlah nak tengok televisyen atau main telefon bimbit saja kan?
Kredit Foto: Google
- Melukis, Mewarna, Mereka Cipta
Haa, mak-mak memang pantang kalau tengok lukisan mural didinding rumah kan? Jadi gunakan waktu ini untuk duduk dengan anak-anak beraktiviti bersama. Sama-sama mewarna dan beri ruang kepada anak untuk luahkan kreativiti mereka. Jangan disekat atau ditentang secara terus. Beri tunjuk ajar, panduan dan galakkan. Paling penting para ibu harus bersabar okey!
- Latih Anak Tentang Kemahiran Asas dan Pengurusan Diri
Aktiviti mengemas rumah akan lebih meriah dengan penglibatan anak-anak. Biarkan anak belajar pegang penyapu, mop lantai dan sebagainya terutamanya bagi mereka yang berumur empat tahun ke atas. Ilmu yang mungkin nampak kecil dan remeh ini akan membantu meningkatkan kemahiran kendiri kepada anak-anak. Tak percaya, cubalah!
Kredit Foto: Google
- Memasak
Apa kata sekurang-kurangnya dalam sehari, peruntukkan satu waktu yang membolehkan anak-anak turut sama terlibat dengan aktiviti yang kita lakukan. Contohnya menyediakan sarapan. Tak salah kalau sesekali kita ajarkan anak-anak khususnya anak lelaki mengenai kemahiran asas ini. Mungkin dengan menyuruh anak mengambil tepung, menuang ke dalam mangkuk, dan mengacau adunan membuatkan mereka rasa dihargai. Sekali gus anak-anak teruja untuk sama membantu ibu di dapur.
- Tonton Filem Kegemaran
Almaklumlah, tak dapat keluar pergi panggung wayang jadi apa kata bentang toto di hadapan televesyen dan baring ramai-ramai sambil tonton filem kesukaan. Bergelimpanganlah masing-masing. Nak luruskan kaki, meniarap, baring atau apa jua posisi sekalipun pasti bangkitkan suasana ceria dan selesa.
Kredit Foto: Google
- Bercerita
Selain mengasah bakat anak-anak untuk berani tampil di khalayak, aktiviti ini juga secara tidak langsung meningkatkan kemahiran membaca dalam kalangan mereka. Apa kata ibu ayah cuba ajarkan anak membaca satu perenggan kemudian pinta anak ceritakan kembali apa yang dibacanya. Ia juga menguji daya ingatan dan memori anak-anak.
- Bersenam
Kita punya 24 jam dalalm sehari. Jika ditolak waktu tidur dalam anggaran tujuh ke lapan jam, berbaki 15 hingga 16 jam lagi pasti boleh selitkan masa untuk bersenam. Lakukan senaman ringan seperti lompat bintang,
sit up,
plank dan lain-lain. Pasti terhibur melihat dengan gelagat masing-masing.
- Bermain
Kembalikan semula nostalgia zaman kanak-kanak kita dahulu seperti aktiviti permainan di dalam rumah. Bermain batu seremban, sahiba, saidina, monopoly, uno, more jutaria, donkey dan lain-lain. Wujudkan aktiviti bermain bersama keluarga seperti ini. Pasti meriah dan
happening!
10. Bermain Muzik
Kalian boleh beri pendedahan kepada anak-anak untuk bermain alat muzik yang tidak menggunakan alat muzik sebenar. Gunakan peralatan yang ada dirumah seperti baldi, gayung, tin, botol dan sebagainya. Mungkin kalian boleh serlahkan bakat anak bermain muzik?
Semua aktiviti ini boleh merangsang minda, memupuk kreativiti dan menyerlahkan potensi anak-anak dalam pelbagai cabang. Dan ibu bapa perlu bersabar selain 'sporting' melayani ragam anak-anak. Selamat mencuba!