gaya hidup
Buat Baik Pun Salah. Syafie Naswip Nak Lelong Trofi Demi Bantu Rakyat Susah – Kenapa Ada Yang ‘Bitter’?
Baru-baru ini pelakon Syafie Naswip berkongsi inisiatifnya untuk membantu mereka yang dalam kesusahan dengan melancarkan misi kecil menerusi gerakan awal #ChildhoodActors #PrelovedForCharity. Ramai yang menyambut baik usahanya itu. Maklum sajalah, ketika ini ramai ada sahaja dalam kalangan kita yang tampil untuk turut sama ringankan beban mereka yang tersepit dek kerana tempias PKP berpanjangan hingga kini.
Kredit Foto: IG Syafie Naswip
Tidak kiralah apa jua status dan latar belakang, semua berebut-rebut turun padang gerakkan kerja dalam misi membantu mereka yang memerlukan. Bagi Syafie Naswip atau lebih mesra disapa Ayie, dia punya objektif tersendiri. Selain menjual barangan pre loved untuk tujuan kerja amal, dia tanpa ragu-ragu mahu menjual trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik yang dimenanginya semasa Festival Filem Malaysia (FFM) 25 kepada sesiapa yang berminat. Dan hasil bidaan wang tertinggi (sehingga kini ada yang membida sebanyak RM10,000.000) akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan.
Namun begitu ada pengikut yang berani membuat tohmahan sekali gus memperlekehkan juga menyindir niat baiknya. Begitulah resam manusia, setiap kebaikan dan amal yang diusahakan pasti ada sahaja yang mencemuh dan mengecam. Tidak melatah dengan anasir sedemikian, dia tenang berhadapan dengan netizen seperti ini.
Kredit Foto: IG Syafie Naswip
Walau ada yang berkata satu kerugian dan trofi kemenangan seperti itu punya nilai sentimental tinggi kerana perlambangan kejayaan dan pengiktarafan hasil komitmennya pada bidang seni; Ayie tetap dengan pendiriannya. Pernah hidup susah, dia masak dengan situasi yang terpaksa dialalui segelintir daripada masyarakat hari ini. Maka dengan itulah apa sahaja yang disifatkan ada nilai dan laku untuk dijual, dia akan lakukan. Rakan-rakan selebriti turut menyokong dan memberi kata-kata semangat untuknya agar meneruskan apa yang digerakkannya sebelum ini.
Kredit Foto: IG Syafie Naswip
Semoga inisiatif Ayie dan segala kerja amalnya dipermudahkan. Usah diharap pada sanjungan orang. Biarlah Dia yang di atas menilai, melihat dan mengetahui setiap tindak-tanduk kita. Moga jadi asbab ikutan inspirasi juga dorongan agar kebaikan it uterus disebarkan hingga tiada lagi yang kelaparan dalam menempuhi waktu sukar ini.