Rentetan daripada kenyataan Ketua Pengarah Kesihatan Kelantan, Dr. Zaini bulan lepas bahawa hampir 10 ribu rakyat Kelantan yang mendaftar untuk mengambil vaksin tidak hadir pada hari suntikan, menggerakan hati Ratna Salsabila, 31 untuk berkhidmat kepada negeri kelahirannya itu.


“Bella tertanya kenapa agaknya mereka tidak hadir? Pasti ada kenkangan yang menyebabkan mereka tidak dapat hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) selain faktor takut dan ragu-ragu. Jadi, saya mengambil inisiatif sendiri untuk memperhalusi masalah itu dan mendapati kebanyakan mereka tidak mempunyai kenderaan untuk ke sana,” ujar Bella.


Bella juga diberitahu oleh pihak PPV segelintir mereka yang tidak hadir kebanyakannya didaftarkan oleh anak-anak mereka yang tinggal dari negeri lain. Jadi, apabila tiba hari untuk divaksinkan, mereka tidak dapat membawa ibu dan ayah ke PPV itu.


Ini menimbulkan idea untuk Bella dan suami membantu menyediakan pengangkutan percuma kepada mereka yang memerlukan.








Seronok Apabila Dapat Bantu Mereka Yang Memerlukan


Bella memulakan usaha pemberitahuan itu dengan mewar-warkannya di Facebook dan menampal poster di PPV terlibat. Pada fasa pertama, mereka bermula dengan hanya dua buah kereta dan kini bertambah kepada tujuh buah semuanya.


Kenderaan ini membantu penduduk di sekitar Kota Bahru, Bachok, Lubok Jong, Tanah Merah dan Tumpat.


“Alhamdulillah, usaha kami ini mendapat sambutan menggalakkan. Kami bersyukur apabila diberitahu bilangan yang hadir mengambil vaksin semakin bertambah. Dan, bilangan yang tidak hadir mengecil.”


Bagi Bella, apabila timbul sesuatu masalah jangan terus menghakimi mereka dan pukul rata dengan mengatakan semua mereka tidak hadir kerana menolak vaksin.


“Tidak betul sama sekali. Kita harus turun padang dan perhalusi masalah yang dialami, bukan hanya mengecam dan membuat teori sendiri di media sosial,” tegas Bella.


“Ada yang bertanya apa yang Bella dapat daripada usaha ini? Bella jawab, kepuasan. Kalau kita sejenis yang suka membantu orang, kita tahulah betapa puasnya hati kita selepas melihat orang itu berjaya melalui rintangan yang dihadapi.


Ada satu peristiwa lucu tentang seorang makcik ini. Dia tanya Bella, lepas cucuk boleh mandi tak? Seronokkan apabila kita dapat bercampur dengan pelbagai lapisan masyarakat dan bantu mereka jawab soalan sekecil itu pun sudah menggembirakan mereka,” tambah wanita kepada dua orang cahayamata ini.


Bella berharap lebih ramai rakyat Kelantan yang akan mendaftar dan mengambil vaksin ini demi memutuskan rantaian Covid-19. Jika ada sebarang masalah, jangan segan untuk merujuk kepada pihak bertugas.