gaya hidup
Cabaran Bersalin Waktu Pandemik – Para Ibu Harus Kuat Mental Dan Spiritual. Jihad Bertarung Nyawa, Moga Dipermudahkan-Nya.
Rentetan pemergian Allahyarhamah Siti Sarah Isnin lalu, pasti ramai para ibu atau bakal ibu khususnya yang sedang sarat hamil dilanda gundah. Risau, bimbang memikirkan pelbagai perkara. Apatah lagi dengan peningkatan kes kematian dalam kalangan wanita hamil menambahkan lagi kerisauan.
SOP Ketat
Berdasarkan pengalaman penulis sewaktu melalui detik melahirkan anak ketika PKP 2.0 awal Januari lalu jujur diakui banyak ujian dan cabarannya. Jika sebelum ini suami dibenarkan menemani isteri di bilik bersalin, tetapi dek kerana Covid-19, kebenaran itu tidak lagi diizinkan. Kecuali jika ibu mahu melahirkan anak secara pembedahan dan itupun suami perlu menjalani swab test. Ini berdasarkan apa yang penulis maklum mengenai prosedur yang ditetapkan oleh pengurusan Hospital Canselor Tuanku Muhriz Pusat Perubatan UKM. Sementelah terpaksa melahirkan secara Emergency Cesarean delivery (C-section), dek kerana lebih 15 jam berada di bilik bersalin, lalu ditakdirkan penulis mengalami demam panas.
Kredit Foto: Huda Hussain
Dan kurang 24 jam selepas bersalin, swab test perlu dilakukan bagi memastikan penulis tidak dijangkiti Covid-19. Lantas selagi keputusan makmal belum diperoleh, penulis ‘dilayan’ seperti pesakit yang positif Covid-19. Dalam pada kesakitan dek kerana melahirkan, penulis perlu gagahkan diri bergerak mengambil makanan yang diletakkan di atas troli makanan berhampiran pintu.“Maaf ya puan, result belum keluar lagi. Jadi saya tak boleh kerap keluar masuk bilik puan,” ujar jururawat yang lengkap menyarung sut PPE sambil melakukan sanitasi pada kedua belah tangan. Memahami kondisi ketika itu, mahu atau tidak perlu gagahkan juga diri untuk bergerak perlahan-lahan. Mana lagi sakit pada bahagian perut, sakit belakang kesan pengambilan epidural, sungguh menguji.
Kredit Foto: Huda Hussain
Itu pengalaman yang penulis lalui sendiri. Tidak pasti pula jika para ibu melalui episod sama. Mungkin lain hospital, lain prosedurnya. Tetapi secara tidak langsung ia mengajar kita supaya lebih kuat, cekal dan tabah. Dan usai keputusan ujian makmal diterima, syukur kerana ia bukanlah petanda positif Covid-19. Sebaliknya cuma Maternal Pyrexia. Demam yang lazimnya dialami wanita ketika dibilik bersalin dek kerana perubahan suhu bilik dan suhu badan, lebih-lebih lagi apabila terlalu lama melalui proses kontraksi.Tiada Istilah Waktu Melawat
Pelawat tidak dibenarkan memasuki wad bersalin walaupun pada waktu melawat susulan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu. Malah suami atau hanya seorang pelawat dibenarkan untuk menghantar, mengambil barang ataupun urusan tertentu. Jika melebihi seorang dibenarkan sekalipun, ia mengikut budi bicara pengawal keselamatan yang bertugas.
Kredit Foto: Google
Itulah kekangan yang dihadapi di mana-mana hospital pada waktu pandemik ini. Tiada lagi kemeriahan menerima kunjungan pelawat yang silih berganti seperti dahulu. Apakan daya, bagi mengelakkan risiko dijangkiti virus berbahaya ini semua itu perlu dipatuhi.Apa-apapun para ibu perlu siapkan mental dan spiritual untuk melalui proses kelahiran waktu pandemik ini. Walaupun sukar, payah dan sulit yakinilah ada hikmah disebaliknya. Inilah jihad kita yang dijanjikan syurga andai ditakdirkan menyahut seruan Ilahi kala bertarung nyawa melahirkan hamba-Nya. Luangkan waktu yang ada dengan memperbanyakkan zikir dan doa mohon agar semuanya dipermudahkan. Insya-Allah, Dia sentiasa ada bersama.
Must-Watch Video