Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

“Cadangan Suruh Kami Beralih ke Bidang Lain, MUSTAHIL!” – Usahawan Perkahwinan Juga Ada Baktinya.

Afiza Kamarulzaman
11/12/2020 12:36 MYT


Walau pun banyak syarat PKPB sudah dilonggarkan, namun nampaknya ia tidak banyak membantu industri persiapan perkahwinan seperti andaman, pelamin, katering, sewaan dewan dan sebagainya. Ya, majlis pernikahan diberi izin, namun dengan syarat SOP yang ketat, tidak banyak yang boleh menggerakkan semula industri ini seperti sedia kala.


Bukan mahu banyak songeh atau ‘dah diberi betis, nak peha’, tapi hakikatnya mereka terpaksa menaggung kerugian hampir 100 peratus. Ini menyebabkan kebanyakan usahawan terpaksa gulung tikar dan memberhentikan ramai pekerja. Ekonomi memang semakin tenat, dan ia lebih penat apabila bercakap dengan mereka yang tidak memahami.


Wahida Kamaru zaman atau mesra disapa Wawa ini antara usahawan perkahwinan yang turut terkena tempias pandemik. Walau pun sudah hampir 15 tahun berkecimpung dalam industri ini dan menempuh pelbagai onak duri, namun ujian pada ketika pandemik ini sangat terasa lebih dari yang dulu-dulu.




Kalau boleh Wawa ceritakan sedikit bagaimana mula-mula menceburi bidang ini?
Saya bermula sebagai seorang juru solek dan seterusnya mengembangkan perniagaan saya dalam bidang perkahwinan. Daripada sebuah butik perkahwinan, rezeki saya dipermudahkan apabila dapat membuka lagi dua cabang perniagaan dalam bidang yang sama. Alhamdulillah, kini saya memiliki Boonga Hall (Dewan Perkahwinan), Wawa Wedding Place (Banglo Perkahwinan) dan sebuah butik pengantin iaitu Wawa Wedding Planner. Kesemuanya di Ipoh, Perak.


Apa yang membuatkan Wawa teruja untuk memilih bidang ini?
Saya amat meminati bidang kecantikan, hiasan dan dekorasi. Saya suka melihat sesuatu yang indah, apatah lagi hasil daripada sentuhan tangan sendiri dan kemudian pelanggan puas hati dengannya. Satu kepuasan yang tak terhingga apabila dapat membantu merealisasikan impian perkahwinan pelanggan. Hanya usahawan perkahwinan yang tahu bagaimana perasaan itu? Dapat menjadi sebahagian daripada tenaga penting dalam majlis besar seseorang itu.





Kerja ini bukan mudah, memerlukan tenaga dan usaha yang bukan sedikit, besarkah keuntungannya?
Alhamdulillah, apa pun perniagaan pasti ada keuntungannya walau sedikit. Ini rezeki yang dikurniakan Allah daripada bakat dan minat yang dimiliki. Saya tak nafikan, bidang ini memerlukan modal yang amat besar tetapi jujurnya, saya memilih bidang ini bukanlah dengan niat utama meraih keuntungan berganda-ganda. Minat yang sangat mendalam itu yang mendorong saya terus kekal di sini untuk melakukan yang terbaik kepada pelanggan-pelanggan saya.


Apa cabaran terbesar sepanjang terlibat dalam bidang perkahwinan ini?
Sebenarnya, terlalu banyak cabaran yang dilalui sepanjang berada dalam industri ini terutama di bahagian yang melibatkan khidmat pelanggan. Salah satunya, untuk memenuhi kehendak pelanggan. Lain orang, lain citarasa dan kehendaknya. Dan, kita pula tidak boleh beremosi apabila ada pelanggan yang banyak kerenahnya. Kena kekal bertenang dan profesional. Komunikasi itu penting dan ahamdulillah berkat kesabaran dan kerja keras, Insya-Allah majlis mampu berjalan lancar dan berjaya memenuhi citarasa pelanggan.





Bagaimana kesan pandemik terhadap industri perkahwinan sekarang?
Bermula daripada awal PKP lagi, para penggiat industri perkahwinan termasuk kami hilang punca pendapatan dan menanggung kerugian lebih 100 peratus. Kami terpaksa menanggung kos-kos seperti gaji pekerja, sewa kedai, sewaan dewan, sewaan banglo perkahwinan dan bil-bil utiliti tanpa sebarang aktiviti perniagaan yang berjalan. Tiada bisnes, tiada pendapatan. Dan, saya faham bukan hanya industri perkahwinan saja yang terjejas tetapi banyak lagi industri lain yang terkesan. Sedihnya, apabila melihat ramai usahawan lokal terpaksa menamatkan perniagaan. Bukan mereka tidak berusaha untuk bertahan tetapi sampai bila mampu menanggung kerugian?


Pada pendapat Wawa, apa agaknya yang kerajaan boleh bantu untuk memulihkan industri perkahwinan ini?
Kami mohon pihak kerajaan untuk membenarkan dan membuka semula sektor perkahwinan mengikut SOP yang ditetapkan. Selain itu, kami memohon pihak kerajaan untuk memberikan bantuan serta geran kepada penggiat-penggiat industri Malaysia untuk mengurangkan beban kewangan yang ditanggung.





Komen Wawa apabila ada menteri yang menyarankan kepada usahawan perkahwinan agar berlaih saja ke bidang lain?
Secara jujurnya kami penggiat industri perkahwinan Malaysia tidak bersetuju dengan saranan tersebut. Untuk beralih arah ke bidang lain amatlah mustahil. Berapa ramai usahawan bidang ini yang mampu mengusahakan bidang lain? Ini adalah bakat dan kelebihan yang kami ada dan kenapa harus disia-siakan? Agak tidak berasas untuk beralih ke bidang yang bukan kepakaran kami. Berapa lama pula masa yang perlu kami ambil untuk memula dan menjayakan perniagaan baru itu? Lagi satu, kalau semua usahawan berfikiran demikian, maka akan sunyilah industri perkahwinan selepas ini. Tiada lagi servis untuk membantu mereka yang mahu berkahwin.


Harapan Wawa buat indutsri yang sangat Wawa cintai ini?
Harapan saya tiada lain, pastinya mahu melihat industri ini kekal bertahan dan terus dapat menyumbang bakti melalui kepakaran kami sebagai pendukung warisan dan adat budaya Melayu Malaysia. Jangan ditidakkan kewujudan kami dalam menggerakkan ekonomi negara. Kami juga perlu diberi ruang untuk berkarya dan berniaga. Semoga rakan-rakan usahawan seperti Wawa akan terus tabah, sabar dan diberi kemudahan menghadapi waktu getir ini. Sama-sama kita doa agarada sinar baru buat ekonomi negara. Insya-Allah.





#Pandemik #Andaman #Bidang Perkahwinan
;