Bukan semua orang mampu mempunyai simpanan tetap. Cakap, semua orang boleh cakap. Betul. Namun, orang kata tempohnya bukanlah lama sangat dan kerajaan sudah memberikan pelbagai bantuan seperti bantuan wang tunai, penagguhan pembayaran kredit bank, pengeluaran KWSP dan sebagainya. Terpulang kepada kita untuk menguruskannya sebaik mungkin. Dan inilah, antara pengajaran besar buat kita selepas ini untuk sentiasa ingat masa depan dan masa-masa sulit seperti hari ini.


Kurangkan perbelanjaran yang tidak perlu. Jika tidak punya disiplin untuk menyimpan secara tetap, tukarkan wang tunai itu kepada aset seperti emas yang boleh dicairkan di saat-saat kecemasan seperti ini. Masanya untuk hidup secara sederhana dari segi gaya hidup, pandai-pandailah mencipta makanan yang tidak memerkukan kos yang besar dan didik anak-anak juga untuk berjimat.



Kredit Foto: Google



Amalkan Solat Dhuha

Pada tempoh duduk di rumah ini, apa kata kita perbanyakkan amalan solat sunat Dhuha. Mungkin ada yang kata itulah sikit-sikit serah pada takdir. Oh, tidak! Bukan serah bulat-bulat tetapi dalam keadaan sekarang ini, apa lagi daya kita melainkan kembali kepada sang pencipta. Tiada yang salah untuk membanyakkan pahala yang selama ini kita culas dan tidak sempat untuk lakukan.


Sabda Rasulullah:
“Solat Dhuha itu adalah ( solatul awwabin ) solat orang yang kembali kepada Allah, setelah orang mulai lupa dan sibuk bekerja, iaitu pada waktu anak-anak unta mula bangun kerana mulai panas tempat pembaringannya.” (HR Muslim ).



Kredit Foto: Google



6 Keistimewaan Solat Dhuha (Petikan dari laman web mvm.org.my)


1. Dicukupkan Rezeki.

Allah S.W.T menjamin rezeki yang cukup kepada hambanya yang mempunyai masa untuk solat Dhuha. Diriwayatkan daripada Nu‘aim bin Hammar bahawa ia berkata, “Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda; Allah berfirman, ‘Wahai anak Adam, janganlah kamu berasa lemah untuk beribadah kepada-Ku dengan cara mengerjakan solat empat rakaat di awal waktu siangmu, nescaya akan Aku cukupkan untukmu di akhir harimu.”

(Hadis Riwayat Abu Dawud)

2. Rumah Di Syurga.

Rasulullah S.A.W memberi motivasi kepada orang yang rajin memperuntukkan sedikit waktu paginya untuk Solat Dhuha dengan sabda baginda, “Barangsiapa yang solat dhuha sebanyak empat rakaat dan empat rakaat sebelumnya, maka ia akan dibangunkan sebuah rumah di syurga.”

(Sahih al-Jami’: 634)

3. Nilai Seperti Bersedekah.

Sesungguhnya di dalam badan kita ini terdapat 360 sendi pinjaman Allah. Sendi inilah yang membolehkan kita bekerja dan menjalani kehidupan. Maka sendi-sendi ini ada hak-haknya yang perlu kita langsaikan.

Dari Abu Dzar, dari Rasulullah S.A.W beliau bersabda : “Di setiap pagi ada kewajipan sedekah ke atas setiap sendi dari salah seorang kalian. Setiap tasbih adalah sedekah, setiap tahmid adalah sedekah, setiap tahlil adalah sedekah, setiap takbir adalah sedekah, amar makruf nahi mungkar adalah sedekah. Dan dapat memadai untuk semua itu dua rakaat yang dilakukan pada waktu Dhuha”

( Hadis Riwayat Muslim )

4. Diampunkan Dosa Terdahulu.

Sesungguhnya Allah amat rindu pada hambanya yang ingin menyucikan dosa. Sebanyak mana dosa yang kita lakukan, pintu keampunan Allah tidak pernah tertutup. Solat Dhuha adalah antara pintu ampunan yang disediakan oleh Allah. Rasulullah S.A.W berkongsi kelebihan solat Dhuha yang kita lakukan di dalam sabdanya :

“Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih di lautan.”

(Hadis Riwayat Ibnu Majah dan at-Tirmidzi)

5. Memperoleh Keuntungan Besar

Atau dalam bahasa Arabnya disebut Ghanimah. Dikisahkan bahawa Rasulullah S.A.W mengutus tentera Islam berperang melawan musuh Allah. Dengan izin Allah, tentera Islam menang dan mendapat harta rampasan yang banyak. Orang ramai bercerita singkatnya peperangan itu dan banyaknya harta rampasan perang yang diperoleh. Kemudian Rasulullah S.A.W menjelaskan bahawa ada yang lebih utama dan lebih mudah memperoleh kemenangan dan harta rampasan yang banyak iaitu shalat Dhuha.

Rasulullah S.A.W bersabda : “Barangsiapa yang berwudhuk, kemudian masuk ke dalam masjid untuk melakukan solat dhuha, dialah yang paling dekat tujuanannya (tempat perangnya), lebih banyak ghanimahnya dan lebih cepat kembalinya.”

(Sahih al-Targhib : 666)


6. Mendapat Pahala Umrah.

Rugi kalau kita tidak mahu lagi kerjakan solat Dhuha jika secara terang-terangan Allah menganugerahkan pahala umrah melaluinya. Daripada Abu Umamah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dalam keadaan bersuci untuk melaksanakan solat wajib, maka pahalanya seperti seorang yang melaksanakan haji. Barangsiapa yang keluar untuk melaksanakan solat Dhuha, maka pahalanya seperti orang yang melaksanakan umrah.”

(Sahih Al-Targhib: 673)



Kredit Foto: Google



Selalulah Berdoa dan Meminta Kepada-Nya


Bukankah doa tu senjata orang mukmin? Tidak perlu susah-susah, angkat saja tangan dan berdoalah meminta sungguh-sungguh kepada Allah swt.


Dari Abu Hurairah (r.a) bahawasanya Rasulullah S.A.W bersabda:

Ertinya : "Sesungguhnya Rabb kami yang Maha Berkat lagi Maha Tinggi turun setiap malam ke langit dunia hingga berbaki sepertiga akhir malam, lalu berfirman ; barangsiapa yang berdoa, maka Aku akan kabulkan, barangsiapa yang memohon, pasti Aku akan perkenankan dan barangsiapa yang meminta ampun, pasti Aku akan mengampuninya" (Sahih Al-Bukhari).


Kita tidak perlu hidup dengan bergantung kepada manusia semata-mata. Bantuan manusia bersifat sementara tetapi minta dan mengharapkan kepada yang berkuasa di langit dan bumi itu. Sabar dan teruskan usaha. Fikirkan apa saja yang boleh menjana pendapatan di kala ini. Mohon Allah berikan ilham dan kesihatan yang baik, mudahkan urusan dan dilapangkan segala kesempitan di kala ini.


Saya doakan setiap anda dimurahkan rezeki dan diberi kemudahan dalam tempoh ini dan seterusnya melalui hari-hari mendatang. Amin.