Highlights

Cikgu Berjiwa Pendidik, Satu Dalam Seribu. Hargai Pengorbanan Mereka Dengan Balasan Kejayaan Kalian.

gempak
Huda Hussain
19/11/2020
14:00 MYT
Sponsor Banner
Cikgu Berjiwa Pendidik, Satu Dalam Seribu. Hargai Pengorbanan Mereka Dengan Balasan Kejayaan Kalian.
Jika semasa tempoh PKP dahulu, kawalan pergerakan lebih ketat dan jika mahu keluar sekalipun ia hanyalah terhad untuk tujuan tertentu. Misalnya membeli barang keperluan dan hal-hal kecemasan. Dan bagi guru-guru pula, kebanyakannya hanya memberikan tugasan menerusi kiriman WhatsApp, kaedah Google Classroom, pautan internet (link) dan pelbagai medium lain. Ya, tidak dinafikan ada yang berupaya mengikuti dan menyiapkan tugasan yang diberi. Tidak kurang juga ada yang berhadapan dengan kekangan lain seperti jalur lebar yang tidak stabil selain tiada kemudahan internet di rumah. Bahkan ada dalam kalangan ibu bapa yang perlu membahagikan tugas untuk menyampaikan mesej guru kepada anak-anak lebih-lebih lagi mereka yang mempunyai anak ramai. Dan seperkara lagi, ada juga dalam kalangan pelajar yang mula berasa malas dek kerana sudah terlalu selesa kerana berada dirumah untuk satu tempoh yang lama. Hinggakan ada guru-guru yang sesekali meluahkan kekesalan di media sosial mengenai sikap pelajar masing-masing.
Kredit Foto: Google
Apa yang jelas, Pengajian dan Pembelajaran DiRumah (PDPR) bukan satu perkara mudah untuk dipenuhi dan dipatuhi semua pelajar. Banyak kekangannya. Namun begitu, ia tidak mematahkan semangat barisan guru-guru yang sedia maklum mengenai amanah dan tanggungjawab mereka. Biarpun ada yang mengatakan ‘cikgu makan gaji buta’ tetapi hakikatnya mereka ‘berperang’ dengan pelbagai tugasan hakiki. Bukan sahaja perlu mengajar semata-mata, tetapi banyak lagi perihal lain yagn perlu dituntaskan.
Baru-baru ini tular di media sosial mengenai kisah seorang guru yang sanggup keluar pergi ke rumah setiap pelajarnya semata-mata untuk memberi tugasan. Jelas memperlihatkan kredibiliti dan betapa seorang guru sayangkan anak didiknya hingga sanggup berkorban sedemikian rupa. Ini kisah yang penulis cerap daripada laman Facebook Wan Ridhuan Muhammad dari Kemaman, Terengganu yang merakamkan aksi isterinya seorang guru memberi tugasan dari rumah ke rumah setiap pelajarnya.
Kredit Foto: Facebook Wan Ridhuan Muhammad
Al kisah… Gusar hati seorang guru. Hari-hari duk fikir. Budak-budak ni belajar tak kat rumah? Bimbang anak-anak murid SPM tak belajar masa PKPB. Bimbang buka sekolah nanti anak-anak murid lupa apa yang dah diajar. Dapat jalan penyelesaian. Risau bahan-bahan. Diajaknya kita mintak tolong hantar bahan-bahan ke rumah murid-murid. Rumah yang jauh ke dalam, mintak tolong anak murid keluar ke tempat yang mudah hulur soalan.
Hujan pun hujan la katanya, asalkan niat hati tercapai. Ambe (saya) sebagai suami...pulas je stereng kereta, ikut je lah. Sepanjang jalan hujan tak berhenti. Lebat sungguh. Tujuh perhentian perlu dilalui. 38 murid untuk diserahkan modul. Setiap kali jumpa anak murid, keluar pesanan dari mulut si guru, "Jangan lupa buat dan siapkan. Nanti cikgu kutip semula". Pukul 2.30 petang keluar rumah, pukul 6.15 sampai rumah. Sampai sekarang, si cikgu tu senyum sengeh sebab hajatnya tertunai. Ni je gambar candid yang sempat di snap. Yang lain tak boleh ambik sebab hujan lebat, air hujan masuk dalam kereta. Semoga usaha si cikgu membuahkan hasil nanti.
Kredit Foto: Facebook Sirr Igie
Tiada niat untuk membandingkan atau mempertikaikan usaha dan kesungguhan barisan guru-guru lain. Tetapi sekadar mahu membuka minda masyarakat agar tidak salah dalam membuat penilaian atau dengan mudah membuat pelbagai tohmahan kepada mereka. Kerana cabaran mengajar murid-murid dan pelajar-pelajar baik di peringkat tadika, sekolah rendah mahupun menengah dalam situasi pandemik Covid-19 ini amat mencabar.
Mahu atau tidak, ibu bapa perlu memainkan peranan untuk turut sama berganding bahu dan bekerjasama mengajar anak-anak dirumah. Dan barulah kita faham sebenarnya bukan mudah untuk mengajar anak kan?
Kredit Foto: Facebook
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live