Lama Raden berteleku usai solat Isyak. Masih rapi tubuh berbalut telekung dan punggung juga kekal melekat pada tikar sejadah. Hajat pada mulanya ingin menunaikan solat secara berjemaah di masjid berhampiran rumah tetapi apakan daya hujan lebat dan kilat sabung menyabung merencatkan sedikit niat dan perancangan Raden. “Buat di mana-mana pun tidak mengapa asalkan niat yang betul,” teringat Raden dengan perbualan telefon bersama Umi awal tengah hari tadi kala menghubunginya.


“Syukur masih dilanjutkan usia untuk menyambut tahun baru. Entahkan sempat habiskan amalan untuk tahun depan atau tak. Manalah tahu Allah nak jemput ke alam lain esok atau lusa ke,” ujar Umi di hujung talian. Raden bungkam seraya bergenang air dalam kolam mata.
“Kenapa Umi cakap macam tu?” soal Raden seakan anak kecil yang tidak memahami resam dunia. “Kau kena bersiap sedia nak tempuh apa-apapun lepas ni. Tengok aje tahun ini, dua orang anak buah Umi dah meninggal dunia. Muda-muda belaka lagi. Tu tandanya nak mati tiada syarat usia, muda ke tua ke kalau Allah cakap kun faya kun tak cepat dan lambat sesaat pun. Jadi beringatlah ya nak,” pesan Umi berjeda. Raden hanya mampu mengeyakan hujahan Umi selain merenung jauh ke luar jendela. Jauh sekali mendoakan atau mengharapkan ketiadaan insan yang di sayangi, Raden maklum Umi hidup bukan untuk menongkat langit. Sampai masa, dia juga akan berangkat pergi meninggalkan kami adik beradik. Hanya masa yang menjadi titik tentu.


Kredit Foto: Google

Merenung kembali setiap satu peristiwa sepanjang 2019, Raden pasrah dan redha. Cuba juga mencari-cari apakah hikmah disebaliknya namun hingga kini masih tidak ketemu. Mungkin itu makrifat Allah atau mungkin juga hikmahnya kami seisi keluarga lebih akrab dan menghargai silaturahim ini. Mungkin juga ia juga satu kisah untuk diteladani betapa pengertian kasih isteri kepada suami tiada tolok bandingnya. Seperti kisah rumahtangga mentua sahabat baik Raden, Aida yang diceritakan kepada Raden. “Kasihan tengok mak mentua aku Raden. Tidur malamnya asyik terjaga dan bila terjaga dia renung katil arwah ayah mentua aku. Bila masak bubur untuk anak aku, Haiqal pun dia selalu terkenang arwah,” kata Aida kala Raden bertemu dengannya seminggu selepas pemergian ayah mentuanya.



Ujar Aida lagi, “Seminggu sebelum arwah meninggal dia ada berborak dengan Mak. Waktu tu Mak batuk teruk sampai macam nak mati rasanya. Kata Ayah “Jangan ‘pergi’, tunggu aku. Kita ‘pergi’ sama-sama. Sambut Mak pula “Mana boleh pergi sama-sama. Kalau Allah nak ambil, Dia tak kira masa Ayah. Sesiapa pun boleh ‘pergi’. Aku terdiam bila dengar kata-kata dia orang Raden. Sampailah hari Jumaat, 3 Oktober arwah mula demam dan keadaan dia lemah dan semakin lemah. Makan pun kena paksa telan. Kalau sebelum ini arwah boleh angkat punggungnya sendiri waktu Mak nak sarungkan pampers tapi pagi Isnin 6 Oktober tu arwah dah tak larat nak angkat punggungnya sendiri. Kami adik beradik berkumpul waktu raya Haji pun arwah asyik tidur aje. Aku nampak telinga, hidung dan kakinya dah jatuh tapi mulut aku macam terkunci dan tak terdetik di hati nak beritahu Azwan. Tangan pula sejuk dan mata terpejam. Hisham janji nak mandikan dia Selasa tu arwah setakat mengeyakan aje,” jelas Dewi lagi mengenai momen yang tersimpan rapi dalam benaknya.


Kala bercerita itu dan ini, Raden dapat menangkap suara Aida yang tenggelam timbul seakan menahan sebak. Matanya pula kian berkaca. Biarpun pertalian ayah mentua dengan menantu perempuan tidaklah seakrab mana namun kehilangan dan kesunyian tetap dirasai Aida. “Rezeki Azwan sempat mandikan dan uruskan jenazah arwah ayahnya buat kali terakhir. Aku sempat call office dia sebab waktu tu dah nak berlepas ke Brunei,” ujar Aida yang bersuamikan juruterbang pesawat komersil negara. “Dan itulah kali pertama aku tengok Azwan menangis. Aku dapat rasa kesedihan yang dia tanggung Raden. Dan aku tak dapat bayangkan macam mana pula kalau aku di tempatnya,” ulas Aida yang masih dikurniakan kedua ibu bapa. Tangan Raden menggenggam erat jari jemari Aida tanda sokongan dan simpati padanya. Lantas Raden teringat akan pemergian dua orang sepupu rapat Raden. Menjeruk rasa terkenangkan insan yang sudah tiada. Begitu juga dengan Aida, ibu mentuanya dan seluruh keluarga Azwan.


Kredit Foto: Google


“Bayangkan Raden, 45 tahun usia perkahwinan dengan sembilan orang anak dan 14 cucu, mereka setia sampai arwah hembuskan nafas yang terakhir. Dan dalam tempoh itu bermacam-macam yang ditempuh. Memang aku tabik spring pada arwah dan mak mentua aku. Mak sabar jaga arwah ayah masa sakit walaupun ada masanya dia tertekan juga. Yalah bukan senang jaga orang sakit kalau tak tahan dengan kerenahnya. Mak pula the best chef in the world bagi ayah. Semua masakan air tangan mak tak pernah sekalipun kecewakan ayah. Maaflah Raden kau terpaksa dengar ngomelan aku pasal ni,” tutur Aida bimbang Raden bosan melayan ceritanya. “Tak pernah terlintas di hati aku Aida. Aku faham apa yang kau rasa,” jawab Raden bersungguh.


Kredit Foto: Google


Memori Raden seakan berputar mengimbas kali pertama bersua dengan mentua Aida kala hari perkahwinannya. Raut wajah Pakcik Alias agak serius. Masakan tidak, arwah adalah bekas anggota polis kala usia mudanya. “Waktu adik-beradik Azwan mengemas barang-barang di bilik arwah macam-macam yang mereka jumpa. Paling tersentuh adalah tabiat arwah ayah yang suka tulis diari. Setiap apa yang dibuat dari pagi hingga ke malam waima sesiapa yang keluar masuk rumah dia akan tulis. Even aku hantar Haiqal pun dia tulis “8 pagi – Aida hantar anak. 9 malam – Aida dan Azwan ambil anak” hurai Aida lagi. “Mungkin itu cara dia untuk keep on his memory running supaya dia tak lupa. Atau mungkin juga dah jadi rutin dia masa kerja polis dulu, setiap butir perkara di tulis dalam laporan ke,” celah Raden sekadar melontarkan pandangan dan disambut dengan anggukan Aida tanda setuju. Leka kami berbual, isyarat kiriman whatsapp berkelip-kelip pada telefon bimbit Aida. Dan tiba-tiba Aida sebak lantas berkaca sekali lagi kolam matanya. Raden bertanyakan mengapa, Aida sekadar menunjukkan kiriman group whatsapp Keluarga A&A daripada kakak ipar sulungnya yang menyebut “Mak baru call Along. Nak ajak pi melawat kubur Ayah pagi Ahad,” Raden membaca dengan gerak bibir perlahan. Diikuti dengan kiriman seterusnya “Mak dah mula rasa sunyi. Minggu ni je tiap-tiap malam Along dan Nor ada kat rumah Mak. Kalau weekend je Mak siap call rumah Along ajak datang rumah,” Raden juga tak semena-mena rasa sebak.


Kredit Foto: Google


Aida pula sudah tidak mampu menahan air mata lantas merembes jua membasahi pipi gebunya. “Mesti mak mentua aku rindu dengan panggilan Chom yang hanya Ayah saja akan panggil,” ujarnya dengan suara serak kerana sebak. Terlintas di fikiran Raden, jika air mata Aida itu hanya kerana dia bersedih dengan kehilangan ayah mentua, bagaimanalah pula jika ayahnya sendiri. Pasti sedihnya tak berpenghujung. Dan bagaimana pula jika suatu hari nanti Raden pula yang akan merasai momen kehilangan insan tersayang, oh pasti tidak terbayang dek akal fikiran bagaimana diri ini mengharunginya.