Highlights

Cinta Pertama − Tak Semua Indah Bagai Pelangi, Ada Juga Yang Kecundang Bak Tsunami

gempak
Huda Hussain
04/01/2020
16:17 MYT
Sponsor Banner
Cinta Pertama − Tak Semua Indah Bagai Pelangi, Ada Juga Yang Kecundang Bak Tsunami
Dalam Raden buat-buat sibuk kononnya mahu menyudahkan nukilan ini, ada pula yang datang mengetuk pintu. Pada hal sudah diuar-uarkan dalam status laman sosial Raden, tidak mahu diganggu. Namun, jika ada yang mengetuk pintu, takkanlah mahu pekakkan telinga pula. Saat pintu dikuak, rupanya penghantar pizza. “Eh, saya tak call delivery. Awak salah rumah ni,” pintas Raden ketika anak muda itu menghulurkan dua kotak pizza saiz sederhana juga bungkusan plastik berisi minuman dan pelbagai menu sampingan lain. “Tapi ni alamat rumah akak kan? Yang call tadi nama ni,” balas anak muda itu lagi sambil mengunjukkan nama Naz. Tersenyum Raden dibuatnya dengan fiil mamat yang seorang ini. Tidak lama kemudian Raden whats app untuk mengucapkan terima kasih kerana maklum pasti dia sibuk ketika out station di Kuantan.
Untung juga, tak perlu nak sibuk memasak atau memikirkan mahu makan apa kerana hari ini banyak tugasan yang memerlukan Raden duduk mengadap komputer riba. Selepas makan dan sekadar mahu ‘mencuci mata’ Raden buka Instagram. Raden muat naik gambar kala sibuk menyiapkan segala tugasan. Berselerak majalah, buku juga novel di meja kerja. Dan salah seorang rakan baik sekolah menengah Raden dahulu, Citra adalah insan pertama yang klik likes lantas memberi komen – ‘Macam student U pula aku tengok’ dan Raden hanya tersenyum simpul. Tidak lama kemudian, dia meninggalkan mesej peribadi meminta nombor telefon Raden. Katanya sudah lama tidak bersua dan masing-masing terputus hubungan usai tamat sesi persekolahan menengah. Masih Raden ingat lagi, sewaktu hari mengambil keputusan SPM, Citra tidak hadir. Raden bersama rakan-rakan yang lain ternanti-nanti kelibatnya namun sudahnya tidak muncul jua. Sejak itu kami terputus hubungan. Namun melangkah masuk ke universiti, kami kembali bersua biarpun berlainan jurusan dan fakulti.
Kredit Foto: Google
Ketika di universiti kami masing-masing sibuk dengan hal sendiri. Bersua pula jauh sekali kerana Raden tinggal di kolej manakala Citra menginap di rumah sewa. Menyingkap perwatakan Citra, dia cukup terkenal dalam kalangan pelajar malah sering menjadi pilihan guru. Cantik dan manis, tidak keterlaluan jika Raden simpulkan she’s beauty with the brain. Usai berbalas what’s app, akhirnya Citra menelefon menyuarakan hasratnya untuk bertemu mata dengan Raden. Dek kerana malas mahu keluar rumah kerana tugasan masih lagi belum siap, Raden usulkan agar Citra datang ke rumah sementelahan makanan pula berlebih-lebih. Tepat jam 3 petang, Citra tiba di hadapan rumah. Memarkir keretanya lantas keluar sambil menjinjit beg kertas. “Aku tak tahu nak beli apa. Pencuci mulut aje ni,” jawabnya usai kami bersalaman. “Hipsternya pencuci mulut kau! Chocolate Éclair dengan cream puff. Macam tahu-tahu aje favourite dessert aku,” balas Raden.
Sambil makan-makan dan mengimbas kembali kenangan silam bersama rakan-rakan lama, tiba-tiba terpacul dari mulut Citra. “Eh, kau belum kahwin lagi kan?” soalnya inginkan kepastian. Sambil menggeleng Raden seraya berkata “Belum tapi insya Allah lepas raya nanti” jawab Raden lantas Citra menjegilkan matanya. Sibuk bertanya dengan siapa Raden sengaja membiarkan Citra memikirkan siapakah gerangannya lelaki itu. Seraya Raden mencelah, “Yang kau ni sibukkan aku kenapa? Kau tu ada pakej, serba-serbi cukup. Takkan tiada calon?” soal Raden. Mengambil alat kawalan jauh televisyen, Citra pura-pura tidak mendengar soalan Raden tadi. Kemudian dia mengambil gelas kosong yang disangkanya masih mempunyai baki air tanpa melihatnya terlebih dahulu. “Tengok, sampai air dah tiada pun kau masih nak hirup lagi air. Itu maksudnya kau tak fokus. Ada benda lain dalam kepala kau ni Citra. Betul tak?” leter Raden. Dia bungkam. Mungkin itu reaksi yang sesuai dipamerkan untuk memberi isyarat dia tidak berminat untuk memanjangkan soal ini. Tetapi Raden tetap dengan naluri ‘kak nam’ mahu mengorek dan menggali apa yang tersirat disebaliknya.
Kredit Foto: Google
Kali ini dia bangun ke dapur sambil membawa baki makanan yang tidak habis tadi. Ulang alik ke dapur dan hadapan, mulutnya masih berkunci. Terbit jua rasa bersalah dalam hati Raden, apakah Raden telah membuatkan hatinya tersinggung. Selepas mengemas meja Raden memulakan langkah pertama. “Aku minta maaf kalau kau terasa dengan apa yang aku cakap tadi. Maaf sebab aku tak sengaja” jujur Raden berterus terang. Sambil menarik nafas panjang, Citra menggeleng. “Tak mengapa Raden. Tiada apa-apa pun. Cuma aku sudah penat. Letih dan rasa muak bila setiap kali orang ajukan soalan yang bertanya bila aku nak kahwin, tiada calon kah, aku memilih sangatkah dan ish… macam-macam lagi! Bosan pun ada juga. Aku bukannya apa, dah serik nak bercinta lagi Raden. Tapi…” tidak mampu meneruskan kata-kata, air mata Citra tiba-tiba bergenang. Sangka Raden, pasti ada sesuatu yang ‘berat’ terpikul dibahunya.
Raden biarkan dia menangis. Merangkul erat tubuhnya dalam pelukan Raden. Mengongoi-ngongoi persis anak kecil. Kemudian, Citra meleraikan pelukan. “Siapa dia?” soal Raden selamba. “Johan. Kawan sekelas aku masa kolej dahulu. Kami bercinta bagai nak rak. Tapi terputus sebab keluarganya tak merestui perhubungan kami. Kononnya merajuk, dia bawa diri dan sambung belajar di UK. Sepanjang dia di sana hinggalah baru-baru ini, kami tidak pernah berhubung langsung. Nak dijadikan cerita minggu lepas aku dan keluarga pergi KLIA. Jemput adik tiri aku, Sari. Terserempak dengan Johan yang jalan bergandingan dengan Sari. Riak Johan terkejut kerana tidak menyangka kali pertama dia menjejakkan di Kuala Lumpur, aku yang dilihatnya di lapangan terbang. Dan tambah terkejut lagi sewaktu Sari kenalkan aku dengan Johan, katanya inilah bakal tunangnya. Aku cuba beri reaksi yang aku turut gembira dengan berita itu. Tapi dalam hati ini remuk redam rasanya. Johan memandang aku dengan rasa bersalah tetapi dia pun sama seperti aku, cuba menyembunyikan perasaannya” hurai Citra mengenai jalan cerita kisah cintanya.
Kredit Foto: Google
Sejak sekolah menengah lagi Raden maklum mengenai bapa Citra yang berkahwin dua. Arwah ibu Citra adalah isteri pertama manakala ibu Sari adalah isteri kedua. Tidak terlepas daripada isu rampas-merampas, bertikam lidah dan pelbagai lagi adegan ibu dan anak tiri seperti dalam drama Melayu; begitu jualah yang berlaku sepanjang zaman persekolahan Citra. Dan tidak pula Raden sangkakan dia perlu melalui episod duka dalam kisah percintaannya. Bagaimana dia perlu berhadapan dengan Johan, bekas kekasih pujaan hati yang kini bakal adik iparnya. Oh, seperti jalan cerita filem Hindustan pula. Patutlah kata Citra dia sudah serik untuk bercinta kerana cinta pertama itu sepenuh jiwa dan raga dicurahkan. Kasih sayang, perhatian, sikapnya yang terkenal dengan prihatin dan mengambil berat rupanya dipandang sepi Johan. “Jauh sekali Johan nak pertahankan hubungan kami walaupun keluarganya tidak merestui. Ya, aku faham restu keluarga penting dalam perhubungan tapi dia sendiri tidak membantu atau pujuk aku untuk ambil hati emaknya. Dia tidak beri aku peluang untuk cuba ataupun sekurang-kurangnya berusaha. Seolah-olah cinta aku padanya selama ini tiada harga dan tak bernilai baginya. Biarlah Raden. Aku dah penat nak hadap semua ini. Sakit rasanya bila kita cinta sepenuh hati tapi penghujungnya aku yang separuh mati nak tempuh semua ini” terang Citra dengan nada kecewa.
“Mungkin Allah sudah tuliskan Johan bukan jodoh kau. Terima ajelah Citra. Aku faham memang sukar dan bukan mudah untuk kau laluinya. Tapi percayalah dengan kuasa doa, tawakal dan serahkan semuanya pada Allah. Mengadu dengan Dia. Pasti ada hikmah disebaliknya” pujuk Raden untuk menenangkan amarah dan kekecewaan Citra. Mengesat air matanya, Citra membetulkan duduknya. “Percaya dengan qada’ dan qadar yang Allah tentukan Citra. Perihal ajal, maut, rezeki dan jodoh semuanya kuasa Allah. Banyakkan bersabar dan ambil masa ini untuk dekatkan diri dengan Allah. Apa kata nanti kita luangkan lebih banyak masa bersama. Pergi mendaki bukit, berbasikal dan eh, banyak lagilah aktiviti yang kita boleh buat!” terang Raden bersungguh. Namun Citra masih bungkam. Raden membaling kusyen kecil ke arahnya barulah dia tersedar daripada lamunan yang entah membawanya ke mana. “Tengoklah nanti ya kalau rajin aku ikut,” jawabnya endah tak endah.
Kredit Foto: Google
Cinta pertama, tidak semua berakhir dengan khabar gembira. Pada hemat Raden, ia adalah gerbang untuk kita menilai yang mana tulen atau bersifat sementara. Jika cinta pertama itu bisa memacu kita ke arah kebaikan, berusahalah untuk memilikinya. Namun jangan pernah lalai dan tersilap dalam menilai cinta. Usah limpahkan semuanya pada si dia jika dia belum cukup sempurna untuk menerima diri anda. Berpada-padalah berkasih sayang kerana andainya takdir memisahkan kalian, tidaklah menanggung sakit dan derita.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Most Wanted Awards 2024