Setiap kali menonton Sidang Media oleh Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah; mendengarkan tiada kematian dicatatkan sudah cukup melegakan. Alhamdulillah, hampir seminggu kita tidak dikhabarkan dengan korban Covid-19 yang sehingga hari ini sudah meragut nyawa seramai 115 orang diseluruh negara.

Terdahulu dalam Sidang Media KKM yang berlangsung semalam, Malaysia kini berada dalam fasa pemulihan terakhir susulan kejayaan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan sejak 18 Mac dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak 4 Mei lalu. Terbukti tempoh 73 hari ini berhasil mengurangkan penularan kes baharu Covid-19.


Kredit Foto: Telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia


Menurut Datuk Dr Noor Hisham Abdullah lagi, sepanjang pelaksanaan PKPB juga turut berjaya menurunkan nilai kebolehjangkitan atau R0 (R-naught) sehingga 0.3 berbanding 0.6 ketika pelaksanaan PKP. Lantaran itulah, tempoh dua minggu akan datang menjadi tanda aras atau indikator penting bagi terus memastikan lekuk pada graf terus dilandaikan sekali gus memberi peluang lebih banyak sektor dapat beroperasi seperti biasa mengikut SOP yang ditetapkan.

Ujarnya, “Ini bermakna PKPB itu berjaya dan PKP pun berjaya melandaikan lengkungan. Rakyat patuh kepada SOP. Kejayaan ini bukan sebab tanggungjawab atau dilakukan oleh Kementerian Kesihatan dan kerajaan, tetapi kejayaan ini kejayaan bersama dengan rakyat sebab rakyat Malaysia patuh kepada SOP,” hurainya.

Mengulas mengenai kenaikan kes mendadak melibatkan pendatang asing tanpa izin di Depoh Tahanan Imigresen, KKM juga menjangkakan kes rentas negeri semasa perayaan Aidilfitri. Namun begitu, beliau berkata ia mungkin tidak akan tercetus pada kadar yang tinggi dan masih boleh dikawal jika rakyat kekal patuh kepada SOP yang ditetapkan kerajaan.

“ mungkin kita akan dapat peningkatan kes tapi tidak secara mendadak, jadi kalau rakyat patuh kepada SOP mungkin kita tak dapat gelombang ketiga, kita menunggu sekarang ini, raya dah lepas, mungkin dalam tempoh seminggu, dua minggu kita akan melihat kes (baharu) setiap hari. Kalau kes ini masih lagi rata iaitu dua angka dan juga satu angka, tempoh PKPB akan tamat pada 9 Jun. Kita akan lihat bagaimana nanti,” katanya lagi.


Kredit Foto: Telegram CPRC Kementerian Kesihatan Malaysia


Walaupun sudah berkali-kali diingatkan, tetapi langkah dan rutin ini tidak boleh dipandang ringan. Hal ini kerana, SOP inilah yang menentukan hasil usaha dan kerjasama kita selama ini memperlihatkan hasilnya. Hinggakan anak-anak kecil pun sudah boleh hafal ‘skrip’ yang berkali-kali diulang siar di skrin televisyen. Tentang pentingnya penjarakan sosial, amalan mencuci tangan, pemakaian topeng muka jika ke tempat awam, memakai hand sanitizer, elakkan berada di tempat yang terlalu ramai orang dan lain-lain.


Kredit Foto: Google

Sumber: Bernama








Inilah normal baharu yang kini sudah menjadi kebiasaan dalam kalangan masyarakat kita. Walaupun dikhabarkan penularan virus Covid-19 akan berada disekeliling kita dalam lingkungan dua tahun selepas ini; teruskan berdoa dan berusaha agar suatu hari nanti kita benar-benar dapat melaungkan slogan ini dengan penuh kesyukuran dan kegembiraan. Kita pasti menang!