Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Highlights

Covid-19 – Bahayanya Kita Yang Tak Bergejala Boleh Menjangkiti Orang Lain. Maka, Begini Saja Raya Kita Nanti.

Huda Hussain 15/05/2020 | 15:20 MYT
Bukan tidak percaya kepada qada’ dan qadar, ketetapan dan ketentuan serta ajal maut yang Allah rahsiakan daripada pengetahuan kita. Tetapi dalam situasi pandemik Covid-19 ini, selagi mana kita boleh mengelak dijangkiti maka berusahalah sebaiknya. Lakukan sedaya termampu. Bukan melarikan diri daripada ajal tetapi berikhtiar untuk mengelakkan risiko penularan virus berbahaya ini. Sama ada untuk diri sendiri mahupun orang lain, tetap menjadi tanggungjawab kita melaksakannya.
Kredit Foto: Google
Kajian dan penyelidikan mengenai vaksin Covid-19 masih lagi menjadi tanda tanya hingga hari ini. Bahkan berdasarkan pemerhatian penyelidik yang membuat kajian mengenai Covid-19, ia dijangkakan berada disekeliling sehingga dua tahun lamanya. Dan cuba anda bayangkan, dengan vaksin masih belum ditemui, bahaya dan risiko jangkitan ada diluar sana, maka sudanya langkah penjagaan diri dan disiplin yang akan menentukan keberhasilan kita dalam usaha mengurangkan risiko dijangkiti.
Dan menjelang Aidilfitri minggu hadapan, walaupun ziarah raya membenarkan 20 orang tetamu dan hanya untuk raya pertama sahaja, dalam daerah sama; tetapi bayangkan jika yang datang itu tidak bergejala tetapi tanpa disedari menjangkiti orang lain pula. Sejujurnya dalam kalangan kita sendiri pasti tertanya-tanya siapa yang akan melakukan pemeriksaan seramai 20 orang berada dalam satu rumah pada hari raya nanti kan? Tiada orang lain yang bertanggungjawab memastikan kebenaran ini dipatuhi melainkan kita sendiri.
Kredit Foto: Facebook Public Health Malaysia
Ya, setiap daripada kita bertanggungjawab dan jujur dalam melaksanakannya. Pada hemat saya, mungkin mustahil bagi pihak berkuasa seperti PDRM atau ATM untuk melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah dalam soal ini. Lalu, kesudahannya berbalik kepada peranan setiap daripada kita bagi memastikan kelonggaran ini tidak disalah erti atau mengambil kesempatan terhadapnya.
Kredit Foto: Facebook Public Health Malaysia
Masih ingatkah dengan foto yang tular di media sosial mengenai majlis pertemuan seorang ibu bersama 11 orang anaknya di luar negara ini? Puncanya, salah seorang daripada mereka telah dijangkiti sebelum itu dan tidak menunjukkan gejala. Tanpa disedari dia telah menyebarkan virus ini yang akhirnya menyebabkan kematian empat ahli keluarganya. Manakala yang lain disahkan positif Covid-19 selepas pertemuan keluarga besar ini.
Inilah risiko tinggi yang kita sendiri takut memikirkan kebarangkaliannya. Apatah lagi kita tidak bergejala seperti demam, batuk, selesema, sakit tekak, sesak nafas dan lain-lain. Dan memikirkan situasi ini, timbul pula kerisauan untuk melakukan ziarah raya.
Lantaran itu, jalan terbaik adalah kekal duduk dirumah seperti yang kita patuhi dalam PKP Fasa 1 hingga Fasa 4 yang lalu. Walaupun kelonggaran diberi, jangan sekali-kali disalah erti atau bertindak dengan mengambil kesempatan terhadapnya. Ini soal keselamatan dan kesihatan yang melibatkan nyawa manusia.
Kredit Foto: Google
Benar, Aidilfitri 2020 kali ini terasa berbeza sekali auranya. Tidak seperti yang kita nikmati tahun-tahun sebelum ini. Namun begitu, jika inilah yang perlu kita korbankan demi memastikan Aidilfitri tahun hadapan kembali meriah seperti biasanya, maka berlapang dadalah. Bukan kita sahaja yang berkorban tidak dapat balik kampung beraya, tidak dapat bersalam-salaman memohon maaf, peluk cium bersama insan tersayang, tidak dapat ke masjid tunaikan solat sunat Aidilfitri dan banyak lagi.
Tetapi seluruh masyarakat di Malaysia turut terkesan dengan normal baharu ini. Mahu atau tidak, patuhi setiap arahan, Prosedur Operasi Standard (SOP) dan langkah penjagaan diri yang berulang kali diingatkan. Kerana dengan berbuat demikian selain berdoa kepada Allah adalah yang termampu kita lakukan dalam saat genting ini.
Kita jaga kita bukan sekadar satu slogan atau hashtag semata-mata tetapi maksud sebenar disebaliknya yang perlu difahami bersama. Insya-Allah, ambillah keberkatan malam-malam terakhir Ramadan ini untuk memohon perlindungan daripada-Nya. Agar diangkat semua doa kita yang ikhlas berdoa supaya virus ini bakal menemui titik noktah riwayatnya. Insya-Allah.
#Bahaya #COVID-19 #Tidak Bergejala
;