Highlights

Covid-19 – Sekurang-Kurangnya Malaysia Masih Aman. Saat Diuji Musibah Ini, Semua Bersatu Hati Membantu, Bersyukurlah.

gempak
Huda Hussain
21/04/2020
15:47 MYT
Sponsor Banner
Covid-19 – Sekurang-Kurangnya Malaysia Masih Aman. Saat Diuji Musibah Ini, Semua Bersatu Hati Membantu, Bersyukurlah.
Sehingga artikel ini ditulis, pandemik Covid-19 sudah mencatat rekod apabila melibatkan lebih 200 negara dan menjangkiti kira-kira 2.5 juta penduduk dunia. Ia juga telah menyebababkan kematian seramai 173,445 sehingga kini.
Melihat angka itu pastinya mencetuskan kebimbangan masyarakat sejagat tentang bilakah semua ini akan berakhir. Menurut Pertubuhan Kesihatan Antarabangsa (WHO) situasi terburuk wabak ini masih belum berlaku. Dan lantaran itu kita seringkali diingatkan agar sentiasa mematuhi penjarakan sosial dan SOP lain walaupun PKP ditamatkan kelak.
Kredit Foto: Google
Dalam pada itu, negara kita juga tidak ketinggalan menjadi tumpuan dunia apabila langkah proaktif dan agresif membendung penularan wabak ini semakin menampakkan hasil positif. Tindakan dan peranan pihak kerajaan melibatkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan kementerian-kementerian lain harus dipuji.
Menerusi perkongsian Siti Suryani Yaakop di Facebook yang berkisarkan bagaimana keadaan Malaysia saat berdepan wabak ini, membuka mata kita untuk mensyukuri keamanan yang masih kekal dalam kalangan rakyat kita. Jika dibandingkan dengan negara-negara lain, ada dalam kalangan rakyatnya yang enggan beri kerjasama. Bahkan masih berani dan angkuh menunjuk perasaan di jalanan. Menyuarakan hak masing-masing agar perintah berkurung ditarik semula dan memberikan kebebasan untuk rakyat menjalani kehidupan seperti biasa. Tidak kurang juga negara yang mempunyai kekurangan daripada aspek kesiapsiagaan menyediakan fasiliti perubatan yang mencukupi. Sungguh benar-benar mencabar untuk berhadapan dengan pandemik ini.
Kredit Foto: Google
Biarpun Malaysia berhadapan dengan pelbagai cabaran antaranya masih ada lagi rakyat yang ingkar PKP, pelbagai jenis kluster yang tular umpamanya kluster kayangan, kebenaran beberapa industri untuk kembali beroperasi dan banyak lagi isu berbangkit. Namun pokok pangkalnya semua pihak dapat menanganinya dengan baik. Malah di seluruh negara, masyarakat yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat bersatu dalam menempuh saat getir ini. Sama ada pesakit pulih Covid-19, pengalaman terputus rezeki dan lain-lain perihal sebenarnya mendidik hati kita untuk bersyukur dengan apa yang dimiliki hari ini.
Kredit Foto: Google
Muat naik yang tular dan mendapat ribuan perkongsian itu menyebut, 'Semalam saya tonton satu video wawancara Jepun. Mereka puji melambung-lambung cara Malaysia tangani Covid. Ada satu soalan yang ditanyakan pengacara pada orang yang ditemubual. Saya tak tahu siapa. Mungkin individu ini bekerja atau berada di Malaysia. Soalannya, bagaimana keadaan di Malaysia di saat berdepan wabak ini?
Dan jawapan daripada individu ini sangat menyentuh hati dan pada masa yang sama, membanggakan! "Malaysia sangat aman". Video tu saya tak pasti betul atau tidak. Tapi yang pastinya, satu perkara ni sangat betul.
Kredit Foto: Google
Kita memang aman. Saya yakin ramai yang setuju. Jujurnya, macam takda apa-apa berlaku diluar sana. Betul, kita tahu sekarang ada sejenis wabak yang bernama Covid. Tapi, pada masa yang sama kita semua seolahnya cuma sedang diberi cuti yang panjang. Kerajaan bagi bantuan. NGO cari orang untuk diberi bantuan. Orang boleh menjahit bagi bantuan. Orang rajin masak bagi bantuan. Sesiapa boleh bagi bantuan, bagi bantuan.
Semua diurus dalam keadaan diam-diam dan tenteram. Yang kita tahu, petang-petang tunggu berita. Berapa baki. Berapa dah sembuh. Yang di rumah dan kehilangan mata pencarian, tak risau takda makan.
Kredit Foto: Google
Saya tengok ada warga asing post di Facebook yang dia putus bekalan makanan. Tak lama kemudian, ada NGO datang hantar bantuan. Cukup pantas. Yang bekerja macam kami, tak risau habis bekalan PPE. Ramai kawan-kawan dari serata tempat, pereka fesyen malah ada yang OKU turut sama bersusah payah memastikan PPE cukup. Bab makan minum, Alhamdulillah. Ada je sedekah.
Kredit Foto: Google
Yang jadi pesakit pun tak risau. Tak cukup hospital, buka Pusat Kusta, ILKKM, MAEPS. Jabatan Kesihatan follow up tak sampai berapa jam selepas kita buat test, bagi nasihat baik-baik tentang kuarantin. Makanan semua sedia ada. Malah kebanyakan alatan, katil, loker, bantal, selimut adalah yang baru-baru belaka. Yang kehilangan ahli keluarga akibat Covid pun sangat kuat semangat. Takda lagi dengar mengamuk, koyak plastik atau langgar arahan meminimumkan waris.
Tuhan saja tahu betapa luluhnya hati tak dapat melihat keluarga kesayangan buat kali terakhir. Tapi mereka tetap redha dan akur. Mereka tahu jenazah yang tersayang diuruskan dengan baik.
Yang baik-baik patuh arahan PKP pula, usaha keras-keras duduk dalam rumah mematuhi arahan. Bosan tak bosan. Seronok tak seronok. Tetap ikut. Macam-macam dibuat nak menghibur hati sendiri. Janji patuh.
Saya rasa itu kiranya ada yang berani langgar PKP. Sebab memang tak nampak kekecohan dan kesusahan akibat wabak ni macam di sesetengah negara lain. Tapi, jenis yang ni memang tak boleh nak kata apa. Manusia pattern ni memang sentiasa wujud.
Taknak cakap banyak. Sungguh sesungguh-sungguhnya. Alhamdulillah. Syukur.
Siti Suryani Yaakop
Kredit Foto: Facebook Siti Suryani Yaakop
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live