Highlights
Cuba Tengok Isteri Yang Berjaya dan Bahagia; Mesti Suaminya SUPPORTIVE Kejayaan Itu Pun Untuk Suami Juga.
Suami Tunggu Bella Bawah Pokok Dukung Anak
Penulis pernah menemubual jurusolek viral, Bella yang ‘meletop’ tiba-tiba apabila video tutorial solekannya mendapat sambutan luar dugaan. Sejak itu, secara tidak sengaja Bella mula mengukir nama sebagai jurusolek tak bertauliah. Dek minat dan mengisi masa lapang sebagai suri rumah, dia mengasah bakat bersoleknya itu hanya dari rumah dengan menggunakan alat solek cap pasar malam sahaja.
Kerana tidak bekerja, Bella selalu meminta suami belikan alat solek yang diperlukannya. Pernah dia merajuk kerana suami enggan membelikannya palet pembayang mata berharga RM15 kerana kesempitan wang waktu itu. Namun, beberapa hari selepas itu, suaminya berjaya juga membelikan item tersebut dengan meletakkanya di bawah mata sebagai kejutan buat isteri tercinta.
Ketika mula-mula menyolekkan pelanggan, suamilah yang akan curi-curi masa menghantar Bella ke rumah pelanggan menggunakan kereta Kancilnya Pernah sekali, suami menunggu jauh dari lokasi kerana segan dan duduk di bawah pokok (aircond kereta rosak) sambil mendukung anak menunggu sehingga Bella selesai bekerja. Dan, suami tidak mengeluh malah sentiasa memberi dorongan kepadanya.
Walaupun suami tahu yang Bella bukanlah profesional dalam andaman ini, namun kerana dia yakin isterinya itu tekad dan minat dalam bidang tersebut, suami tetap membantu dan sehingga kini terus menjadi sayap kanan Bella dengan mengembangkan perniagaan mereka pula. Kerana itulah, Bella sentiasa mendedikasikan kejayaannya hari ini buat suami yang tidak pernah berkata tidak setiap kali Bella memerlukan bahu berpaut.
Kredit Foto: IG Mua Bellaz
Sugu Tunggak Utama Populariti Pavithra
Sekelip mata namanya memuncak mengalahkan selebriti negara. Berbekalkan video masakan amatur yang memaparkan cara masakan gaya marhain, Pavithra bersama suaminya, Sugu berjaya menambat hati rakyat Malaysia. Rata-rata terpikat dengan gayanya yang bersahaja dalam berkongsi ilmu masakan di samping kefasihannya berbahasa Melayu. Dan, sangat menakjubkan apabila video itu dirakam oleh suaminya yang bekerja sebagai pekerja estet sahaja!
Pavithra mengecapi populariti ini atas dorongan dan bantuan suaminya yang tidak hanya memberi semangat, malah berkongsi idea dan turut muncul sebagai watak penting dalam video isterinya itu. Hasilnya kini, mereka sudah boleh menikmati bayaran ribuan ringgit daripada Youtube hasil langganan dan tontonan yang tinggi pada setiap video yang dimuat naik. Daripada rumah estet, kini mereka berpindah ke rumah teres yang lebih selesa.
Difahamkan, Sugu menjadi tulang belakang dalam setiap ‘content’ yang dihasilkan isterinya itu. Tanpa Sugu, tiadalah Pavithra dan begitu sebaliknya. Kerjasama intim ini terbukti apabila suaminya sanggup berhenti kerja baru-baru ini untuk memberi fokus sepenuhnya pada penghasilan video Youtube bersama isterinya. Inilah kejayaan bersama yang dikongsi seisi keluarga.
Kredit Foto: Google
10 Bagaimana Suami Mampu Bantu Isteri Menggapai Bintang?
- Ada kala, isteri bukanlah mahu suami bersama bekerja dengannya, jika mampu memberi restu dan keizinan pun sudah besar rahmatnya. Maka, mulakan usaha isteri itu dengan restu dan doa seorang suami.
- Wanita ini jiwanya rapuh apabila dilanda krisis emosi atau tersentak dek halangan. Maka, sokonglah moral dan jiwa mereka dengan kata-kata semangat, beri keyakinan buatnya meneruskan apa yang sudah diusahakan.
- Jangan ‘downgrade’ isteri dengan membentangkan kelemahan-kelemahan mereka. Isteri sangat terkesan jika suami sendiri menjatuhkannya.
- Berilah peluang dan ruang untuk isteri mencuba sesuatu itu dan berikan dia masa untuk membuktikannya. Jangan digesa untuk berhenti jika tidak nampak hasilnya lagi.
- Jika punya idea dan kemampuan untuk dibantu, usulkan kepada isteri. Isteri mana akan menolak jika suaminya sama-sama mahu menjayakan pekerjaannya itu.
- Selalu ambil berat perkembangan isteri dan bertanya khabarnya, adakah apa-apa masalah yang boleh dibantu? Pasti isteri rasa begitu dihargai dan selamat suami ada di sisi.
- Jika isteri gagal, jangan ‘dihentak’ lagi isteri dengan bebelan dan kata-kata keras yang boleh meruntun hatinya. Sekali pun, kamu kecewa, simpan dahulu dan gubah kata-kata sebagai nasihat bukan kecaman.
- Sama-sama mudahkan tugas harian dan tanggungjawab di rumah. Jangan beri syarat; “jika kamu mahu bekerja, kamu harus tahu seimbangkannya dengan tugas di rumah atau anak-anak!” Ini tidak adil! Suami juga harus pikul tanggungjawab bersama kerana sama-sama bekerja dan berusaha untuk keluarga. Malah, suami sepatutnya pikul tugasan yang lebih bukan isteri ya.
- Jangan ugut isteri dengan kata-kata kalau itu, kalau begini, siaplah! Biarlah isteri itu melakukan pekerjaannya dengan tenang tanpa rasa takut dek ugutan suami yang buat dia bertambah stres.
- Lihat usaha isteri sebagai perjuangan bersama supaya kamu tidak rasa ‘dengki’ dengan kejayaan isteri kelak. Jangan hanya kamu mahu mendaki tangga teratas, sedangkan isteri dibiar merangkak sendiri.
Kredit Foto: Google
Must-Watch Video