Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Personaliti

Cuma Ada Dua Helai Baju, Bayi Berusia Sembilan Hari Yang Serba-Serbi Kekurangan Dapat Perhatian Ustaz Ebit Lew

Huda Hussain 05/04/2021 | 06:25 MYT
Tak pernah kenal erti penat, tak pernah jemu membantu jauh sekali mendiskriminasi sesiapa; Ustaz Ebit Lew terus menghulurkan bantuan. Setiap ceruk, pelusuk dimasukinya berkongsi rezeki dan semua itu dilakukannya demi menyebarkan kasih sayang. Moga Allah terus melimpahkan rahmat dan rezeki seluasnya serta dipermudahkan semua urusan buat Ustaz Ebit Lew dan team Jejak Ebit Lew (JEL).
Kredit Foto: Astro Prima
Misi Bantuan Asnaf di Kota Bharu, Kelantan – Keluarga Kim Keok
Dari Kuala Lumpur, team JEL ke Kota Bharu, Kelantan bagi membantu sebuah keluarga asnaf. Selepas kematian suami 11 tahun lalu, Kim Keok reda menyara lapan orang anaknya yang ketika itu masih kecil. Lebih memeritkan, susulan PKP tahun lalu dia tidak lagi bekerja sebagai pembantu kedai. Maka bermulalah episod sukar keluarga ini. Terpanggil untuk membantu, Ustaz Ebit Lew sebelum itu kagum dengan pendirian dan sikap terbuka Kim Keok kerana seorang anaknya telah memeluk agama Islam. “Penerimaan mak okey cuma terkejut saja pada mulanya,” ujar Nur Aisyah Ong Abdullah.
Kredit Foto: Astro Prima
Dan usai ditanya mengenai apa permintaannya untuk dibantu? Kim Keok berkongsi mengenai kesukarannya yang terpaksa berulang alik menghantar dan mengambil anak di tiga buah sekolah berbeza menggunakan motosikal. Justeru itu, Ustaz Ebit Liew secara sukarela membantu dengan menghadiahkan sebuah kereta Myvi untuk keselesaan dan kegunaannya bersama seisi keluarga. Selain kereta, turut dihulurkan adalah barang dapur bagi menampung keperluan keluarga ini. “Terima kasih banyaklah Ustaz, tak tahu nak cakap apa,” akui Kim Keok seraya bergenang kolam matanya sebak dengan bantuan yang diterima.
Kredit Foto: Astro Prima
Keluarga Noriza Husin
Masih lagi di Kota Bharu, Kelantan. Selepas tular sebuah video yang merakamkan seorang ibu mencari sesuatu di tong sampah sementara dua anaknya duduk di bakul motosikal cukup menjentik hati warga net. Tidak menunggu lama, dan kebetulan berada disini, Ustaz Ebit Lew segera ke rumah keluarga ini. Noriza Husin ibu kepada empat orang anak hanya bergelar surirumah. Suaminya sahaja yang bekerja dengan mencari besi buruk demi mencari rezeki untuk menyara keluarga ini. Sayu melihat keluarga ini, Ustaz Ebit Lew menghadiahkan tablet untuk kegunaan anak-anaknya belajar selain memudahkan urusan seharian yang lain.
Pesan Ustaz Ebit Lew
Kita ini macam satu keluarga kalau bukan Islam kakak saudara dekat tetapi kalau kakak Islam kita macam adik-beradik. Tapi kakak jangan rasa sedih, kurang. Macam anak kakak, mesti sayang mak sampai bila-bila kan? Anak hormat emak, dan emak hormat anak walau berbeza agama. Saya datang sini pun sebab mungkin kakak ada berdoa kan? Mudah-mudahan asbab kebaikan kita semua memberi rahmat untuk kita terus bantu semua orang. Kita susah miskin, tapi hati kita kaya. Jaga solat, jaga agama, jaga emak, jangan bergaduh adik-beradik. Kenapa Allah bagi kita susah? Supaya satu hari kita boleh tolong ramai orang di dunia. Kita miskin tapi kayanya di hati. Bahagianya disini. Allah beri semua ini kerana Dia sayangkan kita. Supaya kita lebih prihatin dengan saudara-saudara kita dan lebih dekat dengan Allah.
Kredit Foto: Astro Prima
Misi Bantuan Ibu Tunggal Di Ipoh, Perak
Bertindak atas makluman Adnan Azizi Zainal Abidin, seorang sukarelawan yang memaklumkan seorang ibu tunggal baru melahirkan anak tetapi serba-serbi kekurangan. Suaminya ditahan di penjara dan tinggallah ibu ini menyara dua anak dan seorang bayi yang baru dilahirkan. Sekali gus menyentak hati Ustaz Ebit untuk turun membantu. Ujar Adnan, si ibu bukan tidak mahu bekerja tetapi dek kerana kekangan soal anak-anak maka bantuan amat diharapkan. Lebih memilukan melihat bayi berusia sembilan hari yang sememangnya tidak lengkap pakaiannya. Tiada bedung, sarung kaki dan tangan, hanya mengulang pakai dua helai pakaian, Allahu… hati jatuh kasihan dan simpati amat pada keluarga ini. Kewangan menjadi isu utama bagi ibu ini kerana tidak mampu untuk menghantar anak kepada pengasuh jika dia mahu bekerja. “Kalau hantar seorang anak RM400, kalau tiga orang dah berapa kan? Disitu saja gaji dah habis. Sebelum ini saya dan suami merantau. Cuba hidup di KL. Tapi tak boleh,” ujarnya sebak.
Berdepan dengan masalah keluarga, pasangan suami isteri ini menempuh detik sukar untuk membesarkan anak dalam persekitaran yang selesa. “Tinggal disini saya bekerja sanggup jalan kaki. Anak suami yang jaga. Tapi bila dia jaga tu, kadang-kadang balik tengok dia tidur. Anak-anak pula tak makan. Saya cuma mendoakan supaya Allah tunjukkan jalan. Kalau hidup saya berubah, biar saya hidup dengan anak-anak saja. Biarlah saya yang bekerja sebab selama ini pun saya yang tanggung semua. Tapi bila dia tak ada saya terasa sedikit sebab tinggal saya dan anak-anak aje” luah Zaleha (bukan nama sebenar).
Kredit Foto: Astro Prima
Untuk menggembirakan anak-anak ini juga bayi yang baru sembilan hari dilahirkan, team JEL menghulurkan keperluan barangan bayi seperti pakaian, pampers serta barangan keperluan lain. Juga sedikit wang RM1,000 serta perkakas mainan untuk menceriakan anak-anak kecil ini.
Pesan Ustaz Ebit Lew
Tiada tempat disisi anak yang paling baik melainkan berada ditempat emaknya. Sebab bagi anak-anak usia sebegini tak kisah tinggal macam ini. Tak merungut pun. Yang merungut cuma kita, kita yang merasa susah. Bagi dia yang penting ada emak, kawan-kawan, adik-beradik dia dah cukup gembira. Jadi didik anak kita sendiri sebab yang paling mahal adalah kasih sayang. Didik anak-anak ini kerana mereka rezeki daripada Allah. Tugas kakak walau berat kena berusaha, doa dengan Allah supaya jadi manusia hebat, tak bergantung kepada sesiapa. Mudah-mudahan Allah permudahkan semua.
Kredit Foto: Astro Prima
Ziarah Keluarga Anggota Polis Mangsa Nahas Pemandu Mabuk
Siapa boleh lupa dengan berita mengenai kemalangan yang meragut nyawa Koperal Safwan Muhammad Ismail yang maut dirempuh pemandu mabuk dalam satu sekatan jalan raya. Dek kebetulan berada di Ipoh, team Ustaz Ebit Lew singgah bertemu keluarga Allahyarham yang jasadnya dikebumikan di Kmpung Bakar Bata, Tanjung Rambutan, Ipoh, Perak. Setibanya Utsaz Ebit Lew, disambut dengan wajah sugul dan tangisan ahli keluarga. Muhammad Ismail Othman, bapa Allahyarham Koperal Safwan reda dengan ujian ini walau akuinya berat untuk diterima. “Ujian berat bagi saya. Mengejut, tiba-tiba dia tak ada” ceritanya sambil bergetar suara menahan sebak. Bagi Norizan Mat Sanid, ibu Allahyarham pula menyifatkan anak kedua dari sembilan beradik seorang yang amat ceria sambil mengimbas rutinnya yag akan menelefon kedua ibu bapa setiap hari selepas Maghrib. Terharu dan tidak menyangka kedatangan Ustaz Ebit Lew, keluarga ini tetap menitipkan rasa syukur.
Pesan Ustaz Ebit Lew
Takdir Allah sahabat kita anggota PDRM kalau kata dapat pahala syahid kerana dia sedang mempertahankan negara, sedang menjaga negara dan dia juga berjuang macam orang dahulu yang berjihad dibarisan hadapan. Saya doakan moga abang dan kakak sihat, sabar dan tabah dengan ujian ini. Walau berat, tetapi dia insan terpilih yang Allah sudah aturkan pemergiannya.
#Astro Prima #Ustaz Ebit Lew #Jejak Ebit Lew
;